JUTAWAN BROKER

1. Pelbagai cara orang ingin mencapai status eksklusif sebagai “jutawan”. Salah satu caranya adalah dengan menjadi broker.  Broker didefinisi oleh Kamus Dewan 4 sebagai ‘orang yang kerjanya membeli dan menjual saham, wang asing, atau barang-barang untuk orang lain.’ Apa yang saya ingin maksudkan di sini bukan broker saham atau wang asing tetapi ‘barang-barang untuk orang lain’. Tetapi saya tidak menghadkan industri pembrokeran sebagai membeli dan menjual ‘barang-barang untuk orang lain sahaja tetapi juga ‘perkhidmatan’. Mereka adalah orang tengah sebenarnya. Nanti saya akan huraikan. Tafsiran saya ini lebih luas dan secara praktisnya di luar sana ramai broker yang juga menjadi orang tengah kepada urusniaga perkhidmatan. Saya berjumpa dengan otai-otai dalam industri pembrokeran, namun mereka agak menolak untuk dipanggil broker kerana ia agak tidak profesional. Mereka lebih suka dipanggil sebagai ‘konsultan’ atau ‘perunding’. Ia hanya masalah pengistilahan. Mungkin kerana otai-otai ini tidak suka dipanggil sebagai ‘broker’ kerana ia sinonim dengan ‘kekotoran’ atau ‘pencemaran’ di dalam industri ini disebabkan oleh beberapa epal busuk. Sebab itu ada istilah ‘broker maut’ bagi hardcore dalam industri ini bagi menggambarkan kecelaruan mereka yang datang dengan motosikal buruk dan dokumen-dokumen projek bernilai bilion yang sudah lusuh ke kedai mamak sembang sehingga larut malam! Ironinya! Bahkan kedai mamak itu sudah bertrilion nilai projek disembang. Walhasil air teh tarik secawan pun dibayar oleh pelanggan berpotensi. Jangan memandang negatif kerana broker seperti ini dihasilkan dari  University of Hard Knocks lama-lama mereka menjadi lebih cerdik dan profesional!

2. Pembrokeran dan bekerja sebagai broker tidaklah sekotor dan sehina seperti sebahagian kita berpandangan. Ia adalah satu kerja mulia. Berapa banyak projek-projek mega siap kerana broker. Betapa banyak perkhidmatan mendapat pelanggan-pelanggan dan beres kerana broker. Betapa banyak barang-barang mahal berjaya dijual kerana broker. Betapa ramai broker menjadi jutawan kerana kecerdikan dan nasib mereka dalam merunding projek dan perkhidmatan. Saya menyebut nasib industri ini pernah hanya dilakukan tanpa bukti-bukti bertulis wujud bagi mengesahkan tentang komisyen broker. Akibatnya ada yang ‘dikencing’ walau projek atau perkhidmatan berjaya ditemukan oleh orang tengah antara pemilik projek atau perkhidmatan dan pelanggan-pelanggan berpotensi. Tetapi dengan ledakan teknologi wujud seperti email dan whatsapp maka agak sukar untuk orang tengah ‘dikencing’ lagi. Ia laku di Mahkamah sebagai bukti yang wujud antara pemilik-pemilik projek atau perkhidmatan dan pelanggan-pelanggan. Celik undang-undang juga satu faktor untuk melindungi broker jika projek atau perkhidmatan itu berjaya tutup niaga (close the deal).

3. Dalam industri ini seperti yang saya sebut juga wujud ‘epal buruk’ yang kita sifatkan sebagai ‘conman‘ atau ‘scammer‘. Modus operandi bagi conmen dan scammers adalah dengan meminta upfront (wang pendahuluan) atas alasan berbagai. Walau tidak dinafikan bahawa wujud projek dan perkhidmatan adalah genuine ada broker yang meminta upfront. Tetapi dengan meminta upfront walau projek atau perkhidmatan itu genuine jika rundingan itu tidak berjaya maka broker akan dikejar ke lubang cacing bagi menuntut pembayaran balik duit upfront itu! Jadi persoalannya bagai mana untuk melindungi komisyen pembrokeran seorang broker?

