BAB: SIAPAKAH ABU AL-JAN?
Siapakah Abu al-Jan? Kita mengetahui Abu al-Basyar (manusia) adalah Adam berdasarkan dalil al-Quran. Dengan kata lain maklumat yang diberi oleh al-Quran adalah tepat dan tiada pertentangan dengan fakta sebenar.
Oleh itu dalam mencari Abu al-Jan sebenar maka kita harus merujuk kepada al-Quran juga kerana ketepatannya.
Apakah faedah bagi kita mengetahui Abu al-Jan? Ibarat seorang lelaki mencari nasabnya maka nasab jin juga adalah penting. Bahkan saya sendiri mencari identiti dan nasab saya. Seorang ayah sudah tentu mengetahui anak-anaknya. Tetapi seorang anak belum tentu mengetahui ayahnya melainkan diberitahu oleh ibunya. Kerana seorang ayah itu datang terlebih dahulu ke dunia ini berbanding anaknya. Apatah lagi datuknya, moyangnya DLL. Begitulah juga nasab jin. Seseorang jin perlu mengetahui nasab mereka. Hinggalah kepada jin yang pertama yakni ‘Abu al-Jan’.
Ada yang berujar bahawa Iblis adalah ‘Abu al-Jan’. Benarkah teori ini? Saya menyebut teori kerana ia gagal dibuktikan secara saintifik.
Sebelum membuktikan secara saintifik kita melihat dulu pembuktian al-Quran tentang nasab jin hingga kepada jin yang terakhir yakni pertama iaitu ‘Abu al-Jan’. Seperti dikatakan bahawa pembuktian al-Quran adalah tepat dengan fakta sebenar.
Kita cuba kaji dulu tentang teori Iblis sebagai Abu al-Jan. Perkataan Iblis disebut sebanyak 11 tempat dalam al-Quran. Iblis menyedari dia diciptakan dari api (قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ)(Iblis menjawab: ” Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah “.)[Sad:76][al-A’raf:12].
Dengan kata lain Iblis menyedari yang dia diciptakan dari api. Sedangkan Iblis itu adalah jin (فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ)(lalu mereka – malaikat- sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin)[al-Kahfi:50]. Ini juga memberi maksud jin adalah diciptakankan dari api. Ada persoalan di sini adakah jin yang pertama diciptakan dari api dan keturunan mereka itu diciptakan sebagaimana manusia biasa iaitu melalui proses air mani? Jikalah ‘hanya’ jin yang pertama itu diciptakan dari api bermakna Iblis adalah Abu al-Jan. Siapa pula yang memberitahu Iblis bahawa dia diciptakan dari api? Al-Quran tidak memberitahu hakikat bagi persoalan kedua itu. Ada kemungkinan Iblis mengetahuinya melalui kitab-kitab purba atau melalui keberadaannya dalam sidang malaikat. Jika dilihat dalam al-Kahfi:50 itu bermakna Iblis berada dalam sidang malaikat. Boleh jadi dia mempunyai kontak dengan malaikat.
Di sana ada satu dalil lain yang menyebut bahawa seawal-awal jin yang diciptakan adalah al-Jan. Ini lah Abu al-Jan. (وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ)(Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.)[al-Hijr:27; ar-Rahman:15].
Al-Quran menggunakan dua perkataan bagi jin: الْجِنِّ (al-Jin) dan الْجَانَّ (al-Jan). Bagi pengkaji linguistik al-Quran, bila Allah menggunakan dua perkataan berbeza seolah-olah Allah ingin memberitahu ia membawa dua pengertian berbeza. Sebenarnya jarang dalam lingkungan Arab menamakan seseorang dengan memulakan dengan alif (ا) dan lam (ل). ال. Alif dan lam di awal nama merujuk kepada kaum. Jadi perkataan al-Jan (الْجَانَّ) seolah-olah merujuk kepada kaum bukan nama khusus. Berbeza dengan nama Iblis (إِبْلِيسَ). Ia adalah nama khusus yakni nama yang diberi kepada seseorang dan bukan kaum. Contoh lain perkataan as-Samiri (السَّامِرِيُّ)(Samaritan) [Ta Ha:85; 87] yakni ia merujuk satu pecahan kepada kaum Bani Israel. Kita boleh berdebat bahawa Bani Israel adalah bukan Arab lantas as-Samiri adalah satu nama khusus kepada seseorang. Tapi Bani Israel itu berasal dari Ibrahim yang mempunyai kaitan dengan Arab. Oleh itu berkemungkinan bahawa as-Samiri adalah satu kaum bukannya nama khusus yang diberi kepada seseorang. Walau di sana ada berkata as-Samiri (السَّامِرِيُّ)(Samaritan) itu adalah Musa as-Samiri (موسى السامري). Tetapi al-Quran senyap dalam hal ini. Itu (Musa as-Samiri) adalah kata sebahagian. Tidak semesti ia adalah satu Kebenaran.
Sebagaimana kita faham bahawa spesis al-basyar (manusia) adalah datang selepas spesis jin. Jadi perkataan al-Jan (الْجَانَّ)[al-Hijr:27; ar-Rahman:15] mempunyai signifikan yang besar dalam masalah hal penamaan dan masyarakat. Adakah tamadun purba menamakan seseorang di awalnya dengan menggunakan alif dan lam (ال) suatu ketika dahulu? Atau semasa jin terawal diciptakan, puak malaikat juga berada di kalangan jin dalam keadaan menyamar maka jin yang pertama itu dinamakan al-Jan (الْجَانَّ)? Dengan kata lain al-Jan (الْجَانَّ) ini adalah nama seseorang secara khusus. Oleh itu jin terawal yang diciptakan adalah al-Jan (الْجَانَّ). Dengan itu kita menerima bahasa tertua adalah Bahasa Arab bukannya bahasa-bahasa lain. Kita harus juga berfikir mengapakah al-Quran yang sebegini canggih diturunkan dalam Bahasa Arab. Jika kita menerima penghujahan ini bermakna Abu al-Jan adalah bernama al-Jan (الْجَانَّ). Ini lah nama jin yang terawal diciptakan.
Satu lagi kaedah penghujahan yakni dengan mengkaji ayat al-Kahfi 50 bagi menolak pendalilan bahawa Iblis adalah Abu al-Jan.
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.[al-Kahfi:50]
Allah menyebut tegahan atau larangan (أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي )(patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku?) Jika lah Iblis (إِبْلِيسَ) itu Abu al-Jan maka semua keturunannya adalah ditegah dan dilarang dari dihampiri. Sedangkan di sana ada ayat yang menyebut bahawa ada yang Islam (وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ)(Dan sesungguhnya ada di kalangan kami yang telah Islam)[al-Jin: 14]. Bahkan ada di kalangan mereka yang soleh (وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا)
(Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.)[al-Jin:11]. Jadi penghujahan bahawa Iblis itu Abu al-Jan adalah tidak serasi dengan al-Kahfi:50, al-Jin:14 dan 11. Iblis itu juga adalah jin yang dilaknat oleh Allah [al-Hijr:35; Sad: 78]. Sanggupkah anda wahai kaum jin mengaku berketurunan dari orang yang dilaknat Allah?
Lihat juga tulisan saya: PADA MEMBAHASKAN INDUK-INDUK JIN di https://rohanrazi.org/2019/04/28/kitab-yang-sempurna-pada-membahaskan-ilmu-ilmu-jin-الكتاب-التام-في-علوم-الجان-11/