1. Kita perlu bersahabat di dalam hidup kita. Kita tidak boleh bersifat seperti bidalan Melayu digambarkan seperti ‘kera sumbang’. Bahkan isteri kita dianggap sahabat [al-Ma’ārij:12]; [al-Jin:3]; [Abasa:36].
2. Apakah rahsia bersahabat sehingga al-Qur’an memberi tekanan terhadap kepentingan bersahabat. Tentu ada sebabnya. Mengikut kajian pakar psikologi dan psikiatri orang yang dilanda kemurungan boleh menjadi bertambah parah apabila tidak dipedulikan oleh orang di sekitarnya. Penyakit kemurungan boleh bertambah buruk menjadi sakit psikiatri. Begitulah juga penyakit kemurungan boleh sembuh dengan cara sokongan orang di sekitarnya. Begitu juga sakit psikiatri boleh diringankan dengan sokongan dari orang di sekitarnya.
3. Rahsia bersahabat ini bukan setakat dari sudut kesihatan. Ia juga di dalam berdakwah. Rakan sepenjara dijadikan medan untuk berdakwah [Yusuf:39].
4. Kita boleh jadikan sahabat untuk menimba ilmu dengan berguru dan bertukar fikiran [al-Kahfi:76]. Sahabat juga boleh menenangkan kita di waktu kesusahan [at-Taubah:40]. Adalah amat sukar mencari sahabat di ketika susah. Sanggup memikul kesusahan sahabatnya sedang dia tidak mempunyai kaitan melainkan kerana seorang sahabat.
5. Dengan bersahabat juga diturunkan sakinah (ketenangan) dan ‘dibantu oleh tentera yang tidak dapat dilihat.’ [at-Taubah:40].
6. Kita harus berhati-hati memilih sahabat. Sahabat mestilah orang yang selalu membuat ‘ihsan’ kepada sahabatnya [an-Nisa’:36]; memberi semangat ketika kesusahan di samping berada di sisi sahabatnya ketika dalam kesusahan [at-Taubah:40]; berpesan pada tauhid yang lurus [Yusuf:39]; berguru dengan sahabat [al-Kahfi:76];. Ibu-bapa juga digambarkan sebagai sahabat [Luqman:15]. Ibu-bapa mengenali kita semenjak kita kecil. Jika dia membiarkan kita membesar secara sempurna ini menunjukkan bahawa mereka adalah sangat istimewa bagi kita dalam bersahabat walau mereka menyeru untuk kita menjadi musyrik [Luqman: 15]. Kita harus bersahabat dengan mereka cara yang baik.
7. Bersahabat juga mengukuhkan silaturrahim kita dengan seseorang. Ayat Luqman:15 menunjukkan walau sahabat kita itu bertentangan dengan kita; kita mesti bersahabat dengan mereka dengan cara yang baik.
8. Persoalannya adakah ini hanya merujuk kepada kedua ibu-bapa yang musyrik? Jika sahabat kita musyrik bagaimana pula? Kita lihat pula [Yusuf:39] itu menunjukkan sahabat Yusuf masih musyrik. Kita harus menjadikan medan dakwah jika bersahabat dengan rakan musyrik.
9. Dakwah kepada ibu-bapa musyrik dan rakan musyrik adalah (pertama) bergaul dengan mereka secara baik (kedua) menggunakan kebolehan dan kepandaian kita sebagai aspek untuk menarik mereka kepada tauhid. Dalam kes Yusuf dan dua sahabatnya dalam penjara; Yusuf menggunakan kebolehannya dalam mentakwil mimpi dua sahabatnya apa yang akan terjadi.
10. Di dalam perniagaan pula sahabat boleh menjadi rakan perniagaan kita samada perkongsian atau usahasama. Mereka kita kenali. Senang berurus dengan orang yang kita kenali dari orang yang kita tidak kenali. Paling kurang kita telah dapat menjimatkan masa dan kos bagi due diligence (ketekunan wajar) jika perniagaan itu kecil dan tidak memerlukan compliant.
11. Dalam kes Rasulullah s.a.w. bersembunyi di gua bersama Abu Bakar ini menunjukkan bahawa Abu Bakar adalah sahabat setia dalam perjuangan. Inilah rakan-kongsi perjuangan sebenar. Ia terpakai bagi sahabat dalam perjuangan apa sahaja termasuk politik. Orang-orang politik amat mencari sokongan. Sokongan terbaik adalah dari sahabat terdekat. Jika sahabat terdekat tidak menyokong apatahlagi orang yang tidak dikenali. Oleh itu dalam perjuangan kita harus membina sokongan dari sahabat yang berkualiti dan lagi ramai adalah lagi baik.
12. Kita mahu dalam bersahabat yang boleh memperingati kita dalam tauhid yang lurus dan ada campur-tangan tentera yang tidak dapat dilihat. Dengan bersahabat ia dapat memupuk semangat silaturrahim yang mana menyebabkan kita disayangi oleh langit. Bersahabat juga menyebabkan kita teguh dalam urusan hidup. Kita juga menjadi bersemangat ketika diuji.
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي
الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; [an-Nisa’:36]
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [at-Taubah:40]
يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ أَأَرْبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ
“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
[Yusuf:39]
قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.[al-Kahfi:76]
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.[Luqman:15]