Disangka Pasir Emas, Rupanya Pasir Pantai

BAB 2: NIAGA EMAS (SIRI 1) [Klik di sini untuk BAB 1: SIRI 1] 

‘Tuttt! Tuttt! Tuttt! Tuttt!’ Hanset Leha berdering. ‘Kadir!’ ‘Kadir! Jerit Leha dari bilik mandi. ‘Hanset siapa yang berdering tu?’

‘Hanset mama!’ Kadir yang sedang bermain hanset lantas pergi melihat missed call di hanset Mamanya. ‘Ayah, Mama!’ Laung Kadir yang berada di ruang tamu.

‘Apa pula laki aku ni telefon di pagi hari?’ Fikir Leha sambil mengelap tubuhnya yang mongél dalam bilik mandi. Leha keluar dari bilik air dengan berkemban batik Jawa dan kepalanya dilitupi tuala putih.

Leha menuju ke ruang tamu. Mengambil hansetnya. Dia menekan nombor lakinya yang telah disimpan.

‘Ya, Bang. Ada apa call saya ni?’

‘Sudin dah macam mana?’

‘Sihat Bang, dia makan ubat dari hospital’

‘Sayang, abang ada pelan untuk niaga mas’

‘Abang dah fikir masak-masak ker?’ Jauh dari sudut hati Leha dia gembira. Namun dia bimbang jika lakinya gagal lagi.

‘Banyak kali abang gagal dalam bisnes. Kalau abang tak meniaga macam mana abang nak bayar instalment rumah. Nak bayar kad kredit lagi. Bimbang juga muflis’.

‘Tahu pun. Pilih yang terbaik bang. Jangan orang agah, abang terus naik semangat.’

‘Nanti bila sayang balik, kita bincang’.

‘Ok.’ Leha terus meletakkan hansetnya.

………………….

Nizam cuba tidur selepas meditasi. Namun tidurnya terganggu seperti ada orang menolak-nolaknya. Dia sendiri tak terlelap. Perasaan letih dan mengantuk hilang selepas dia membaring di atas katil. Katil ini menyaksikan hubungan kelaminnya dengan Leha sudah tak  semesra dulu.

Dia kenal Leha semasa berkerja sebagai kerani pejabat 26 tahun lepas. Leha berkulit putih. Bertubuh ramping, pada masa itu. Ramai juga lelaki bujang cuba himpit Leha. Dia juga yang dapat. Dia sapu minyak pelet yang diberi oleh bekas rakan sekolahnya di Pontian, pada tangan Leha sewaktu dia buat-buat tertanya masalah kerja pejabat. Sewaktu Leha mula-mula masuk ofis itu dia seperti rusa masuk kampung. Selepas 5 minggu Leha menyingga. Puncanya ada orang letak surat cinta dalam lacinya ketika dia keluar makan tengahari.

Dia pernah mengajak Leha keluar makan. Suatu hari bosnya panggil dia masuk ke bilik. ‘Kau nak kerja atau mencari jodoh di sini?’. Cukup halus soal bosnya, tertusuk hati dia yang sudah jatuh cinta dengan Leha. Sejak hari itu dia tidak menyapa Leha. Dia terfikir siapa dalang yang membocor hal dia dan Leha kepada bosnya. Selepas kahwin dia ada tanya Leha tentang hal ini. Leha kata tak tahu. Dia keluar ofis itu sebulan selepas disergah bos. Sudah nak jadi jodohnya dengan Leha, bakal bininya itu mencarinya di rumah flat bujangnya. Bawa kek harijadinya yang ke 25. Setahun selepas itu mereka kahwin di Pantai Remis.

Malam itu Nizam google lagi tentang emas. Tiada yang menarik melalui google. ‘Ah, cuba di facebook!’ Fikir Nizam yang sudah 2 tahun tak buka facebook. Asyik ditanya rakan-rakan buat apa sekarang bila dia buat posting di facebook. Dia taip ‘niaga emas’. Ada bermacam-macam tentang niaga emas samada di posts from friends, places, groups, pages, public posts dan people. Dia amat tertarik dengan seorang komen seorang pengamal mistik yang berujar bahawa ada ritual ‘tarik emas’ di ruang posting ustaz yang menulis pasal emas seperti dalam al-Quran dan hadis. Ada juga yang komen bahawa emas mempunyai masa depan yang cerah bagi menstabilkan ekonomi berbanding fiat money. Nizam buka Wikipedia dan cari makna fiat money dan dia copy-paste di google translate. Dia yang belajar setakat Tingkatan 6 dan lulus STPM tahu juga bahasa Inggeris dalam 70% kandungan Wikipedia. Dia kembali kepada facebook. Dia membaca semua yang berkait dengan niaga emas.