4. Satu cara untuk melindungi broker dari dikencing seperti janji-janji pemilik projek atau perkhidmatan atau juga pelanggan adalah dengan meminta pemilik projek dan perkhidmatan untuk memasuki letter of undertaking yang menghurai cara bayaran komisyen broker. Letter of undertaking atau surat janji itu sebaiknya disetem di Pejabat Hasil bagi mengukuhkannya sebagai bahan bukti di Mahkamah jika wujud perlanggaran janji oleh mana-mana pihak bagi broker menuai hasil cucuk-tanamnya. Namun dokumentasi-dokumentasi lain seperti email dan whatsapp juga memadai kerana ia adalah cara-pakai sekarang. Adalah dinasihati cara letter of undertaking adalah terbaik iaitu dengan mengatur peguam sebagai pemegang amanah (stakeholder) kepada wang komisyen broker. Sewajarnya broker profesional mempunyai seorang peguam yang menasihatinya.

5. Di dalam kes Ahmad Zaini Japar v. TL Offshore Sdn Bhd [2002] 5 CLJ 201; [2002] 7 MLJ 604, Mahkamah telah memutuskan bahawa Plaintif (broker) mendapatkan kontrak bagi Defendan (TL Offshore) dari Petronas Carigali. Mereka hanya memasuki perjanjian secara lisan sahaja bahawa Defendan hendaklah membayar Plaintif (broker) sebanyak 1% dari nilai kontrak dengan had RM12 juta. Defendan hanya membayar sebanyak RM700,000 sahaja kepada Plaintif. Namun ada satu surat yang mengesahkan tentang perjanjian mereka yang dikeluarkan oleh Defendan. Mahkamah memutuskan Plaintif berhak kepada komisyen 1% tersebut. Namun di dalam kes Merong Mahawangsa Sdn Bhd & Anor v. Dato’ Shazryl Eskay Bin Abdullah Rayuan Sivil (Mahkamah Rayuan) No: 02(f)-29-03/2014(W), Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa walau wujud ‘letter of undertaking was contrary to public policy and therefore void and unenforceable.’

6. Bukan senang untuk menjadi jutawan broker. Ada yang dikencing dan ada juga yang undang-undang tidak berpihak bagi mereka. Dunia pembrokeran penuh dengan karenah dan tipu helah. Tetapi jangan jangan cepat berputus asa. Kegagalan adalah untuk mematangkan kita sebagai broker profesional. Jika tidak suka dikencing maka jangan kencing orang. Ini petua bagi yang ingin menceburi dunia pembrokeran.

7. Sebagai orang tengah, broker haruslah menguasai ilmu rundingan. Sebab itu broker juga disebut sebagai perunding. Banyak buku yang ditulis bagi panduan broker dalam mempraktikkan ilmu rundingan. Salah satu buku yang baik untuk dibaca adalah Secrets Of Power Negotiating oleh Roger Dawson. Ada beberapa tip berguna yang dinyatakan oleh penulis buku ini berkenaan rundingan. Broker boleh mempraktikkannya. Buku ini adalah sangat penting bagi broker untuk menjadi lebih profesional.

8. Sebelum sesorang broker memulakan kerja mereka, mereka harus memiliki terlebih dahulu dokumen-dokumen projek atau perkhidmatan. Ia bergantung kepada pemilik projek atau perkhidmatan samada ingin mempercayai dan melepaskan kepada broker. Oleh itu nasihat saya bermulalah dengan kecil-kecilan dahulu sebelum menjadi broker profesional. Dokumen pula boleh jadi fake atau forgery. Ini membahayakan kepada broker kerana boleh ia boleh menjadi kes jenayah dan broker mendapat kesipuan. Untuk menentukan ia adalah genuine atau tidak adalah dengan skil dan ketajaman pemahaman seseorang broker. Tidak semesti menghantar dokumen-dokumen itu kepada Pejabat Kimia. Ia boleh jadi dengan kaedah pertanyaan samada secara email atau whatsapp kepada orang yang mengeluarkan dokumen tersebut. Teknik pengesahan ini disebut sebagai due diligence. Setiap tugasan harus dibuat due diligence. Bukan sahaja terhadap pemilik projek atau perkhidmatan tetapi juga pelanggan-pelanggan. Identiti pemilik projek dan perkhidmatan dan juga pelanggan-pelanggan boleh dibuat. Jika syarikat dengan membuat SSM Search di laman SSM. Jika individu dengan membuat semakan samada dia seorang bangkrap atau tidak secara atas talian. Kosnya di bawah RM100 sahaja.

