Pasir Emas

BAB: 1     SULUK (SIRI 1)

Hidup Nizam membara api cita-cita. Menjadi seorang jutawan bahkan bilionair bumiputera dalam senarai The Edge 10 teratas. Dia berteleku di atas sejadah empat lapis. Hitam di bawah. Merah di atas. Di atas merah, putih. Di atas putih, kuning. Lampu di bilik suluknya ditutup. Hanya pelita ayam bercermin yang diimpot dari China yang dia beli dari kedai Cina di pekan.

Dia sangat taksub dengan Ketuanan Melayu namun dalam diam mengintip rahsia niaga Cina. Sambil berkumat-kamit membaca mentera Melayu lama yang dia perolehi dari datuknya, Tok Ngah, yang mengajar dia pusaka Melayu. Dia memetik Cricket yang tahan 1000 kali petikan. Arang dibakar. Apabila arang telah membara, perdupaan ditabur kemenyan. Bau wangi kemenyan memenuhi ruang suluk Nizam. Sambil membaca mentera dengan penuh semangat agar dia boleh menjenguk Alam Sebelah. Apa yang boleh menyatakan hasratnya yang sudah 2 tahun dihantui surat-surat hutang kad kredit Maybank. Semakin simpan semakin menggunung. Bak Gunung Semanggol. Sambil memejam mata dan mulut berkumat-kamit. Dia memejam mata. Di dalam meditasinya itu dia melihat Gunung Semanggol bertukar menjadi emas. Ada suara-suara membisik ke telinganya “Niaga emas”, secara halus tapi cukup menusuk sanubarinya. Semakin laju dia berkumat-kamit, semakin menggunung dan besar Gunung Semanggol emas. Tiba-tiba pelita ayam Cina di depannya terpadam. ‘Tik!’ Lampu kalimantan dalam biliknya seperti dibuka orang. Cerah.

“Gunung emas?’ tenungan hati Nizam. “Niaga emas?” getus hatinya. ‘Apa makna semua ini?’ soal Nizam dalam diam. Malam itu dia bersendiri. Isteri, Leha dan anak-anaknya, Dolah dan Kadir balik ke kampung di Pantai Remis. Dia sengaja tak balik kampung untuk mencari jalan bagi menyelesaikan hutang-hutangnya yang bertepek bak panau dan kayap di badan. Dia pun ada selisih faham dengan Leha berkenaan instalment rumah flat yang didaftar atas nama bininya. Dia tak layak untuk buat pinjaman. Bininya selalu memarahi dia, sudahlah pinjaman atas nama dia instalment pun Nizam tidak pernah bayar sejak kebelakangan ini.

Dulu Nizam seorang perawat Islam. Duit masuk berkepok-kepok. Pesakit tak berhenti-henti datang. Dia menjadi tidak semangat untuk merawat lagi selepas diri dia pula terkena tuju-tuju. Dia membeli kitab-kitab Nusantara lama yang menyentuh kebatinan Melayu dan Jawa. Nasihat dan ajaran Tok Ngah difikir semula. Sejak dia jatuh dalam berniaga, dia menyepi diri. Bersuluk. Dia tahu dia akan berjaya. Tapi bagaimana?

Dalam diam Nizam berazam dia boleh naik semula dalam perniagaan. Tapi dia perlu mencari cara dan niaga baru. Dia memerhati hansetnya. Ada WhatsApp dari bininya. ‘Bang, tolong bayar instalment rumah bulan ini.’ Nizam bertambah pening. Duit dalam dompet usangnya ada dalam RM5 sahaja. Di bank ada RM100. Kredit kadnya sudah dibatalkan oleh bank. Penyata kad kredit bulan-bulan sampai di peti pos bawah flat. Pernah dia bertengkar pasal instalment rumah dengan bininya. Bini dia dengan garang menghalaunya. Dia mengalah. Terpaksa pinjam dengan Lutfi rakan baik sebelah rumah. Dia pesan ‘Jangan beritahu bini aku’. Lutfi hanya mengangguk. Lutfi yang kerja syarikat kereta AP sebagai jurujual banyak membantu Nizam walaupun dia sendiri kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia kesian dengan Nizam yang sudah 3 tahun tiada kerja. Jika dikira sudah RM10,000 Nizam pinjam dengannya. Sedikit demi sedikit, lama-lama menggunung. Dia tahu hal kredit kad Nizam. Itu pun Leha cerita kepada Limah, isterinya.

Dulu mereka tinggal di rumah teres. Sejak jatuh perniagaan, Nizam sekeluarga mencari flat untuk tinggal dengan duit pusaka nenek Leha menjual tanah 3 ekar di kampung sebagai down payment dan yuran guaman. Leha bekerja sebagai tukang masak di kedai bawah pohon pauh berdekatan flat.

Hilang sebentar fokus Nizam selepas menerima WhatsApp bininya. ‘Tak kan aku nak pinjam lagi dengan Lutfi’. ‘Aku mesti berusaha!’. “Gunung emas?” “Niaga emas?”. Dia tiada pengalaman berniaga emas. Pernah dia dengar cerita betapa penjajah-penjajah asing datang ke Alam Melayu kerana emas. ‘Semenanjung emas atau Golden Chersonese ‘ , sewaktu dia belajar sejarah di Tingkatan 5 sekolah dulu. Dia tahu Pak Mail di pekan Pontian di kampungnya pakai kereta Mercedez hasil niaga emas. Kedainya agak kecil dan tidak begitu menarik tapi rumahnya banglo megah di simpang tiga.

Dia kemudian membuka Samsung Note 4 miliknya mencari kata ‘peluang niaga emas’. Dia jumpa iklan beli emas terpakai dan surat pajak. Dia cari lagi. ‘Niaga emas’. Dia jumpa cerita pasal ‘jongkong emas’. Tanpa modal. ‘Tapi bagaimana?. Dia mencari blog-blog terkini. Semuanya tentang jongkong emas. Dia melipatkan sejadahnya yang 4 lapis. Dupa sudah tidak mewangi lagi. ‘Masa untuk tidur’. ‘Besoklah aku google lagi.’

——————– Bersambung——————-

Klik di sini untuk siri seterusnya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s