KITAB YANG SEMPURNA PADA MEMBAHASKAN ILMU-ILMU JIN (الكتاب التام في علوم الجان)

BAB: SIAPAKAH IFRIT?

1. Ifrit (عِفْرِيتٌ) atau jamaknya afārit (عَفَارِيْت) bagi jin lelaki. Ifrītah (عِفْرِيْتَة) atau jamaknya ifrītāt (عِفْرِيْتَاْت) bagi jin perempuan adalah jin-jin yang kuat dan memiliki sifat amanah. Mereka juga memiliki ilmu yang tinggi khususnya dari sudut ghaib dan rohani. Sebagaimana firman Allah:

قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ

• Abdullah Muhammad Basmeih:

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. (An-Naml:39)

2. Ayat 39 di atas menunjukkan ifrit adalah spesis jin. Mereka kuat kerana memiliki ilmu yang tinggi serta saiz mereka sebenar di alam ghaib yang besar. Saiz mereka yang besar kerana ketinggian ilmu mereka. Mereka juga bersifat ‘gagah dan juga amanah’ (وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ). Dapat membawa singgahsana Ratu Saba’ dengan cepat walau dikawal dan jarak jauh (Yaman ke Jerusalem) iaitu lebih kurang 2265.24 kilometer memerlukan kekuatan dan ilmu yang tinggi.

3. Bagaimana untuk mengenali ifrit jika mereka berdepan dengan kita di alam zahir secara mereka menyamar rupa manusia? Jika mereka ingin memberitahu kita akan siapa mereka yakni mereka adalah ifrit maka mereka akan menunjukkan warna mata mereka adalah KUNING. Lagi pekat kuning warna mata mereka maka lagi besar saiz mereka dan tinggi ilmu mereka.

4. Kita harus ingat bahawa jin ini berpuak-puak dan berkabilah-kabilah (هُوَ وَقَبِيلُهُ)[al-A’raf: 27]. Secara dasarnya ada jin yang menghuni udara. Ada jin yang menghuni daratan. Ada jin yang menghuni lautan. Bukan setakat itu sahaja, yang menghuni udara pula ada sub-spesis. Begitulah pada yang menghuni lautan dan daratan. Sebagaimana firman Allah ( كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا)(Kami ini pelbagai)[al-Jin:11]. Di alam jin ada yang bertubuh naga, singa, harimau, gajah, naga bersayap, gorila, duyung dan lain-lain.

5. Kajian saya dalam Sunan Sittah mendapati hanya Sahih Bukhari dan Muslim sahaja meriwayatkan tentang ifrit. Dalam Sahih Bukhari adalah hadis no.: 461, 3423 & 4808. Manakala dalam Sahih Muslim adalah hadis no. 1237. Makna hadis-hadis ini hampir sama melainkan berbeza sanad dan matan.

6. Di dalam Sahih Bukhari hadis no.: 3423, diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زِيَادٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ تَفَلَّتَ الْبَارِحَةَ لِيَقْطَعَ عَلَيَّ صَلاَتِي، فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ، فَأَخَذْتُهُ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبُطَهُ عَلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ دَعْوَةَ أَخِي سُلَيْمَانَ رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لاَ يَنْبَغِي لأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي. فَرَدَدْتُهُ خَاسِئًا)). عِفْرِيتٌ مُتَمَرِّدٌ مِنْ إِنْسٍ أَوْ جَانٍّ، مِثْلُ زِبْنِيَةٍ جَمَاعَتُهَا الزَّبَانِيَةُ. Sahih Bukhari. Hadis No: 3423

((Sesungguhnya ada seorang ifrit dari jin dilepaskan semalam untuk menganggu solatku, maka Allah telah memenangi ku ke atasnya, maka aku mengambilnya, maka aku sesungguhnya ingin mengikatnya di tiang salah satu tiang-tiang masjid sehingga kamu semua dapat melihatnya. Namun aku teringat doa saudara ku Sulaiman ‘Ya Allah kurniakan lah daku kekuasaan yang tidak diperolehi oleh sesiapa pun selepasku.’ Maka aku lepaskannya dalam ketakutan. Berkata Bukhari: ifrit adalah yang degil di kalangan orang atau jin. Contoh زِبْنِيَةٍ maka jamaknya الزَّبَانِيَةُ. ))

7. Hadis Sahih no.: 3423 ini menunjukkan bahawa ada di kalangan ifrit yang melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah berjaya melawan ifrit bahkan menangkapnya walau ia sedang ghaib.

8. Ifrit sebenarnya mahu berkhidmat kepada manusia. Dalam an-naml:39 menunjukkan ada ifrit dalam majlis Sulaiman. Tetapi dinasihatkan jika ingin mengguna khidmat ifrit seseorang harus lebih tinggi ilmunya dari ifrit yang hendak dipergunakannya.

9. Tampaknya dalam an-namlu:39, tiada sebarang permintaan ganjaran dari ifrit untuk melakukan khidmat itu. Namun difahami bahawa berada dalam majlis Sulaiman di saat getir (perang) itu menunjukkan bahawa ifrit ini agak spesial. Mungkin menteri atau askar kanan Sulaiman.

