APA PERLU ANDA BUAT JIKA ANDA TERLIBAT DALAM KEMALANGAN JALANRAYA?

 

1. Terlibat dalam kemalangan atau kecelakaan jalanraya bukan setakat menyebabkan anda kerugian harta-benda dan kecederaan tetapi membangkitkan kes separa jenayah (quasi criminal) atau jenayah yang boleh menyebabkan anda didenda atau merengkok dalam penjara. Saya akan menghuraikan dengan jelas dua kategori ini. Bagi kategori pertama iaitu yang menyebabkan kerugian harta-benda dan kecederaan ia adalah kes sivil. Manakala bagi kategori kedua ia membangkitkan kes quasi criminal (separa jenayah) atau jenayah.

KES SIVIL

2. Bagi kategori ini ia adalah ‘property damage’ (kerugian harta-benda) dan/atau ‘third party bodily injuries’ (kecederaan tubuh-badan pihak ketiga). Kecederaan tubuh-badan termasuk kematian.

3. Ini akan membangkitkan saman sivil di Mahkamah bagi tuntutan gantirugi. Ada undang-undang amali yang mantap telah dilaksanakan dan diamali di Mahkamah berkait tuntutan ini. Anda harus membayar gantirugi bagi kerugian harta-benda dan/atau kecederaan tubuh-badan pihak ketiga. Jika anda juga tercedera dan atau mengalami kecederaan tubuh badan anda juga boleh menyaman balik (counter-claim) dengan syarat tiada kecuaian di pihak anda. Jika ada kecuaian di pihak anda maka tuntutan anda boleh ditolak atau anda mendapat sebahagian gantirugi dari berapa persen sumbang-cuai anda.

4. Sebab itu Kerajaan menetapkan ada tanggung-jawab statut untuk anda mempunyai roadtax dan insurans bagi kereta samada ‘comprehensive’ (mencakupi pihak pertama atau pihak ketiga) atau ‘third party’ (pihak ketiga) paling kurangnya bagi melindungi anda apabila anda di saman secara sivil oleh pihak ketiga.

5. Perkara pertama yang perlu anda buat apabila terlibat adalah membuat repot polis secepat mungkin kerana jika dilewatkan akan membangkitkan unsur kesangsian reka-cipta kandungan repot polis atau disebut ‘afterthought’. Jika anda tercedera anda perlulah membuat repot polis seberapa segera di Balai Polis berdekatan apabila sudah boleh bergerak. Sekarang repot polis boleh dihantar secara atas-talian kepada Balai Polis berkenaan yang menyiasat di mana kemalangan itu berlaku walau anda membuat repot polis di mana jua di Malaysia. Pada pendapat saya anda boleh merujuk kepada peguam terlebih dahulu sebelum membuat repot polis kerana hak anda untuk merujuk kepada peguam adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan (Rujuk: Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan). Saya juga berpendapat bahawa komunikasi anda dengan peguam anda adalah satu komunikasi istimewa (privilege communication). Ini termaktub dalam Akta Keterangan 1950 (Rujuk: Seksyen 126 Akta Keterangan 1950). Komunikasi anda dengan peguam anda adalah dilindungi oleh undang-undang hatta pihak berkuasa seperti polis atau sesiapa sahaja. Alasan-alasan anda boleh merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Keterangan itu adalah anda mungkin tidak tahu tentang hak-hak anda melainkan telah dinasihatkan oleh peguam yang memang terpelajar tentang undang-undang.

6. Perkara kedua, selepas anda perlu membuat repot polis, anda perlu menghubungi syarikat insurans anda yang anda membeli polisinya. Ini adalah kerana anda mungkin cuai 100% dalam kemalangan itu maka syarikat insurans anda bertanggunggan untuk membayar gantirugi kepada pihak ketiga bagi kerugian harta-benda dan kecederaan tubuh-badan. Di dalam polisi atau perjanjian antara anda dengan syarikat insurans mungkin ada klausa di mana anda harus memaklumkan kepada syarikat insurans dengan secepat mungkin jika anda terlibat dalam kemalangan. Wujud juga kes-kes fraud. Anda boleh disalahkan oleh syarikat insurans anda jika tidak dimaklumkan kepada mereka. Ini adalah kerana untuk syarikat insurans mengambil tindakan sewajarnya seperti menyelidiki dan melantik peguam panel mereka bagi mewakili anda (mereka sebenarnya yang bertanggung-jawab kerana mereka melindungi anda dengan premium yang dibayar oleh anda ketika membeli polisi) jika anda di saman.

7. Perkara ketiga, jika anda yang tidak cuai dan mengalami kerugian-harta benda dan/atau kecederaan tubuh badan, maka anda harus mencari peguam untuk membuat tuntutan sivil bagi gantirugi-gantirugi. Biasanya, ada agen-agen yang bertugas khas bagi mencari pelanggan-pelanggan untuk membuat tuntutan insurans. Walau industri secara ini yang juga dikenali sebagai ‘tout’ adalah salah namun semacam ia telah sebati dalam industri tuntutan insurans. Anda harus memilih syarikat peguam yang sesuai kerana yuran guaman yang dicaj oleh peguam adalah berbeza-beza. Ada syarikat peguam yang memberi kemudahan pinjaman kepada anda. Mungkin anda jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kemalangan; rosak kenderaan dan cedera tubuh-badan, anda juga mungkin kehilangan kerja. Tambahan lagi perlu menyelesaikan bil-bil hospital. Semua ini akan didahulukan oleh sebahagian syarikat guaman. Mereka akan menolak jumlah pinjaman ini nanti apabila sudah mendapat bayaran dari tuntutan insurans.

