Disiplin Politik Melayu

1. Era moden ini Melayu harus mempunyai disiplin tersendiri dalam berpolitik bukan setakat untuk memposisikan Bangsa Melayu di persada politik negara tetapi juga untuk memastikan kelangsungan Bangsa Melayu dalam menjuarai dan meneraju haluan negara. Jika mereka tidak mempunyai disiplin politik tersendiri maka mereka akan gagal dalam memastikan perkara-perkara yang telah dinyatakan tadi dari terjadi. Hal ini akan menyebabkan mereka (Bangsa Melayu) akan terpinggir. Melayu telah kehilangan Singapura. Melayu telah terhakis di Pulau Pinang. Adakah Melayu bersedia untuk kehilangan Malaysia?

2. Dari titik tolak ini, kita mengorak langkah bagi mencari satu haluan apa yang dinamakan ‘Disiplin Politik Melayu’. Melayu tidak boleh membina revolusi dalam politik mereka di Malaysia kerana segala-galanya sudah ada. Boleh jika mereka ingin membina revolusi, maka mereka harus mencari suara majoriti, paling kurang dua per tiga Parlimen, untuk mengubah kerangka negara. Ini membuka satu topik lain, iaitu samada Melayu harus mengubah kerangka negara atau belapang dada dengan apa yang telah ada dan ditinggalkan oleh leluhur mereka. Ia harus dilihat baik dan buruknya, bukan bersifat memusang kerana marahkan nyamuk maka kelambu dibakar.

3. Revolusi bagi mengubah lanskap negara harus bermula dari meminda kerangka Perlembagaan negara. Ia juga boleh secara ‘revolusi bersenjata’. Namun ini akan menyebabkan Melayu harus bertembung dengan pihak bersenjata seperti polis dan tentera. Kita lihat bahawa revolusi bersenjata tidak ramai yang menyahutnya. Lantas ia tidak mencapai kejayaan. Suatu ketika dahulu Melayu yang padu dengan dua pertiga Parlimen telah meminda Perlembagaan yang mencorak kepada seperti penasihat Inggeris di Zaman Penjajahan Tanah Melayu. Ini dapat dilihat dalam Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang Di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat Parlimen. Ada baik dan buruknya. Baiknya, YDPA yang keseorangan dalam mencorak negara dan membuat keputusan mesti menerima nasihat majoriti Parlimen yang merupakan suara rakyat. Buruknya, jika majoriti Parlimen dikuasai oleh Melayu yang rosak atau bukan Melayu yang menguasainya maka YDPA adalah anak patung yang bersuara dan bertindak kepada Melayu yang rosak atau bukan Melayu. Buruknya, Perlembagaan dideraf bahawa Perkara 40 menyebut YDPA. Mengapakah tidak disebut bahawa tindak-tanduk YDPA mesti menurut Majlis Raja-Raja Melayu?

4. Sekarang kita telah jelas antara revolusi yang hendak dibawa samada bersenjata atau menguasai Parlimen sahaja boleh mengubah negara. Setakat ini revolusi bersenjata tiada sejarah membuktikannya dapat mengubah kerangka negara. Bahkan ia selalu dipatahkan. Reformasi sendiri bergerak melalui struktur-struktur negara. Ia telah larut dalam kerangka negara. Ia hanya bertempik di jalanan bagi mencari suara majoriti kemudian diterjemahkan di peti undi. Oleh itu kita boleh mengatakan bahawa revolusi bersenjata bagi meminda negara adalah mustahil. Apa yang ada adalah revolusi secara menguasai majoriti Parlimen.

