1. Pada 25/12/2015 saya menulis dalam tajuk PRU 14: Mana Lebih Bijaksana Bagi PAS; Bersendiri Atau Bekerjasama? Klik: https://goo.gl/a7JJLc “Manakala serpihan dalaman PKR kita akan lihat apa yang akan berlaku. Jika nama Dato’ Seri Azmin Ali mengukuh dalam PKR tidak mustahil dia akan menyahkan Dinasti Anwar dalam PKR. Dari situ PKR mempunyai pemimpin dan halatuju yang baharu. Azmin yang pro PAS juga akan memungkinkan kerjasama dengan PKR-PAS.”
2. Ketika 25/12/2015 saya menulis tiada riak-riak ini bakal terjadi tetapi naluri saya sebagai penganalisis politik samada melalui bacaan-bacaan dan perbincangan-perbincangan yang menjurus ke arah itu. Pada saat ia ditulis tiada petanda-petanda namun gerak-gerak politik seolah-olah menjurus ke arah itu.
3. Sekarang ia seperti benar-benar akan terjadi. Setakat artikel ini ditulis tiada lagi pengisytiharan Dato’ Seri Azmin Ali akan bertanding sebagai Presiden PKR dalam pemilihan PKR akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Seteru Azmin Ali iaitu Rafizi Ramli telah mengisytiharkan kemnya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dengan kata lain mahu melanggar jawatan Azmin Ali yang disandang sekarang! Walhasil, maka Azmin Ali tiada pilihan melainkan dua ini samada dia mempertahankan jawatannya yang sedia ada (Timbalan Presiden PKR) atau melanggar Datin Seri Wan Azizah, jika mempertahankan jawatannya atau melanggar Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah mengisytiharkan akan merebut kerusi Presiden PKR!
4. Jika dilihat dalam kem Rafizi Ramli wujud Nurul Izzah Anwar iaitu anak Anwar Ibrahim. Inilah yang saya sifatkan Dinasti Anwar. PKR jika menolak Azmin Ali maka parti ini akan menjadi Dinasti Anwar ke anak-cucu. Adakah ini akan berlaku? Saya rasa tidak kerana dalam PKR sekarang bukan semua orang menjiwai Dinasti Anwar kalau bukan reformis-reformis pun. Oleh itu kem Rafizi tidak semestinya boleh menarik simpati bagi menjana undi pihak-pihak yang menaruh simpati kepada Dinasti Anwar.
5. Setakat tulisan ini dikarang tiada lagi pengisytiharan dari Azmin Ali yang dia akan bertanding Presiden atau mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden. Dari gerak-gerak yang berlaku saya meramalkan Azmin Ali akan bertanding Presiden PKR kerana jika gagal bertindak seperti diramalkan maka karier politiknya akan berkubur. Jika dia bertindak dengan penuh berhikmah maka dia akan maju ke depan.
6. Satu faktor lagi saya melihat ialah faktor Dr Mahathir dalam PKR. Sekarang Dr Mahathir, setakat tulisan ini dibuat, telah memberi posisi yang sangat kukuh kepada Azmi Ali dalam Kerajaan PH. Azmi Ali juga semasa menjadi Menteri Besar Selangor semenjak 23 September 2014 hingga 19 Jun 2018 telah membina pengaruhnya di Selangor. Bahkan diawal reformasi lagi dia tahan dengan kes-kes Mahkamah. Jika dia mencabar Anwar pun dalam pemilihan Presiden PKR, dia tetap mempunyai jiwa dan semangat reformis. Ini akan meyakinkan reformis-reformis dalam PKR.
7. Dr Mahathir pula mahu mengukuhkan kedudukannya dalam Negara. Maka tidak mustahil beliau akan bekerjasama dengan Azmin Ali dan membantu Azmin Ali dalam merebut jawatan Presiden PKR. Jika Anwar menjadi Presiden PKR dan menuntut pelaksanaan peralihan kuasa PM sebagaimana termaktub maka adakah mungkin Dr Mahathir menyerahkannya? Walhal, perjanjian itu tidak menyebut pun bila peralihan kuasa PM itu harus dibuat. Anwar dulu pun pada Krisis Kewangan 1997-1998 telah mahu melanggar Dr Mahathir sebagai PM. Rahsia ini semua orang tahu.
8. Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya bagi pempastikan hasratnya dan agenda-agenda reformasinya terlaksana. Terbaik bagi melaksanakan semua ini dengan menobatkan dirinya sebagai PM Malaysia ke-8. Sedangkan PKR mempunyai komposisi yang lebih berbanding parti-parti lain dalam gabungan Kerajaan PH. Sanggupkah dia sabar dengan karenah PM berusia 93 tahun ini? Atau kebimbangan mimpi ngeri 1998 menghantuinya?
9. Faktor Dr Mahathir juga memainkan peranan yang amat signifikan. Orang Tua penuh bijaksana ini amat licik berpolitik. Bagi saya, beliau tidak akan membiarkan peralihan kuasa PM kepada Anwar atas beberapa faktor. Faktor pertama, apa kata kalau Anwar sebagai PM mengambil tindakan atasnya dan ahli-ahli keluarganya yang aktif dalam berniaga? Faktor kedua, apa kata kalau Anwar menguburkan Bersatu? Faktor ketiga, apa kata kalau Anwar menimbulkan kekacauan politik di Malaysia sebagaimana yang dia pernah buat ketika Malaysia dilanda krisis. Faktor keempat, diampun oleh YDPA bagi kes liwat.
10. Anwar bagi saya adalah tokoh yang berkaliber. Namun dihantui oleh pengalaman silam yang cukup kelam. Samada dihitamkan oleh musuh-musuh politiknya di luar atau di dalam. Mahukah Malaysia mempunyai seorang PM yang mempunyai rekod seperti ini? Jika Malaysia dan rakyatnya bersedia maka Malaysia akan memperolehi seorang PM yang selicik Dr Mahathir!