9. Pembrokeran dari sudut undang-undang ia adalah kontrak sebenarnya. Dari sudut skil rundingan ia adalah perundingan profesional yang penuh dengan teknik-teknik seperti yang disebut dalam buku Roger Dawson yang bertajuk Secrets Of Power Negotiating. Lama-kelamaan anda akan menjadi broker profesional. Anda harus keluar dari label broker maut!

10. Ada sebab mengapa apa-apa industri bergantung kepada para broker untuk menjayakan projek mereka antaranya mereka telah habis cara untuk melaksanakan pelan mereka. Atau mungkin memerlukan khidmat orang tengah untuk mencari pelanggan-pelanggan yang lebih baik. Seperti industri pendanaan (funding) ia amatlah sulit untuk mendapatkan pembiaya kerana ia tidak diwar-warkan semberono kerana mungkin akan dicium oleh conman dan scammer. Wujudnya broker maka ia boleh menapis bagi pembiaya, pemilik projek atau perkhidmatan untuk pelanggan-pelanggan yang memang sesuai dan tepat. Broker juga menjadi pendamai jika wujud kegetiran bagi kedua-dua pihak yang boleh menggagalkan urusan dari terlaksana.

11. Salah satu cara Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi ialah melahirkan broker profesional yang menjayakan projek-projek mega dan perkhidmatan mustahak. Ia tidak dapat dicapai dengan begitu mudah tetapi secara pengalaman dan memahami secara pembacaan dan acumen. SELAMAT DATANG KE KELAB JUTAWAN BROKER!

Advertisements

HAKIKAT CINTA

1. Ahli-ahli falsafah mempunyai berbagai kata-kata mendalam tentang hakikat cinta. Begitu juga penyair mempunyai berbagai kata-kata indah tentang cinta. Semua haiwan yang bernyawa samada manusia dan binatang mempunyai perasaan cinta terhadap pasangannya. Cinta itu datang apabila mereka ingin bersenyawa. Walau haiwan hanya sekejap sahaja ‘bercinta’ untuk bersenyawa berbanding dengan manusia yang bercinta dengan jangka masa yang panjang.

2. Sila lihat ‘kisah yang terbaik’ ( أَحْسَنَ الْقَصَصِ)[Yusof:3] dalam al-Quran. Kisah cinta di antara Yusof dan isteri al-Aziz (امْرَأَتُ الْعَزِيزِ)[Yusof: 30]. Isteri al-Aziz atau yang masyhur di kalangan kita dengan nama Zulaikha telah ‘asyik’ dengan Yusof (وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا ) [Yusof: 24]. Perasaan ‘asyik’ pertama itu dari Zulaikha sebenarnya ( وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ)(Dan sesungguhnya dia [Zulaikha] telah asyik dengannya [Yusof]). Dengan perasaan cinta dalam hati Zulaikha ini maka Yusof pun telah asyik juga dengan Zulaikha, sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh al-Quran (وَهَمَّ بِهَا)(Dan dia [Yusof] telah asyik dengannya [Zulaikha]). Perasaan cinta pertama itu lahir dari hati seorang perempuan, kemudian perasaan cinta itu mengalir ke dalam hati lelaki.

3. Oleh itu jika seseorang perempuan tidak menyintai seseorang lelaki, lelaki tersebut tidak akan ada perasaan cinta di dalam hatinya.
4. Sebab itulah dalam fekah mazhab empat Ahlu Sunnah Wal Jamaah, lelaki boleh berkahwin empat kerana lelaki tidak mempunyai perasaan cinta terhadap seorang perempuan sahaja, melainkan perempuan tertentu yang berjaya mengikat kukuh hati seseorang lelaki dengan pancaran cinta dari hatinya.
5. Inilah hakikat cinta.

6. Tetapi dalih perempuan ini adalah hebat sebagaimana disebut (إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ)(Sesungguhnya tipu-helah kamu adalah besar!)[Yusof:28]. Tipu-helah mereka ini adalah untuk menutup hakikat cinta iaitu ”lelaki tidak pernah jatuh cinta”.