5. Oleh itu kita harus membuka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara bagi memahami dan mencorak Disiplin Politik Melayu. Saya ada menyentuh tentang YDPA. Ia adalah elemen tradisional dalam Perlembagaan iaitu Melayu harus mempunyai Raja. Adakah sistem feudal ini sudah tidak sesuai dan negara harus menjadi Republik? Bagi menjayakan negara ini sebuah negara Republik maka Melayu harus berpadu suara bagi menguasai Parlimen bagi mengubah Perlembagaan. Apa baik dan buruknya Melayu mempunyai Raja atau YDPA sebagai tunggak negara? Sebelum itu YDPA yang dipilih dari 9 Raja-Raja Melayu itu sudah semestinya Melayu. Baiknya, kita melihat dalam Perlembagaan bahawa Perkara 153 itu memastikan ciri-ciri penguasaan Melayu dalam sektor Kerajaan dan ekonomi. Sektor ekonomi ialah selalu disuarakan bahawa Melayu sangat lemah. Mereka mesti dibantu. Perkara 153 bukanlah kuasa mutlak YDPA kerana ia tertakluk Perkara 40. Saya telah mengatakan Perkara 40, YDPA mesti menerima nasihat majoriti Parlimen. Dengan kata lain bahawa inilah wajah sebenar sistem feudal di Malaysia iaitu ‘Monarki Beperlembagaan’. Ia bukan monarki mutlak. Adakah Melayu mahu meruntuhkan monarki beperlembagaan di Malaysia bagi membina negara Republik? Kalau Melayu sudah merasa ingin bebas dan maju kerana melihat di negara-negara yang tidak mempunyai ‘monarki’ mereka lebih maju maka Melayu harus berfikir dua kali adakah kerana tidak bermonarki itu suatu faktor atau monarki itu satu penghalang kepada kemajuan Melayu khususnya dan negara amnya. Dengan kata lain bertanding secara bebas dalam negara tanpa ada suatu ‘affirmative action’ atau ‘protectionism’ bagi politik, sosio-budaya dan ekonomi Bangsa Melayu.

6. Kita harus berfikir slogan kebebasan yang bebas dari ‘affirmative action’ dan ‘protectionism’ itu sendiri adakah suatu yang benar atau ia hanya satu slogan perang untuk meruntuhkan sebuah negara lain? Jika ingin kuasai mereka maka usah membunuh tentera mereka tapi membunuh ketua mereka. Dengan tidak mempunyai ketua Melayu akan menjadi liberal. Kesatuan Melayu sudah tiada lagi dan mereka berantakan. Melayu dan parti Melayu akan tumbang. Melayu berpesta dengan bukan Melayu. Jika ada baiknya dari sudut mana baiknya pula? Adakah kerana kemajuan dan kebebasan yang Bangsa Melayu mahu? Atau Bangsa Melayu pupus di kubu terakhir mereka. Tiada lagi Bangsa Melayu di dunia ini.

7. Kemudian apa yang perlu dilihat pula ialah unsur keislaman Melayu. Raja-Raja Melayu sebagai tunggak dan ketua agama Islam di setiap negeri dan bagi Wilayah Persekutuan pula oleh YDPA maka ini akan menjadi Bangsa Melayu yang mesti Islam untuk mengekalkan identiti Melayu mereka. Jika Bangsa Melayu tidak Islam maka mereka bukan lagi Melayu. Begitu juga bangsa lain yang jika mereka Islam dan mengamal adat Melayu maka mereka akan diidentitikan Melayu. Jika Melayu merasakan Islam menghalang kebebasan dan kemajuan maka dari sudut mana Islam pula menyebabkan semua ini? Adakah Melayu ingin membebaskan diri mereka dari identiti Islam. Bebas beragama. Secara dasarnya Melayu, jika memilih ini, akan menyebabkan Bangsa Melayu akan tiada unsur persamaan. Melayu sekali lagi berantakan dan berpecah-belah.

8. Jadi setelah menganalisa secara ringkas maka Melayu mesti beraja dan Islam. Jika sudah faham elemen ini dalam Disiplin Politik Melayu maka Melayu hanya harus menganut fahaman ini dalam mencorak laluan mereka dalam politik negara. Jika yang sudah dikatakan bahawa Melayu mesti Islam maka Melayu harus hanya mengamal politik Islam. Tiada kata bahawa Perlembagaan Persekutuan itu lebih tinggi dari al-Quran. Ia hanyalah interpretasi seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang terpecat. Ada kebebasan dalam memberi interpretasi. Zaman beredar. Tidak semesti yang dahulu itu betul sekarang ia betul. Kesedaran ramai itu yang mempengaruhi dan menghakimi yang lalu.

9. Bangsa Melayu amnya dan cendikiawan Melayu harus berpaksi atas dua elemen traditional ini dalam membina idea-idea bagi membangun Disiplin Politik Melayu. Dengan Bangsa Melayu mempunyai dan yang lebih penting sedar bahawa mereka mesti menyedari dua elemen ini maka harus mengorak langkah dalam menjuarai tanah sekangkang kera  ini. Jika tidak Bangsa Agong ini akan terkubur di bumi sendiri!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s