Masa Depan Parti Amanah Negara

1. Adakah Parti Amanah Negara (PAN) mempunyai masa hadapan? Persoalan ini harus diajukan kerana PAN hanyalah serpihan dari PAS. Sejarah PAS membuktikan parti-parti yang terserpih darinya ‘hidup segan dan mati tak mahu’seperti Hamim dan Berjasa. Pengasas-pengasasnya adalah tokoh yang tersingkir dan kecewa dengan arus perdana PAS.

2. Ada yang menafikan telahan ini kerana kes PAN tidak sama dengan Hamim dan Berjasa kerana PAN dapat menggerakkan massa dan lebih relevan dalam arus politik perdana serta mempunyai kaitan dengan parti politik yang memerintah iaitu PKR dan DAP lantas menjadikannya bukan parti yang menagih simpati apatah lagi dengan edisi lelompat mereka mempunyai 6 wakil di Dewan Rakyat dan 6 wakil di Dewan Undangan Negeri.

3. Saya cuba menyiasat perkara ini, bukan setakat cakap-cakap kedai kopi, dengan menghadiri pelancaran PAN Selangor pada 27/11/2015 di parkir Worldwide, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Saya disambut oleh petugas Arif yang menunjukkan tempat untuk parkir.

4. Kehadiran malam itu menjangkau 3000 0rang yang berbaju jingga. Ini menunjukkan hatinya dan wadahnya seperti isi mempelam harumanis. Mungkin ada juga ahli-ahli PAN yang tidak berbaju jingga dan mungkin juga yang berbaju biasa itu ahli PAS yang datang untuk memerhati perkembangan bekas-bekas ahlinya yang telah ‘berkerat rotan, berpatah arang’ gara-gara keputusan Mesyuarat Agung PAS Ke-61 yang ‘dibedil’ dengan dahsyat ketika ‘bermudik’ di Kuala Selangor.

   Kelihatan sebahagian dari hadirin pada pelancaran PAN Selangor pada malam 27/11/2015.

5.  Gerai mee sup dan satay laku dan habis sekejap sahaja! Mungkin peniaga-peniaga tidak menjangka kehadiran seramai itu dengan stok makanan mereka.

6.  Saya perhatikan setiap wakil yang diberi untuk berucap bukan setakat mengucapkan assalamualaikum dan apa khabar mereka juga mengucapkan kata-kata aluan dalam bahasa Cina dan India. Ucapan-ucapan bersemangat disambut dengan tepukan tangan dan kadang-kadang takbir. Seolah-oleh ahli-ahli PAN masih mencari identiti diri. Adakah PAN cuba mengikuti langkah seperti PKR iaitu ‘multi-cultural party’ bagi membina masa depan mereka yang lebih cerah tidak seperti Hamim dan Berjasa? Mereka masih muda namun dibarisi dengan teknokrat dan profesional seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Abdul Samad dll yang memjadi pemikir-pemikir yang dapat melakar polisi dan halatuju parti yang kita berteka-teki samada mempunyai jangka hayat yang masih panjang atau sebaliknya.

7. Pada malam itu saya dengar ucapan Presiden PAN berucap lebih kepada mainan isu-isu politik dan gegar kubu musuh dengan polemik rasuah dan salah-laku tak ubah seperti ‘whistleblower’ yang sepatutnya di mainkan oleh penggerak-penggerak NGO. Pendekatannya tidak berubah ketika dalam PAS. Mungkin sebab ini beliau kalah dalam pertarungan merebut Timbalan Presiden berbeza dengan kem Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (DSHA) yang lebih menekankan kepada asas dan  jatidiri sebagai pejuang Islam.

  Mat Sabu ketika memberi ucapan pada malam pelancaran PAN Selangor.

8. Jikalah talian hayat PAN bergantung kepada isu-isu semasa PAN bukanlah parti yang memimik PAS yang lebih kepada sebagai gerakan Islam dan parti dakwah. Mungkin atas asas inilah berlakunya pertembungan antara kem DSHA dan kem yang tersingkir dari PAS.

9. Atas dasar dakwah PAS yang didominan oleh kem DSHA sanggup menilai semula pendekatan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat dan fleksibel dalam mainan politik mereka seperti dalam pendekatan terbarunya berkerjasama dengan PKR tetapi tidak dengan PAN dan DAP.

10. PAS juga mendekati UMNO tetapi tidak PAN. Mereka telah mewujudkan blok dalam minda dan mendoktrinasi dalam menggerak massa dengan isu-isu yang menjurus kepada kebencian dan perkelahian dengan UMNO sebagai musuh yang mutlak dan harus diperangi selama-lamanya!!!

11. Kita membuat analisa perbandingan PAS dan PAN kerana bagi mengkaji samada mereka mempunyai keupayaan untuk masa depan yang lebih cerah dan relevan dan melihat mengapa PAS masih hidup walau dengan menghadapi tribulasi dan mehnah sepanjang jalan mereka. Serta PAN yang kita lihat sebagai serpihan dari PAS namun lebih kepada mempunyai sifat-sifat yang berbeza dengan PAS atas alasan apa? Dan samada sifat-sifat yang berbeza itu memberi mereka keupayaan untuk bernafas lebih lama.

12. Hidup atas mainan politik isu adalah satu seni dalam politik dan ia sentiasa memberi idea kepada pemimpin PAN dalam mencari talian hayat mereka kalau tidak kepada Mat Sabu seorang sahaja. Tetapi isu politik tanpa pembentangan pelan untuk kebaikan rakyat jika memerintah adalah kerja sia-sia. Massa melihat Mat Sabu sebagai ayam sabung PAN kerana ketokohannya lebih terserlah dari Penasihat Umumnya Ustaz Ahmad Awang. Oleh itu PAN ‘dilihat’ bukan sebuah parti yang menjuarai Islam tetapi yang menjuarai isu. Menjuarai isu-isu ini boleh menarik minat kaum lain. Berbeza dengan pendekatan PAS yang lebih menjuarai agama dari isu. Oleh itu tidak boleh dikata tidak benar jika saya berkata PAN menuju menjadi sebuah ‘multi-cultural party’.

13. Mempunyai aset 6 wakil Dewan Negara dan 6 wakil Dewan Undangan Negeri bukanlah suatu yang boleh dibanggakan kerana mereka meminjam prasarana politik PAS untuk memenanginya apatah lagi dibelenggu dengan isu bai’ah dan lafaz cerai taklik yang mempunyai implikasi walau wujud diskusi-diskusi.

14. Kemampuan PAN untuk pergi lebih jauh harus dilihat dalam PRU Ke-14. Pertembungan 3 penjuru hanya memberi jalan mudah kepada musuh tradisi PAS iaitu UMNO. PAS telah bertindak dengan lebih berhikmah iaitu dengan bebaik dengan UMNO. Ini akan memberi undi ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO kepada PAS jika berlakunya kerjasama PAS-UMNO. Ini akan memberi impak kepada PAN dan menjadikannya tersingkir di arus perdana kerana relevannya sesebuah parti adalah berapa banyak mereka memenangi kerusi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s