‘Apa kata kalau aku cari pelabur. Kemudian beli emas terpakai dari peniaga emas terpakai dan pembeli surat pajak. Kemudian jual kepada kilang emas di Pulau Pinang?’ Fikir Nizam. Dia tahu ada kilang di Pulau Pinang selepas dia pergi ke kedai emas di Pontian untuk beli gelang emas kepada Leha. Dia ada tanya tokey emas itu beli di mana. Dia jawab dari Pulau Pinang.

Nizam tak dapat tidur malam itu selepas menemui cara untuk berniaga emas. Dalam benaknya berapa aku akan untung. Lagi penting bagaimana untuk dapat modal. Seolah-olah dia sudah tokey emas. Dalam kepalanya sarat tentang emas. Leha tiada untuk dia luahkan. Kawan-kawan sudah lama tidak menghubungi dia. Tiada teman bicara. Melainkan Lutfi. Lutfi bukan tahu pasal emas. AP dia tahulah. Itu pun dia sendiri pakai kereta Proton Saga buruk. Hanya Leha dia percaya. Rawatan Islam, madu dan lauk-pauk segar adalah cerita lama. Dia ingin menguak pintu rumah baharu dalam hidupnya. Leha.

——————- Bersambung ———————-

Klik di sini untuk siri sebelumnya.

Advertisements

Disangka Pasir Emas, Rupanya Pasir Pantai

BAB 1:  SULUK (SIRI 2)

Hujan turun berderai di Pantai Remis. Langit di Pantai Remis selalu menangis. Rumah kampung peninggalan arwah orang tuanya beratap bata mengalunkan muzik yang menenangkan jiwanya yang bergelodak. Leha tipu Nizam balik kampung kononnya adik dia, Sudin, sakit. Pusaka beserta tanah 1 ekar ini jatuh kepada Sudin. Leha dapat bahagian lebih besar tanah nenek mereka, Tijah, sebagai penyelesaian pembahagian pusaka. Mereka selesai pusaka secara baik.

Alhamdulillah, hal pusaka keluarga mereka selesai secara baik. Tanah nenek mereka 3 ekar lebih dijual dalam RM746,000. Adik beradik mereka 6 orang. Leha dapat dalam RM200,000. Karim, Sulaiman, Tipah, Latif dan adik bongsu mereka Sudin masing-masing dapat dalam RM100,000. Selepas tolak kos peguam. Ada adik-adiknya yang dapat kebun durian di Slim River, ada yang dapat tanah getah dan ada yang dapat kereta Volvo 120 B18. Bagi Latif Volvo antik peninggalan ayahnya lebih bermakna dari duit dan aset lain. Dia cukup rindu dengan ayahnya yang banyak mengajar dia erti hidup. Dia mahu agar Volvo itu bergerak sebagaimana arwah ayahnya bergerak dalam menongkah arus hidup. Volvo antik itu pun masih hidup.

Dengan duit ini Leha simpan. Dia tidak pernah beritahu Nizam. Walau Nizam tanya dia bohong Nizam kata duit itu dia guna untuk bayar anak-anak belajar universiti. Dolah belajar arkitek di UiTM. Kadir belajar civil engineering di UM. Anak kembar mereka ini telah grad tahun ini. Tapi masih mencari kerja. Dolah ditawar kerja di Sepang tapi Leha tak benarkan kerana jauh. Dia bimbang jika ketika bermotosikal, anak kembar sulungnya jatuh motosikal. Kadir pula ada pergi interview di sebuah syarikat pembinaan di The Intermark tapi sehingga kini tiada panggilan dari syarikat itu samada dapat atau tak dapat kerja.

Leha amat faham perangai lakinya. Jika dia tidak WhatsApp minta bayar instalment, Nizam tak akan berusaha cari kerja. Dia hanya mahu lakinya menjadi seperti dulu. Dalam RM5,000 sebulan, Nizam boleh dapat semasa menjadi perawat Islam.

Leha tahu Nizam sakit. Dia agak kecewa selepas lakinya menjadi mangsa tuju-tuju. Ada orang lebih power darinya. Mungkin pesakit-pesakit yang datang kepadanya angkara buatan bomoh lebih power darinya. Lakinya sejak kebelakangan ini menjurus kepada memahami kebatinan Melayu dan Jawa. Dia belajar sendiri cara merawat orang dengan membaca buku-buku Harun Din dan Amran Kasimin. Tok Ngah pula bukan orang sembarangan. Silat Melayu, 5 jenis dikuasainya. Dia juga memiliki senapang patah. Tengku Hitam kerabat Istana Bukit Chandan ada juga mengajaknya memburu rusa. Dia tahu ‘kerasnya’ hutan.

