1. Menawan Putrajaya merupakan impian setiap parti yang ada di Malaysia. Ia bukan sahaja impian parti-parti di Malaysia bahkan menjadi percaturan kuasa-kuasa besar dunia yang bersekongkol dengan mana-mana parti di Malaysia. Mimpi indah untuk menduduki kerusi empuk di Putrajaya menjadi igauan setiap politikus-politikus dari mana-mana parti. Apa tidaknya Malaysia yang merupakan Golden Chersonese yang merupakan sumber kekuatan dan jantung dunia.
2. UMNO setelah 60 tahun lebih menerajui Malaysia akhirnya kehilangan kerusi empuk Putrajaya. Silapnya hanya satu iaitu banyak bermimpi dari berada di realiti. UMNO telah ditalqinkan sebelum ia meninggal. Ini bermaksud ada orang hendak menguburkan UMNO. Atas dasar apa? Kalau orang yang mentalqinkan itu sendiri ditalqinkan sebelum dia meninggal bagaimana pula. Ada orang bercita-cita mahu menguburkan UMNO.
3. Kelangsungan UMNO ialah kuasa. Tanpa kuasa maka ahli dan pemimpin hilang semangat. Namun, di saat menerima kekalahan UMNO harus mempunyai jatidiri. Kekuatan dalaman yang amat sangat. Sekental dua bilah keris pada lambang UMNO. Tanpa jatidiri, ahli bahkan pemimpin akan hilang dibawa arus. Ini telah terpampang secara jelas kepada kita pasca PRU14. Ramai pemimpinnya melompat ke padang hijau lain selepas padang milik UMNO gersang dan tandus. Yang masih tinggal adalah ahli-ahli dan pemimpin yang mempunyai jatidiri walau tanpa kuasa.
4. Kita balik kepada tajuk kita; bagaimana caranya UMNO mahu tawan Putrajaya kembali? Soalan terlebih dahulu adalah adakah UMNO masih berpeluang menawan Putrajaya kerana ada orang telah mentalqinkan UMNO walau UMNO ketika itu sedang berkuasa? UMNO, ketika lemah, harus mempunyai sekutu-sekutu strategik. Iaitu dengan membina pakatan kerjasama dengan parti-parti politik lain, jika mahu menawan kembali Putrajaya. Sebenarnya dengan UMNO tumbang dalam PRU14 adalah ada hikmahnya iaitu ‘proses pembersihan dalaman’. Meningkatkan aura dalaman. Hanya yang kental bersama UMNO.
5. Tampaknya di akhir rejim Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden ke-7 UMNO ini mahu bersekutu dengan PAS. Pasca PRU14, selepas Najib didesak meletak jawatan Presiden UMNO dan PAU UMNO Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden ke-8 UMNO, juga meneruskan legasi Najib iaitu bekerjasama dengan PAS. Adakah dengan bersekutu dengan PAS suatu yang berhikmah? Secara dasarnya jika ada musuh politik mahu bersekutu maka kita tak boleh menolak. Kita serahkan kepada Allah apa yang ada dalam hati mereka. Tawakkal. Jika mereka ingin khianat maka kita serahkan kepada Allah untuk menghukumnya.
6. Saya telah lama mencanang agar wujudnya penyatuan atau kerjasama PAS dan UMNO. Namun PAS lebih obses dengan ‘Kingmaker’. Ia tidak kesampaian dalam PRU 14. Lihat hasil-hasil kerja saya dalam Warkah Serating:
ANALISA TENTANG PENYATUAN ATAU KERJASAMA DUA PARTI GERGASI MELAYU/ ISLAM : PAS DAN UMNO
1. Kesatuan Melayu :
“Sukarnya Melayu untuk bersatu kerana mereka ini dipengaruhi oleh puak-puak dan kabilah-kabilah mereka yang berlainan spesis bagi jin dan qarin-qarin bagi spesis bunian dan manusia. Jika kita tidak membedah secara mata batin maka amatlah sukar untuk menyelesaikan permasalahan yang rumit ini iaitu: Kesatuan Melayu kerana kita hanya melihat kepada mata zahir sahaja! Kita melihat kepada perbatasan politik dan kenegrian sahaja.”
2. Dinamika Kerjasama PAS Dan UMNO:
“1. Tok-tok guru dan alim-ulamak selalu membaca Surah Aal-e-Imran, Ayat 103. Permusuhan Aus dan Khazraj bagaikan orang yang tersepit dan hampir terjerumus dalam lubang neraka. Melainkan dengan mereka berpegang kepada ‘tali Allah’ yang menyelamat kedua-dua klan ini dari lubang neraka. Allahlah jua yang melunakkan hati-hati mereka dalam bersatu.
“2. Malangnya kita hanya memahami ayat ini hanya untuk Aus dan Khazraj sahaja. Mengapakah ayat ini tidak dijadikan model kepada kesatuan Melayu antara klan Umno dan Pas? Masihkah kita ingat lubang-lubang neraka yang digali hasil permusuhan antara Umno dan Pas seperti peristiwa Lubuk Merbau dan Memali Kedah?”
