1. Parti PAS yang berlambangkan bulan sedang menghadapi ujian sekarang. Muktamar ke-59 yang baru usai penuh dengan petunjuk bahawa parti ini menghadapi konflik dan pecahan kepada dua; ulamak dan profesional. Dalam Harakah Edisi Jumaat 1896 Dato’ Seri Tuan Guru Presiden berfatwa HARAM LAGAKAN ULAMA-PROFESIONAL.
2. PAS memikul amanah Allah dan Nabi Muhammad saw dalam meletakkan Islam ditempatnya yang sepatutnya.
3. Dengan merujuk kepada sumber-sumber wahyu maka kita dapat memahami permasalahan ini dan mencari jalan dan petunjuk dalam menyelesaikannya kerana kesilapan dalam berfikir dengan merujuk sumber-sumber wahyu adalah 0%.
4. Saya pun dalam menulis artikel ini sambil mendengar berkali-kali bacaan al-Quran Surah al-Qamar oleh Syeikh Ghamidi. Surah al-Qamar yang boleh dijadikan inspirasi dalam memahami masalah ini:
“Telah hampir saat dan telah terbelah bulan.” (Quran, Al-Qamar:1)
Ayat di atas penuh dengan balaghah dan majaz yang mendalam. Seolah-olah menunjuk bahawa bulan dan perkara yang berkaitan dengan bulan (PAS) akan terbelah dua; ulamak dan profesional.
5. Di dalam hadis pula disebut:
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Masud: “Pada masa hidup Nabi SAW, bulan terbelah dua dan melihat ini Nabi SAW bersabda: “Saksikanlah!” (Sahih Bukhari).
6. Pecahan-pecahan ini menimbulkan konflik dalaman PAS. Saya pernah membincangkan konflik dalaman PAS dalam blog saya WARKAH SERATING yang bertajuk KONFLIK DALAMAN PAS. Ia boleh dilihat di sini: http://v.gd/WQ3KUE .
7. Di dalam analisa saya perkara ini berlaku kerana i) Perlembagaan PAS yang dideraf mempunyai kesamaran tentang siapakah sebenarnya “nakhoda” PAS. Adakah Mursyid Am atau Presiden yang mempunyai kuasa untuk membuat dasar-dasar muktamad dalam PAS? ii) Apabila PAS mengecap madu yang berisi racun iaitu “kuasa”. Sila baca analisa saya dalam tulisan tersebut.
8. Mendengar berulang-ulang kali dan membaca berkali-kali Surah al-Qamar ini mengandungi berbagai petunjuk kepada penguasa-penguasa PAS dalam menangani konflik dalaman PAS.
9. Walaupun PAS terbelah dua tetapi ini bukan menunjukkan parti yang bertunjangkan Islam ini lemah. Parti ini dilihat dari luar adalah sebuah parti yang kuat.
“Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.” (Quran, Al-Qamar:45)
10. Pecahan-pecahan PAS ini ibarat dua partisel atom iaitu proton dan neutron yang jika tidak diurus dengan cermat akan meledak dalam parti dan boleh memusnahkan parti. Tetapi jika diurus dengan baik ia boleh diledak diluar hingga memusnah musuh-musuh.
11. Pada saya jika Presiden boleh memimpin dan memperkuatkan kuasanya dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan yang boleh ditafsirkan bahawa beliaulah nakhoda PAS maka permasalahan ini akan boleh direhatkan dengan sempurna. Lihat tulisan saya dalam PROSES KONSOLIDASI KUASA EKSEKUTIF PRESIDEN PAS : http://v.gd/dwOs0J .
12. Adalah lebih berhikmah untuk memberi kuasa eksekutif dalam penentu tertinggi dasar-dasar PAS kepada Presiden kerana beliau dipilih oleh akar-umbi.
13. Permasalahan kedua ialah strategi PAS untuk ke Putrajaya. Berbagai-bagai strategi ke Putrajaya. Ada yang berpandangan bahawa PAS perlu ke Putrajaya dengan mengekalkan formula kerjasama dalam PR. Tetapi ada juga yang berpandangan dengan konsep Kerajaan Perpaduan. Saya pernah mengemukakan formula-formula PAS untuk ke Putrajaya dalam blog saya dengan tajuk PAS: FORMULA KE PUTRAJAYA. Lihat di sini: http://v.gd/7oC90S . Saya menjumpai 5 formula PAS untuk ke Putrajaya.
14. Dalam permasalahan strategi yang pelbagai untuk digunapakai oleh PAS jika penguasa-penguasa PAS tidak cermat maka ia boleh menyumbang kepada konflik meruncing dalam PAS. Sebab itu saya berpandangan bahawa langkah pertama PAS untuk mengelak konflik dalaman PAS ialah dengan menderaf perlembagaan yang memberi definisi yang jelas bahawa yang mempunyai kata putus dalam PAS adakah Presiden atau Mursyid Am? Pemimpin de facto inilah yang akan memimpin PAS dan menyelesaikan konflik dalaman PAS dengan kuasanya yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Kesamaran dalam perlembagaan akan mengundang konflik yang tidak sudah dalam PAS.
15. Sahabat-sahabat pun selepas kematian Rasulullah saw berperang dan berkhilaf. Di dalam berkhilaf itu mempunyai seni. Politik itu sendiri adalah seni. Iaitu seni untuk mendapat kuasa dan seni untuk mempertahankan kuasa. Seorang ulamak Amerika; Dr Taha Jabir al-Alwani menulis sebuah buku yang bertajuk The Ethics of Disagreement In Islam. Beliau menulis: “Arguably, the most dangerous disease which now afflicts the Muslim Ummah is the disease of disagreement and discord.” Dalam berkhilaf kita mempunyai akhlak berkhilaf.
16. Mengapa kita perlu berkhilaf atau berkonflik? Bagi saya mudah sahaja. Berkhilaf itu suatu yang sudah menjadi semulajadi dan diperlukan kerana jika berkhilaf ia akan mewujudkan satu tenaga dalam gerakan seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini seperti partisel neutron dan proton yang menghasilkan satu tenaga. Tenaga inilah yang mewujudkan satu momentum dalaman PAS untuk mencapai tujuannya seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan PAS.
Artikel ini pernah tersiar dalam Harakah pada tahun 2013.