Advertisements

ADAB BERGURU

1. Seorang penuntut perlu memahami adab berguru kerana bagi menuntut ilmu samada ilmu dunia atau ilmu akhirat memerlukan guru. Kita tidak dapat ilmu melalui seorang diri. Walau di sana ada pengecualian kepada hamba-hamba Allah yang diberi ilmu laduni (فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا) (Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.)[al-Kahfi:65] sebagaimana saya telah bahaskan sebelum ini di dalam ‘PERBAHASAN TENTANG ILMU LADUNI’. Perlu kita memahami dalam kisah Khidhir ini ada ahli tafsir yang berpendapat ia adalah bukan manusia tetapi malaikat. Jika dia adalah malaikat maka dia adalah Jibril. Selayaknya bagi Musa a.s. seorang nabi yang boleh berbicara secara langsung dengan Allah (وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا)(Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)[an-Nisa’:164). Iblis juga sebelum dia dilaknat oleh Allah, dia boleh berbicara dengan Allah secara langsung [Lihat: al-Baqarah:34; al-Araf:11; al-Hijr: 31 & 32; al-Isra: 61; al-Kahf: 50; Taha: 116; Sad: 74 & 75] itupun ketika al-Quran masih di Luh Mahfuz [al-Buruj:22].

2. Adab berguru ini adalah seperti kisah Musa a.s. berguru dengan Khidhir. Tentang hakikat Khidhir ini ramai yang sangsi dan keliru. Siapakah Khidhir? Saya telah katakan di awal tulisan ini bahawa ia berkemungkinan besar adalah malaikat. Kisah Musa a.s. berguru ini menjadi panduan kepada kita tentang adab berguru. Kisahnya bermula apabila Musa a.s. berkhutbah pada Bani Israel maka baginda telah ditanya; Siapakah yang paling berilmu? Maka dia (Musa a.s.) menjawab: Aku! Maka Allah murka kepadanya kerana tidak diberi ilmu kepadanya. Maka Allah berkata kepada Musa a.s. bahkan bagi-Ku seorang hamba di pertemuan dua laut. Dia lebih berilmu dari kamu. Seperti yang diriwayat oleh Ubai bin Ka’ab dari Rasulullah s.a.w.: (حدثنا أبي بن كعب عن النبي صلى الله عليه وسلم أن موسى قام خطيبا في بني إسرائيل فسئل أي الناس أعلم فقال أنا فعتب الله عليه إذ لم يرد العلم إليه فقال له بلى لي عبد بمجمع البحرين هو أعلم منك) (Dipetik dari Tafsir Ibnu Kathir).

3. Adab pertama, adalah seorang murid harus mencari guru. Bukan guru mencari murid. Kisah Musa a.s. itu adalah dia sanggup berjalan jauh mencari Khidhir walau tersesat sehingga berjumpa dengannya di dua pertemuan laut. Adalah tidak wajar guru mencari murid. Atau perigi mencari timba, kata pepatah Melayu. Ini menunjukkan kesungguhan murid dalam menuntut ilmu. Maka murid akan menjadi lebih menghargai ilmu yang diperolehi. Di sini juga ada keperluan, dimana jika murid yang ‘tersesat jalan’ maka wajarlah orang yang berilmu atau guru mencari dan membantu murid yang tersesat itu. Kebuntuan murid dalam mendapat petunjuk adalah wajar bagi seorang guru membantunya. Ini adalah kes kecemasan sahaja. Namun prinsip asasnya murid harus mencari guru. Tetapi guru yang macamana harus dicari oleh murid? Ia bergantung kepada keadaan. Apa ilmu yang dikehendaki oleh murid? Jika murid sudah ada ilmu tentang sesuatu maka murid harus mencari guru bagi mengajarnya tentang ilmu yang belum dimilikinya lagi. Dalam kisah Musa a.s. baginda tandus ‘ilmu hakikat’. Maka sebab itu Allah mengarahkan Musa mencari Khidhir bagi memahami ilmu hakikat.

4. Adab kedua, seorang murid harus meminta izin dari guru untuk berguru. (قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا)(Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”)[al-Kahfi:66]. Keizinan ini adalah kemestian kerana seorang guru boleh memahami seseorang murid tentang apa yang murid itu perlukan. Seorang guru akan menolak jika dia dapati murid itu tidak layak untuk berguru dengannya.

5. Adab ketiga, seorang guru boleh meletakkan syarat kepada murid (قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا)(Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.)(al-Kahfi:70). Inilah disiplin dalam ilmu hakikat iaitu memerlukan kesabaran dalam menuntutnya. Seperti yang telah awal-awal diberitahu oleh Khidhir (قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا)(Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.)[al-Kahfi: 67].

5. Adab keempat, murid bukan setakat meminta izin untuk berguru dengan seorang guru namun dia harus menunjukkan kesungguhan untuk berguru walau ditolak oleh guru untuk berguru dengannya. [al-Kahfi:67 & 68].

6. Adab kelima, harus ada perpisahan antara guru dan murid apabila murid telah melanggar syarat berguru.(قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ)(Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.) [al-Kahfi:78]

7. Adab keenam, jika murid telah khatam sesuatu ilmu dari guru maka dia harus tidak mendakwa dirinya lah paling berilmu. Jika tidak dia akan dihukum seperti mana Musa dihukum iaitu terpaksa menuntut ilmu dari hamba Allah yang mengajar erti ilmu yang belum dikuasainya. Kerana ilmu Allah ini adalah sangat luas. Apa yang ‘seluruh kita’ ada ini hanya sedikit sahaja. Seorang yang telah berilmu itu harus mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Jangan angkuh dan sombong dengan ilmu kita kerana Allah tidak suka kepada orang yang angkuh dan sombong.