“3. Saya menganalisa pada 27/3/2009 seperti berikut dalam WARKAH SERATING: Raison D’etat Perlunya Kerajaan Perpaduan “Apa yang dilihat oleh Ku Li dalam blognya razaleigh.com Malaysia akan menuju kepada situasi “breakdown”. “This breakdown is a serious matter.”, katanya. Bahasa ringkasnya Malaysia dijangka oleh beliau, saya faham, menjadi “a failed state”(negara yang lumpuh).”
3. Apa Perlu PAS Belajar Dari UMNO?:
“Samada PAS mahu menerima atau tidak salam silaturahim dengan Umno itu bukan perkara pokok di sini tetapi apa yang PAS boleh belajar dari Umno itu yang penting sehingga parti itu dapat menjadi parti teras memerintah Malaysia sehingga kini. Ini yang lebih penting.”
4. PRU 14: Mana Lebih Bijaksana Bagi PAS; Bersendiri Atau Bekerjasama? :
“Di dalam Kritik Terhadap Tahaluf Siyasi PAS Dalam Pakatan Rakyat saya menulis “Tetapi jika kritikan ini tidak mempunyai hasil maka Pas boleh menceraikan ‘isteri-isterinya’ dalam Pakatan Rakyat. Harus ada cooling-off period selepas perceraian ini. Agar tiada pihak yang sangsi dengan perceraian ini. Namu begitu jika ini berlaku ketika hampirnya pilihanraya umum maka rakyat akan melihat Pas lemah jika berseorangan. Memang pun apabila Pas disingkir dari BN pada 13/11/1977. Bertahan selama 5 tahun sahaja semenjak Januari, 1973. Hanya 2 kerusi sahaja Pas menang di Kelantan dalam pilihanraya 11/3/1978 iaitu di Manek Urai dan Sering. Itupun dengan majoriti yang kecil.”
7. UMNO tidak hanya harus fokus kepada sekutunya dengan PAS. UMNO juga harus mencari sekutu dengan PH. Di dalam PH sendiri mempunyai klik-klik yang telah membara bak api dalam sekam. Klik yang saya maksudkan klik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Jika dilihat dalam PRK Port Dickson Anwar lagi kuat pengaruhnya dari PAS. Jika dilihat pasca PRU14 dan edisi lelompat UMNO Sabah Tun M lagi kuat pengaruhnya dari Anwar. Oleh itu pemutus dasar UMNO harus membuat keputusan terbaik bagi melakarkan kuasanya melalui strategi penyekutuan dengan parti-parti politik yang lain.
8. Saya percaya PH akan berpecah dua. Akan ada orang akan menangguk di air keruh. UMNO harus mencium bau harimau sebelum harimau datang menerkam. Agar harimau dapat dijerat. Belut dapat ditangkap. UMNO memang bijak pun sejak dahulu. Namun sekarang mereka hilang semangat bila hilang kuasa. Memulihkan semangat orang yang dihantui kekalahan ini bukan kerja senang. Motivasi harus diberi. Suntik semangat kelasi-kelasi. Baiki kapal yang telah dibedil dengan teruk.
9. UMNO harus bijak menjana duit. Dengan tidak menguasai Putrajaya dan GLC tidak bermakna hilang sumber kewangan. Kesusahan itu adalah kesenangan. Duit boleh digandakan dengan tiada ketirisan. Ahli-ahli harus menjadi lebih kreatif dalam menjana kewangan. Jika dahulu nasi dalam periuk yang besar maka banyak keraknya. Jika sekarang nasi dalam periuk yang kecil maka sedikit keraknya. Kesusahan itu menambahkan lagi jatidiri dan kekentalan. UMNO harus membuat pembersihan dalaman juga. Jika dahulu banyak berlaku ketirisan gara-gara orang membocorkan poket. Dengan UMNO hilang kuasa tiada lagi timbunan padi. Tikus tidak lagi mendekati. Tiada makna wang bertimbun jika habis dek kebocoran dan parti lemah. Disangka kuat tapi bila bergusti, kalah dalam satu pusingan.
10. Pembesaran UMNO harus secara organik. Dengan membesar secara tidak organik akan menyebabkan parti ini sembab bak ayam daging. Gemuk dan besar namun isinya bertoksik. Ikutilah resmi ayam kampung mencari rezeki sendiri bukan dimakan suap. Bila bertarung boleh menaji ayam daging yang lebih besar dan gemuk. Isinya yang organik lagi berkhasiat walau kurus berbanding ayam daging. Pembesaran secara tidak organik inilah yang menyebabkan segala masalah dalam UMNO. Tidak tahu mana ahli atau pemimpin yang betul-betul ikhlas dan berjatidiri. Ia hanya terserlah bila UMNO hilang kuasa.
11. UMNO harus bermula dari sekarang melakar strategi menawan Putrajaya. Sekarang. Hari ini. Bukan besok. Abaikan kelasi-kelasi yang telah bertukar kapal. Kapal yang dibedil dengan dahsyat harus dibaiki. Lubang-lubang harus ditutup. Layar harus dibentang. Bendera harus dikibar. Nun! Di sana khazanah-khazanah dunia menanti!