KEPENTINGAN BERLEMAH-LEMBUT DAN BERDIAM-DIAM DALAM “MENYERU” DUIT

1. Duit yang kita “seru”, jika kita berkasar ia boleh “lari”, “merajuk”, “menjauh diri” dan kalau ia datang pun ia boleh datang dalam keadaan “tercedera.” Oleh itu tentu ada satu kaedah bagaimana untuk menyeru duit dalam keadaan dia datang penuh selamat dan berkat. Tiada orang tak mahu duit dalam jumlah yang besar. Dengan jumlah yang besar ia boleh dipelbagai guna. Namun, jika ia jumpah yang kecil tetapi penuh berkat lagi aula dari datang dengan jumlah yang besar tanpa keberkatan.

2. Al-Qur’an adalah satu kitab yang mencakupi segenap hal. Ia bukan setakat untuk kehidupan abadi di akhirat namun ia juga untuk panduan hidup kita di dunia ini termasuk duit. Peranan duit sangat ampuh dalam segenap hal di dunia. Kita dapat melangsaikan banyak hajat kita dalam hidup. Dengan duit yang mencukupi kita boleh menumpu sisa-sisa hidup kita di dunia yang fana ini kepada mendekati-Nya kerana dengan duit yang banyak kita tak perlu lagi untuk bertungkus-lumus dalam mengumpulnya.

3. Firman Allah:

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. [al-Kahfi:19]

4. Cara untuk kita berlemah-lembut adalah melalui tutur-bicara kita. Tutur-kata kita jika berkasar maka akan menyebabkan duit boleh “lari”, “merajuk”, “menjauh diri” dan kalau ia datang pun ia boleh datang dalam keadaan “tercedera.” Walau pun jika difahami dalam al-Kahfi:19 bahawa Ahli Gua yang memegang duit untuk membeli makanan tetapi bagi kita yang memerlukan duit adalah lagi penting untuk ‘berlemah-lembut’.

5. Majoritinya di kalangan kita adalah mempunyai barang untuk ditukar dengan duit dari mempunyai duit untuk mendapatkan barangan. Oleh itu sifat duit adalah perlu berlemah-lembut dalam urusannya. Walau di sana ada hukum “ghanimah” [al-Anfāl:41 & 69] yang diperolehi secara perang (kasar) itu adalah kes yang terasing. Ada batas-batasnya dalam hal ghanimah. Jarang duit yang dirampas melalui perang. Biasanya sesuatu negara dijarah kerana aset-asetnya. Lihat sahaja Perang Teluk yang mana ia lebih kepada hasil mahsul negara Iraq iaitu minyak. Bahkan bila jatuh sesuatu kerajaan maka kerajaan yang baharu akan memperkenalkan matawangnya sendiri. Di Malaysia juga pernah berlaku sebegini di era penjajahan.

6. Ia bukan setakat bahasa yang ditutur dalam menyeru duit perlu berlemah-lembut tetapi juga dalam bahasa bersurat seperti surat-menyurat tidaklah boleh secara berkasar seperti samsing yang menuntut hutang.

7. Di dalam menyeru duit juga kita sewajibnya secara tidak mewar-warkan kepada orang lain secara semberono dan berlagak kerana ia bukan setakat tidak mencapai maksud akibat ada anasir yang cuba menggagalkannya tetapi juga menyebabkan kita melanggar pantang-larang dalam menyeru duit. Arahan al-Quran bukan setakat penuh maknanya tetapi juga penuh rahsia.

8. Duit yang kita seru itu insyaAllah akan datang jika betul caranya seperti yang di ajar dalam al-Kahfi:19. Jika kita seorang yang berkasar dalam menyeru duit maka selalu lah berzikir Ya Latīf. Ya Latīf. Sebanyak-banyaknya, kalau boleh. Ia bukan setakat melembutkan hati kita tetapi juga perangai kita yang mungkin kasar. Ia juga boleh melembutkan hati dari mana sumber duit yang kita seru itu.

9. Bebas hutang bukan sahaja impian setiap individu tetapi juga negara-negara di seluruh dunia. Selagi mana ada ayat ini [al-Baqarah:282] “hutang” tetap sentiasa ada tak kira kepada individu atau negara. Kita mesti berani berimpian, impian kita akan menjadi kenyataan. Bebas hutang mungkin bagi orang yang telah berjaya membina legasinya di dunia ini. Bagi muda-mudi yang baru membina hidup terpaksa terpalit dengan hutang. Bahkan negara ‘superpower‘ di dunia yakni USA mempunyai hutang bertrilion.

10. Dua sikap kita terhadap duit seperti di atas iaitu (1) berlemah-lembut dan (2) berdiam-diam hingga tidak disedari oleh orang lain amatlah penting dalam menyeru duit. Sebenarnya kalau hendak bahaskan topik duit dalam al-Quran adalah sangat mendalam kerana ada ayat-ayat lain berkenaan duit juga. Jika kita amalkan petua-petua al-Kahfi:19 sudah cukup dalam urusan kita untuk menyeru duit. Moga-moga dunia dilempahi keberkatan dan dengan keberkatan ini kita dapat menumpu sisa-sisa hidup kita untuk beramal kepada Allah bagi negeri kekal abadi.

BAHAYA TAKSUB

1. Taksub adalah sangat bahaya untuk menjadi anutan dan pengamalan seseorang. Ia boleh memakan diri. Ia boleh menyebabkan kesesalan yang tak sudah-sudah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Oleh itu kita harus berhati-hati dari menganut dan mengamalkan ketaksuban. Kita harus berfikir sejenak samada “Adakah aku taksub dalam hal ini?”.