8. Ada juga klien-klien yang melompat dari satu syarikat guaman ke syarikat guaman lain; mungkin kerana servis yang mengecewakan atau klien itu sendiri mahu mendapat wang pendahuluan yang lumayan terutamanya kes-kes yang mempunyai gantirugi yang besar!  Bahkan ingin melupakan bayaran-bayaran yang telah didahulukan oleh syarikat guaman pertama. Ini adalah tindakan yang tidak profesional kerana anda mungkin boleh disaman oleh syarikat guaman pertama dan anda bukan sahaja dikehendaki membayar segala wang yang didahulukan tetapi juga membayar kos-kos guaman. Ini juga menyebabkan kelambatan kepada perjalanan kes anda.

9. Perkara keempat, anda harus menunggu hari bicara. Anda harus datang sebelum sehari bicara untuk berbincang dengan peguam anda. Jika anda gagal datang, anda mungkin akan membuat perkara yang memprejudiskan kes anda di Mahkamah pada keesokan harinya. Sila baca tulisan saya ’10 Tip Jika Anda Menjadi Saksi Dalam Kes Di Mahkamah’. Sekarang ini Mahkamah telah menggunakan sistem Penyata Saksi-Saksi Bertulis. Anda harus memberi kerjasama untuk penyediaan penyata anda dengan pihak peguam anda.

10. Perkara kelima, apabila Mahkamah telah membuat keputusan maka anda akan mengetahui berapakah tuntutan gantirugi yang anda sepatut perolehi. Jika ada mana-mana pihak termasuk anda tidak puas-hati anda atau lawan anda boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi. Jika anda kalah maka anda harus membayar kos. Jika anda menang maka akan mendapat bayaran seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah (Sesyen atau Majistret). Kadang-kadang jika anda menang anda akan mendapat lebih gantirugi dari jumlah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah. Kadang-kadang anda mendapat kurang. Oleh itu berbincanglah dengan peguam anda dan buat keputusan yang bijaksana. Kadang-kadang kes juga meleret ke Mahkamah Rayuan.

11. Perkara keenam, kadang-kadang syarikat insurans memberi tawaran untuk penyelesaian di luar Mahkamah. Anda boleh membuat bidaan supaya tawaran itu lebih tinggi. Kadang-kadang anda hanya mendapat tawaran ex-gratia terutama jika anda cedera parah tetapi cara kemalangan itu berlaku tidak menyebelahi anda. Tawaran ini kadang-kadang telah dibuat sebelum kes difailkan lagi. Untuk makluman anda sebenarnya ada cara kiraan bagaimana menilai gantirugi yang anda harus terima. Bukan sahaja bagaimana cara kemalangan ini terjadi tetapi juga setiap tubuh badan anda mempunyai nilaian gantirugi kewangan. Begitu juga kerugian-kerugian yang lain seperti bil-bil hospital, pendapatan dll. Jika berlaku kematian di dalam kemalangan maka samada dapat gantirugi hilang pergantungan dan kesedihan di bawah Civil Law Act 1956.

12. Sekarang ini Mahkamah telah mempunyai Pusat Mediasi. Anda boleh memilih untuk menyelesaikan kes anda secara mediasi. Mediasi adalah pengantaraan. Bukan hakim yang mendengar bicara kes anda mengantaranya tetapi hakim yang ditugaskan khas untuk mengantara kes ini diselesaikan secara baik.

QUASI CRIMINAL DAN JENAYAH

13. Bagi tindakan yang membangkitkan kes separa jenayah (quasi criminal) anda samada dikompaun atau didakwa oleh pihak pendakwa samada polis atau Timbalan Pendakwa Raya.

14. Jika kemalangan menyebabkan kematian maka ia membangkitkan tuduhan jenayah di bawah Seksyen 41 hingga 43 Road Transport Act 1987. Hukuman-hukuman di bawah seksyen-seksyen ini adalah denda dan pemenjaraan.

15. Saya mengatakan ia quasi criminal kerana anda hanya dikompaun. Anda tidak ditangkap. Tetapi dibawa ke Mahkamah sebagai Orang Kena Saman. Berbeza dengan kesalahan jenayah anda akan dikenali sebagai Orang Kena Tuduh. Kesalahan yang boleh dikompaun ini boleh jadi mana-mana peruntukan di bawah Road Transport Rules yang mencakupi 50 kompilasi peraturan-peraturan. Road Transport Rules (50 kompilasi) ini hendaklah dibaca bersama dengan Road Transport Act 1987. Pihak pendakwa mempunyai kuasa budi-bicara samada hendak mengkompaun anda atau tidak. Menurut peruntukan Seskyen 68(3) Road Transport Act 1987 kes anda di bawah Road Transport Rules (50 kompilasi) tersebut bukanlah prosiding jenayah.

16. Oleh kerana ia adalah quasi criminal maka ia harus dibicarakan dengan menggunakan kaedah-kaedah dalam Criminal Procedure Code (Act 593) & Rules. Begitu juga jika anda melakukan kesalahan di bawah Road Transport Act 1987 terutamanya Seksyen 41 hingga 43 maka anda boleh ditangkap dan dibawa ke Mahkamah sebagai Orang Kena Tuduh. Maka anda harus dijamin jika ingin bebas sementara kes selesai.

KESIMPULAN

18. Oleh itu anda harus mengelak gerah di atas jalan. Anda disarankan membaca tulisan saya berkenaan dengan ‘Gerak Dan Gerah‘. Walaupun anda mendapat gantirugi berjuta-juta anda mungkin telah kehilangan fungsi anggota badan tidak seperti sebelum kemalangan berlaku. Begitu juga harta-benda anda seperti kenderaan tidak sama seperti dahulu lagi selepas berlakunya kemalangan. Lebih parah lagi anda kehilangan orang tersayang dalam gerah yang berlaku atas jalan!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s