Nizam ada mewarisi sebilah keris dari Tok Ngah. Katanya, pernah diguna oleh Hang Tuah. Leha pernah lihat ketika Nizam bersuluk, pintu bilik terbuka bila Kadir yang berumur 12 tahun mencari ayahnya, Nizam sedang memperasapkan keris dengan dupa. Nizam lupa kunci bilik suluknya. Selalunya dia kunci dan menyendiri.

Hasil kerja sebagai pembantu kedai makan bawah flat, Leha dapat dalam RM800 sebulan. Sejak Nizam jatuh dalam niaga Nizam selalu minta duit dengan Leha. Dia kadang-kadang marah dan terusik dengan perangai lakinya. Perasaan cintanya pada Nizam tak pernah berubah. Marah dan terusik bertukar menjadi kesian bila melihat nasib Nizam. Pernah dia ajak Nizam berubat namun Nizam menolaknya. ‘Bang, jangan ego sangat yang abang tu perawat juga’. Tegur Leha. ‘Biar saya rawat sendiri’. Jawab Nizam. Dulu Nizam ada muntah-muntah darah. Tubuhnya yang gempal menjadi kurus. Mereka ada ke hospital tapi pakar kata tak jumpa puncanya. Leha lihat Nizam sudah tidak muntah darah. ‘Hebat juga laki aku ini’. Telah Leha.

Dia yang nasihatkan Nizam berhenti jadi perawat Islam. Dia bimbang keselamatan lakinya. Nizam terpaksa akur bila dia terkena. Lagi pun sakit dia sudah menjadi bualan ramai orang. Pada awalnya dia cuba menghadapinya dengan merawat sendiri. Pesakit makin berkurang bila cerita dia sakit tersebar.

Leha pernah nasihatkan lakinya jadi pengawal keselamatan bila muntah darahnya semakin berkurang. Nizam pula tak mahu. ‘Buat apa jadi pengawal keselamatan. Gaji tak setimpal.’ Gaji yang ditawarkan RM1,500. ‘Lebih baik berniaga sendiri.’ Sambung Nizam. Nizam memang kaki bisnes. Pernah dia cuba berniaga madu. Madu tak asli pula runggut orang. Dicubanya pula jadi pengedar lauk-pauk segar ke kedai makan. Ramai pesaing pula. Ada yang dah ada supplier.

Leha tahu lakinya akan bangkit. Kebolehannya merawat diri sendiri itu meyakinkan Leha bahawa lakinya bukan orang sembarangan. Darah Tok Ngah mengalir dalam dirinya. Dalam diam dia akan guna duit pusaka RM200,000 jika lakinya ingin berniaga lagi.

—————— Bersambung —————

Klik di sini untuk siri sebelumnya.

Disangka Pasir Emas, Rupanya Pasir Pantai

BAB: 1     SULUK (SIRI 1)

Hidup Nizam membara api cita-cita. Menjadi seorang jutawan bahkan bilionair bumiputera dalam senarai The Edge 10 teratas. Dia berteleku di atas sejadah empat lapis. Hitam di bawah. Merah di atas. Di atas merah, putih. Di atas putih, kuning. Lampu di bilik suluknya ditutup. Hanya pelita ayam bercermin yang diimpot dari China yang dia beli dari kedai Cina di pekan.

Dia sangat taksub dengan Ketuanan Melayu namun dalam diam mengintip rahsia niaga Cina. Sambil berkumat-kamit membaca mentera Melayu lama yang dia perolehi dari datuknya, Tok Ngah, yang mengajar dia pusaka Melayu. Dia memetik Cricket yang tahan 1000 kali petikan. Arang dibakar. Apabila arang telah membara, perdupaan ditabur kemenyan. Bau wangi kemenyan memenuhi ruang suluk Nizam. Sambil membaca mentera dengan penuh semangat agar dia boleh menjenguk Alam Sebelah. Apa yang boleh menyatakan hasratnya yang sudah 2 tahun dihantui surat-surat hutang kad kredit Maybank. Semakin simpan semakin menggunung. Bak Gunung Semanggol. Sambil memejam mata dan mulut berkumat-kamit. Dia memejam mata. Di dalam meditasinya itu dia melihat Gunung Semanggol bertukar menjadi emas. Ada suara-suara membisik ke telinganya “Niaga emas”, secara halus tapi cukup menusuk sanubarinya. Semakin laju dia berkumat-kamit, semakin menggunung dan besar Gunung Semanggol emas. Tiba-tiba pelita ayam Cina di depannya terpadam. ‘Tik!’ Lampu kalimantan dalam biliknya seperti dibuka orang. Cerah.

