BAB: PADA MEMBAHASKAN INDUK-INDUK JIN
1. Jin juga mempunyai induk. Maksud saya dari segi ‘jasad’ mereka. Mereka berinduk. Sebagaimana telah dibincangkan dalam topik-topik yang lepas bahawa jin terbahagi kepada tiga habitat berdasarkan alam asas iaitu laut, udara dan tanah. Oleh itu jasad mereka terbahagi kepada alam asas. Jika dilihat di alam penyamaran memang mereka akan bertumpu di darat. Jika dilihat kepada jasad asli mereka maka jin terbahagi berdasarkan alam asas. Oleh itu difahami bahawa jin itu berpuak seperti mana juga ditegaskan oleh al-Quran (هُوَ وَقَبِيلُهُ)(Dia dan kabilahnya)[al-A’raf:27].
2. Jika dilihat kepada jasad jin memang berpuak. Begitu juga jika dilihat kepada ‘fahaman atau anutan‘ maka jin juga berpuak. Disebut dalam al-Quran (كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا)(Kami menempuh jalan pelbagai)[al-Jin:11]. Sebagaimana dibahaskan sebelum ini bahawa induk utama jin adalah bernama (الْجَانَّ)(al-Jān)[al-Hijr:27; al-Rahman:15]; sebagaimana Adam sebagai induk spesis basyar atau manusia. Maka induk utama spesis jin adalah al-Jān. Adalah tidak benar bila mengatakan Iblis sebagai induk jin. Iblis itu pula adalah induk kepada satu golongan syaitan yang disifatkan oleh al-Quran sebagai (هُوَ وَقَبِيلُهُ)(Dia dan kabilahnya)[al-A’raf:27].
3. Penegasan bahawa al-Jān sebagai induk spesis jin adalah dapat dilihat dalam ayat ini (وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ)(Dan al-Jān Kami ciptakannya dari sebelum itu dari api as-Samum)[al-Hijr:27]. Frasa ‘dari sebelum itu’ bermaksud dari sebelum kejadian Adam. Ini dapat dilihat dari ayat sebelum itu [al-Hijr:27] iaitu:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.[al-Hijr:26].
4. Dari induk al-Jān inilah lahirnya jin yang berbeza dari segi jasad asal mereka di Alam Ghaib seperti yang telah disebut sebelum ini ada yang menghuni udara, laut dan tanah. Oleh itu Iblis dan kabilahnya hanyalah satu pecahan dari jin-jin berpuak yang lahir dari induk utamanya yakni al-Jān. Dengan kata lain Iblis bukanlah induk utama spesis jin. Iblis juga dari segi ‘puak’ adalah mempunyai anutan mereka tersendiri. Ini dapat dilihat dari sudut dialognya dengan Allah semasa krisis di Alam Ghaib di awal penciptaan Adam.
5. Induk lain bagi spesis jin adalah naga bersayap. Spesis ini lebih kepada bermata warna biru jika mereka tasyakkul di Alam Zahir. Begitu juga Anak Adam/ Bani Adam yang dikacuk dengan spesis naga bersayap ini maka mata Bani Adam adalah biru. Qarin jinnya (yakni Bani Adam) adalah bersayap. Namun tidak kepada tuan empunya jasad. Di sana ada satu spesis naga lagi yang tidak bersayap iaitu disebut sebagai Long (龍)(龙)dalam bahasa Cina bermaksud naga. Sehingga dalam kamus Inggeris perkataan ‘long’ bermaksud ‘panjang’. Spesis ini memang panjang dari sudut jasad mereka. Apa yang pelik bagi spesis naga ini ialah dia tidak bersayap namun merupakan penghuni kayangan.
6. Dengan kata lain, melalui al-Jān, telah lahir satu induk berspesis Long (龍)(龙). Spesis ini lebih banyak ditemui dalam negara China sekarang. Adalah disiplin penyamaran bahawa tidak semestinya bila mengambil wajah Cina maka si empunya badan adalah dari spesis Long (龍)(龙). Tidak sama sekali. Spesis lain juga boleh mengambil wajah Cina.
7. Satu spesis lagi adalah yang banyak menguasai laut. Spesis ini adalah duyung. Duyung ini bersifat seperti haiwan laut. Ketika mereka dalam asal jasad mereka atau ketika mereka mengambil wajah binatang laut maka yang berupaya melakukan kebolehan ini adalah dari spesis duyung. Saya sendiri pernah bersembang dengan spesis ini; dia memberitahu bahawa jika mereka ingin turun ke dasar laut yang paling dalam adalah dengan mengambil bentuk belut dan diiringi oleh pengawal-pengawal. Maka spesis duyung utama ini adalah induk kepada spesis laut.
8. Manakala di udara juga atau saya lebih suka berujar ‘penghuni kayangan’ ada juga spesis helang. Pada pendapat saya inilah yang disifatkan sebagai (طَيْرًا أَبَابِيلَ)(Burung Abābil)[al-Fīl:3]. Pada hemat saya burung Abābil yang dimaksudkan adalah burung jelmaan jin dari spesis helang. Surah al-Fīl (gajah) itu sendiri mengajak kita berfikir samada ia gajah jelmaan atau gajah sebenar.
9. Di sana wujud satu spesis lagi iaitu spesis gajah. Ketika di Alam Ghaib jasad mereka berkepala gajah. Spesis ini banyak menghuni Iran dan India sekarang ini. Di Tanah Melayu negeri Pahang disinonimkan dengan ‘Tok Gajah’.
10. Begitu juga dengan spesis induk harimau. Spesis ini bagi saya adalah ‘anak bongsu’ kepada al-Jān dan bagi keluarga induk-induk jin. Saya selalu sifatkan spesis ini sebagai cerdik. Genetik bongsu ini walau selalu dipermainkan oleh abang-abang dan kakak-kakaknya, namun kerana ‘anak bongsu’ mereka agak cerdik. Spesis ini banyak dijumpai di Alam Melayu.
11. Secara ringkasnya; induk utama jin adalah al-Jān yang melahirkan sifat jasad anak-anaknya yang berjasad naga, duyung, harimau, helang dan lain-lain. Dari situ maka berkembang biaklah anak-anak al-Jān yang berpuak-puak samada dari sudut ‘jasad’ atau ‘fahaman dan anutan’. Adalah mustahil, pada ilmu saya untuk menghasilkan zuriat dengan mengkacuk spesis naga dengan harimau. Tetapi tidak kepada Bani Adam yang boleh dikacukkan dengan spesis pelbagai. Banyak lagi induk-induk yang saya mengintip untuk mencari maklumat dan khabarkan kepada pembaca.