1. Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-69 baru sahaja usai. Parti itu menunjukkan petanda ‘untuk memerintah bumi Malaysia hingga kiamat!’ walaupun mereka kelihatan ‘penat dan tenat’. Dengan melihat strategi terkini menghulurkan tangan untuk bersilaturahim dengan PAS.
2. Samada PAS mahu menerima atau tidak salam silaturahim dengan Umno itu bukan perkara pokok di sini tetapi apa yang PAS boleh belajar dari Umno itu yang penting sehingga parti itu dapat menjadi parti teras memerintah Malaysia sehingga kini. Ini yang lebih penting.
3. PAS harus belajar dari Umno tentang beberapa perkara. Saya akan rumuskannya untuk dijadikan panduan kepada pemikir-pemikir dan pembuat-pembuat dasar PAS:
i- Memperkukuhkan Dana PAS
Ini satu aspek yang mana PAS masih lemah. Saya pernah mengisyaratkan tentang betapa pentingnya PAS mewujudkan korporat-korporatnya ketika saya masih mahasiswa di UIAM dalam HARAKAH dengan tajuk “KORPORAT MUSLIM” pada 8 Disember 1995. Namun dipandang sinis oleh sebahagian ahli PAS dengan istilah ‘keparat’. Sedangkan kita melihat Umno lebih ‘cerdik’ dalam hal ini. Mereka mewujudkan korporat-korporat mereka yang menguasai konglomerat dalam mencari dana untuk membiayai gerakan mereka. Sungguh menyedihkan tentang hal ini dalam PAS. Adakah mereka tidak membaca sejarah Islam siapakah yang membiaya gerakan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w.? Siapakan Abdul Rahman Auf? Uthman Al-Affan? Zubir al-Awwan? Abu Bakar as-Siddiq? Bukankah mereka ‘korporat-korporat’ yang mencari dana untuk membiaya gerakan Islam?
Umno mewujudkan Daim dan proksi-proksinya. Dengan konglomerat yang menjana pendapatan jutaan ringgit. Bahkan berbilion ringgit! Inilah yang menjadi Umno masih relevan walau diasak segenap penjuru.
Kita tidak menafikan hal ini ada usaha dari PAS ke arah ini seperti kes North East Plantations Sdn Bhd yang telah dikurniakan tanah seluas 10,000 ekar di Hutan Simpan Sungai Paka, Mukim Besol dan Hulu Paka, Dungun untuk ladang kelapa sawit dan ternakan lembu apabila PAS memerintah Terengganu. Namun PAS melakukan kesilapan apabila tidak mempercepatkan proses pemilikan tanah. Ini kesilapan besar yang mereka lakukan. Apabila Kerajaan PAS tumbang di Terengganu, Pejabat Tanah menolak pembayaran premium menyebabkan PAS kehilangan tanah yang strategik. Saya diberitahu oleh sumber dalaman jika PAS berjaya memiliki tanah ini maka seluruh pekerja-pekerja PAS akan bergaji setimpal.
Saya meletakkan ‘Memperkukuhkan Dana PAS’ sebagai langkah paling aula dalam meniru Umno kerana betapa pentingnya langkah ini. Dengan dana PAS boleh memperkukuhkan daya saing dalam persada politik negara. Gerai-gerai niaga di pasar Jumaat di Rusila dan gerai-gerai malam di setiap ceramah tidak harus sentiasa begitu. Ia harus berkembang menjadi perniagaan di premis-premis tetap. Dari premis tetap ia harus berkembang menjadi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Seterus mergers and take-overs. Inilah cara profesional untuk membiayai parti.
ii. Tanam Dan Tuai
Umno mempunyai strategi ‘tanam dan tuai’. Iaitu merisik parti seterunya dan menanam orangnya dalam parti itu. Apabila telah sampai waktu menuai maka Umno akan beroleh hasil. Seorang penulis politik Halim Mahmood di dalam bukunya Asri Dalam Dilema: Hafar Enterprise 1983 mukasurat 107 menulis tentang krisis PAS di era 1977 seperti berikut di bawah tajuk Umno Dalam Krisis PAS-Asri “Seringkali PAS mengalami krisis dalam ‘rumahtangganya’ akan ada satu pihak lain yang menunggu dan melihat. Kalaupun tidak ada campurtangannya secara langsung, kalaupun tidak ada perhatian secara dekat, ianya akan ada pemerhati dari luar, dari jauh. Pokoknya, perhatian itu suatu yang mesti, suatu yang penting. Setidak-tidaknya bagi menilai kekuatan, kemajuan, malah keruntuhan yang mungkin berlaku dari krisis yang dialaminya.’ PAS harus merisik dan menanam. Mereka tidak harus selama-lamanya menjadi parti ‘mangsa’. Mereka seharusnya juga menjadi parti ‘pemangsa’. Mereka tidak boleh menjadi naif selama-lamanya.
