1. Kita terasa betapa perlunya kita kepada keadilan apabila kita yang menjadi pihak yang berhajat kepada keadilan. Walaupun kita juga boleh berfikir tentang keadilan yang dituntut oleh pihak lain lantas keadilan juga harus diberikan bukan sahaja kepada kita tetapi kepada pihak yang menuntut itu juga.
2. Keadilan itu adalah dari segi hak yang sememangnya kepada pihak yang berhajat. Tapi ada juga yang dipanggil keadilan prosedur. Prosedur yang ditetapkan sebagai satu wasilah untuk mencapai keadilan. Walau dikritik tentang keadilan hakiki tidak harus diganggu-gugat oleh keadilan prosedur.
3. Harus kita perjelaskan dulu apa itu ‘keadilan prosedur’. Ia adalah penetapan oleh ahli-ahli hukum tentang prosedur untuk mencapai keadilan. Walaupun hak untuk mencapai keadilan itu satu matlamat tetapi kerana kekangan prosedur maka hak keadilan itu terhalang. Sebagai satu contoh undang-undang had masa. Jika satu-satu kes tidak difailkan dalam masa maka pihak yang ingin menuntut haknya akan gagal kerana keadilan prosedur. Begitu juga dalam prosedur pembuktian. Walaupun memang pelaku jenayah memang buat satu-satu jenayah dia boleh bebas kerana keadilan prosedur contohnya masalah kepercayaan saksi-saksi.
3. Ahli-ahli hukum menetapkan keadilan prosedur selari dengan hak-hak keadilan bagi pihak yang menuntut keadilan di mahkamah.
4. Sebagai pihak yang menuntut keadilan dia akan terasa dengan kegagalan keadilan diberikan kepadanya kerana dihalang oleh prosedur keadilan. Kritik kepada prosedur keadilan ini dapat dilihat bagi mereka yang mencari keadilan hakiki. Mengapakah kesnya harus gagal kerana prosedur berkata begitu dan begini?
5. Bagi pendokong hak-hak keadilan mesti ditegakkan juga dengan keadilan prosedur maka mereka berkata “Keadilan hakiki selama-lamanya tidak akan dicapai tanpa satu prosedur keadilan terancang dan tersusun”. Hakikat ini juga diakui dalam sistem keadilan Islam.
6. Adalah keadilan hakiki mesti mengambil kira keadilan prosedur? Anarki boleh meleluasa tanpa keadilan prosedur. Contohnya sesiapa boleh mendakwa dia diliwat tanpa membawa pembuktian melalui keadilan prosedur.
7. Oleh itu hukum yang keras hanya terlaksana ke atas pelaku jenayah yang memang melakukannya selepas dibuktikan melalui keadilan prosedur. Selepas disemak-imbang oleh pendakwa, pemguambela dan hakim maka keputusannya adalah terletak kepada hak-hak keadilan yang harus diberikan bersangkut-paut dengan keadilan prosedur. Jika dia memang diputuskan melakukannya menurut bukti-bukti secara keadilan prosedur dan hakikatnya dia memang melakukannya oleh itu penjenayah itu memang berhak dengan hukuman yang setimpal.
8. Begitu jug kes sivil. Hak-hak hanya diberi selepas mengambil kira prosedur keadilan dan keadilan hakiki.
9. Masalahnya ada pihak samada peguam atau hakim mengambil kira keadilan prosedur lebih dari hak-hak keadilan sebenar. Ini yang kita kritik. Pihak yang mencari keadilan di mahkamah akan rasa kehilangan hak bilamana menjadi ‘mangsa’ prosedur keadilan. Sepertimana dalam kes jenayah seorang yang dituduh membunuh tetapi dihukum membunuh kerana keadilan prosedur yang tidak berpihak kepadanya.
10. Seorang hakim bijaksana seharusnya bijak untuk mengimbangi antara hak-hak keadilan yang dicari dan keadilan prosedur. Walaupun ada undang-undang prosedur yang telah digubal menyokong pendekatannya. Bijaksana itu adalah dengan memberi keadilan kepada pihak yamg berhak kepada sesuatu hak. Tidak harus dihalang oleh keadilan prosedur.
11. Keadilan hakiki hanya menapak dalam sanubari pihak berkenaan dan dilihat dilaksanakan dalam negara jika pihak pemutus atas yakni hakim bijaksana dalam melaksanakannya.