2. Taksub atau dieja sebagai “taasub”, mengikut Kamus Dewan, adalah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud “Kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seorang”. Ia juga bermaksub fanatik. Mereka adalah golongan melampau atau “ghulu”, dalam Bahasa Arabnya. Sedangkan Islam itu mengambil jalan pertengahan.

3. Seseorang yang taksub akan mengambil jalan mengiayakan segala apa yang menjadi anutannya dan pengamalannya. Jika dia taksub dengan seseorang maka dia akan mempertahankan orang itu bermatian walaupun orang itu menyuruhnya kepada sesuatu yang salah. Taksub juga boleh menyebabkan seseorang menjadi jumud kerana dia tidak terbuka untuk pendapat yang berbeza dan baharu.

4. Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa orang yang taksub dengan datuk-nenek mereka walaupun anutan dan fahaman datuk-nenek mereka adalah sesat [al-Baqarah:170; al-Maeda:104; al-Anaam:148; al-Araf:28:70:95:173; Yunus:78; Hud:62:87; Ibrahim:10; an-Nahl:35; al-Anbiya’:53; al-Mumenoon:24:83;al-Shuara:74; al-Naml: 67:68; al-Qasas: 36; Luqman: 21; az-Zukhruf:22:23;ad-Dukhan:36;al-Jathiya:25]. Orang yang taksub biasanya menolak idea-idea yang baharu. Sedangkan untuk ke depan atau maju ia memerlukan idea-idea yang baharu.

5. Untuk tidak taksub bukanlah bermaksub mesti mencampak kesemua idea-idea atau anutan lama tetapi fikiran haruslah terbuka untuk menilai idea-idea atau anutan baharu. Dengan itu idea-idea atau anutan baharu itu boleh menguak kepada hidup yang lebih ke depan. Ia juga menyebabkan hidup seseorang akan berubah dan memberi impak kepada masyarakat untuk berubah.

6. Al-Quran memberi peringatan tentang sesalan yang bakal terjadi apabila terlampau taksub kepada pemimpin-pemimpin yang menjurus kepada kesesatan [al-Ahzab:67]

7. Hal ketaksuban juga berlaku di dalam Islam, betapa banyak idea-idea yang lama sudah tidak boleh digunakan contohnya fiqh yang memerlukan idea-idea yang baharu untuk umat Islam ke depan. Namun ada idea-idea fiqh ulamak silam yang masih terpakai dan sesuai untuk umat Islam zaman moden. Biasanya pandangan-pandangan ulamak yang lebih terkehadapan atau melangkau zamannya akan dikritik oleh golongan fanatik Islam. Ini disebabkan oleh anutan mereka yang taksub dengan idea-idea jumud.

8. Fanatik atau taksub juga merentas setiap anutan agama bukan sahaja di dalam Islam. Setiap agama ada golongan yang taksub. Begitu juga merentas setiap disiplin ilmu dan hal. Taksub ini samada penganutnya mengetahui mendalam dalam sesuatu hal lantas mereka malas untuk menguak akal mereka berfikir lain lantas menganut lain fahaman atau mereka hanya mengetahui sedikit tentang sesuatu lantas mereka perpendapat inilah pendapat yang betul.

9. Taksub juga boleh menyebabkan ketidak-tenteraman dalam hidup bermasyarakat. Mereka yang taksub boleh bertindak ganas bagi mempertahankan anutan dan apa yang mereka bawa walau salah. Taksub tidak salah jika apa yang dianuti itu betul. Namun ia boleh menyebabkan seseorang sukar mendapat sahabat dan hidup bermasyarakat kerana mereka merasa hanya mereka yang betul. Jadi mereka hanya bergaul dengan kelompok picisan mereka. Ini menyebabkan kepada ketidak-terbukaan hidup dalam bermasyarakat.

10. Dengan tidak taksub, seseorang akan berpeluang untuk mempunyai kawan yang lebih ramai kerana mereka meraikan pendapat yang tidak sama dengan  mereka. Ia juga membolehkan debat tentang sesuatu bagi mencari kebenaran. Masyarakat akan mendapat faedah jika ilmuan menjadi tidak taksub dengan pandangan mereka. Dakwah boleh tersebar luas. Hanya yang dungu dengan pendapat yang jumud sahaja menjadi tidak maju.

11. Jika orang yang taksub tersingkir dari kelompok picisannya akibat dari dia sendiri yang taksub dengan golongannya dia akan menjadi ‘kera sumbang’ kerana dia telah dari awal-awal menolak pandangan dan haluan orang lain. Ini satu lagi faktor bahayanya taksub. Ia adalah perkara yang tidak sihat di dalam kehidupan seseorang sebagai individu dan masyarakat. Oleh sebab itulah al-Quran menentang keras ketaksuban.

12. Di dalam perkampungan dunia yang menjadi lebih rapat sekarang kerana wujudnya internet dan pengangkutan yang mendekatkan umat maka ia menyebabkan idea-idea dan anutan-anutan pelbagai menjadi lebih hampir dengan seseorang bahkan hanya disetiap ketikan jari pada komputer atau hanset. Orang yang taksub menjadi tidak relevan dalam dunia maklumat terutamanya selepas ia telah dikupas dan dibahas dengan terperinci dalam maya. Jika kita tertinggal itu adalah sebab kita bukan kerana setiap perkara belum matang. Maka berlapang dadalah dan kuak fikiran dalam menerima idea-idea baharu dalam kehidupan bermaklumat sekarang.