“Gunung emas?’ tenungan hati Nizam. “Niaga emas?” getus hatinya. ‘Apa makna semua ini?’ soal Nizam dalam diam. Malam itu dia bersendiri. Isteri, Leha dan anak-anaknya, Dolah dan Kadir balik ke kampung di Pantai Remis. Dia sengaja tak balik kampung untuk mencari jalan bagi menyelesaikan hutang-hutangnya yang bertepek bak panau dan kayap di badan. Dia pun ada selisih faham dengan Leha berkenaan instalment rumah flat yang didaftar atas nama bininya. Dia tak layak untuk buat pinjaman. Bininya selalu memarahi dia, sudahlah pinjaman atas nama dia instalment pun Nizam tidak pernah bayar sejak kebelakangan ini.

Dulu Nizam seorang perawat Islam. Duit masuk berkepok-kepok. Pesakit tak berhenti-henti datang. Dia menjadi tidak semangat untuk merawat lagi selepas diri dia pula terkena tuju-tuju. Dia membeli kitab-kitab Nusantara lama yang menyentuh kebatinan Melayu dan Jawa. Nasihat dan ajaran Tok Ngah difikir semula. Sejak dia jatuh dalam berniaga, dia menyepi diri. Bersuluk. Dia tahu dia akan berjaya. Tapi bagaimana?

Dalam diam Nizam berazam dia boleh naik semula dalam perniagaan. Tapi dia perlu mencari cara dan niaga baru. Dia memerhati hansetnya. Ada WhatsApp dari bininya. ‘Bang, tolong bayar instalment rumah bulan ini.’ Nizam bertambah pening. Duit dalam dompet usangnya ada dalam RM5 sahaja. Di bank ada RM100. Kredit kadnya sudah dibatalkan oleh bank. Penyata kad kredit bulan-bulan sampai di peti pos bawah flat. Pernah dia bertengkar pasal instalment rumah dengan bininya. Bini dia dengan garang menghalaunya. Dia mengalah. Terpaksa pinjam dengan Lutfi rakan baik sebelah rumah. Dia pesan ‘Jangan beritahu bini aku’. Lutfi hanya mengangguk. Lutfi yang kerja syarikat kereta AP sebagai jurujual banyak membantu Nizam walaupun dia sendiri kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia kesian dengan Nizam yang sudah 3 tahun tiada kerja. Jika dikira sudah RM10,000 Nizam pinjam dengannya. Sedikit demi sedikit, lama-lama menggunung. Dia tahu hal kredit kad Nizam. Itu pun Leha cerita kepada Limah, isterinya.

Dulu mereka tinggal di rumah teres. Sejak jatuh perniagaan, Nizam sekeluarga mencari flat untuk tinggal dengan duit pusaka nenek Leha menjual tanah 3 ekar di kampung sebagai down payment dan yuran guaman. Leha bekerja sebagai tukang masak di kedai bawah pohon pauh berdekatan flat.

Hilang sebentar fokus Nizam selepas menerima WhatsApp bininya. ‘Tak kan aku nak pinjam lagi dengan Lutfi’. ‘Aku mesti berusaha!’. “Gunung emas?” “Niaga emas?”. Dia tiada pengalaman berniaga emas. Pernah dia dengar cerita betapa penjajah-penjajah asing datang ke Alam Melayu kerana emas. ‘Semenanjung emas atau Golden Chersonese ‘ , sewaktu dia belajar sejarah di Tingkatan 5 sekolah dulu. Dia tahu Pak Mail di pekan Pontian di kampungnya pakai kereta Mercedez hasil niaga emas. Kedainya agak kecil dan tidak begitu menarik tapi rumahnya banglo megah di simpang tiga.

Dia kemudian membuka Samsung Note 4 miliknya mencari kata ‘peluang niaga emas’. Dia jumpa iklan beli emas terpakai dan surat pajak. Dia cari lagi. ‘Niaga emas’. Dia jumpa cerita pasal ‘jongkong emas’. Tanpa modal. ‘Tapi bagaimana?. Dia mencari blog-blog terkini. Semuanya tentang jongkong emas. Dia melipatkan sejadahnya yang 4 lapis. Dupa sudah tidak mewangi lagi. ‘Masa untuk tidur’. ‘Besoklah aku google lagi.’

——————– Bersambung——————-

Klik di sini untuk siri seterusnya.