Lihat sahaja dalam kes Parti Amanah Negara betapa PAS menjadi mangsa lagi. Mereka telah hilang panglima-panglima politik hebat mereka gara-gara mainan politik ‘risik dan tanam’ PKR dan DAP.
PAS harus belajar merisik parti seterunya dan menanam orang-orangnya dalam parti seterunya apabila sampai masanya maka PAS pula yang menuai hasil!
iii. Arah dan tawan
Kita berharap dengan memiliki bangunan sendiri di Jalan Raja Laut yang bernilai jutaan ringgit PAS mempunyai pusat ‘arah dan tawan’. PAS bukan lagi bermarkazkan rumah-rumah ahli sebagai pusat arah dan tawan tetapi mempunyai beberapa aset dan prasarana untuk melakukan kerja ini secara tersusun dan rapi. Oleh itu tiada lagi alasan untuk tidak menyusun strategi arah dan tawan.
Lihat Umno mempunyai PWTC sebagai pusat arah dan tawan mereka.
iv. Pahlawan Siber
Di era pertarungan politik dengan menembak secara blog-blog dan media baru, PAS harus mempunyai pahlawan-pahlawan sibernya sendiri. Ini dibiayai dengan dana korporat-korporat PAS. Pahlawan-pahlawan siber PAS boleh jadi pahlawan halimunan atau hakiki. ‘Pedang Allah’ di zaman moden ini adalah sebutir komputer atau satu gajet yang bernama hanset! Pahlawan siber yang hakiki harus diajar aspek undang-undang seperti undang-undang fitnah dan hasutan. Seteru PAS lebih maju dalam hal ini. Dengan Umno-Cybertroopers dan The Red Bean Army dll.
PAS harus mengembleng tenaga dari spesis basyar seramai mungkin. Usahasama dengan spesis basyar yang dimuliakan Allah adalah satu kemestian. Mankala menyertai PAS adalah satu kemestian bagi spesis basyar melainkan mereka boleh tasyakkul dan mumasthalah seperti spesis jin dan bunian. Model gerakan Islam PAS adalah model terbaik untuk spesis basyar bersama. Fikrah Islam persis gerakan Islam Rasulullah yang diamalkan PAS adalah kewajipan kepada spesis basyar.
vii. Menguasai Perbandaran
PAS tidak harus selama-lamanya menjuarai perkampungan. Jaguh kampung layaknya. Mereka harus merangka strategi menguasai perbandaran. Lihatlah Umno yang bukan setakat menjadi saingan PAS diperkampungan tetapi mereka menawan kota-kota.
viii. Kerjasama Politik
PAS sekarang ini kelihatan bersendirian. Adalah terbaik bagi PAS, selepas tempoh eddah politik berakhir, mereka mencari sekutu politik baru. Umno kelihatan bersungguh-sungguh ingin berkerjasama dengan PAS. Kerjasama politik PAS-UMNO bukan sahaja meletakkan PAS dipersada politik negara dengan strategik tapi memungkinkan agenda-agenda Islam PAS terlaksana. PAS harus belajar kegagalan kerjasama dengan Umno semasa pimpinan Tan Sri Asri Muda.
4. Sebagai penutup sebelum saya menghembus nafas terakhir saya ingin lihat seorang Perdana Menteri dari PAS. Ini boleh tercapai, tetapi tidak terhad, dengan pelan yang telah saya bentangkan.
Idea lama.
Ingin capai kemenangan dlm kerangka musuh.
Nampak sangat penulis bukan seorang aktivis yg turun ke medan.
Yang mengkhianati perjuangan bukan seorang aktivis yang turun ke medan tapi pemimpin atasan yang ke hulu ke hilir memperjuangkan kepentingan tertentu. Aktivis bawahan ‘diliwat’ dan ‘dirogol’.
58.26.24.194