MENYELUSURI ILMU SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT DALAM KELOMPOK SUFI MELAYU

1.  Saya dapati bahawa klasifikasi-klasifikasi syariat, tareqat, hakikat dan makrifat  ini hanya wujud di kalangan kelompok sufi Melayu. Saya tak dapati dari teks karangan bangsa-bangsa lain. Klasifikasi yang disebut itu hanya wujud itu secara serangkai syariat, tareqat, hakikat dan makrifat. Namun isi-isi perbincangan ini iaitu syariat, tareqat, hakikat dan makrifat memang wujud dalam teks bangsa lain tetapi tidak secara pengkelasannya secara serangkai.

2. Agak unik juga rupanya Bangsa Melayu ini. Saya menduga sebelum Rasulullah ‎ﷺ diutuskan wujud di kalangan Bangsa Melayu rasul yang mengajar tentang ilmu empat serangkai ini. Jika kita kaji al-Quran memang Allah menegaskan bahawa setiap umat itu diutuskan rasul dan nabi dengan bahasa kaum mereka.

SYARIAT

3. Bagi permulaan anak-anak Melayu diajar dengan syariat. Batu Bersurat Terengganu adalah bukti terawal penegakkan syariat. Ia adalah menepati standard al-Quran. Hukum-hakam Islam menjadi landasan kepada menyusun hal-ehwal dan urus tadbir Bangsa Melayu. Bangsa Melayu sangat menghargai dan menjunjung tinggi penegakkan syariat. Ini dapat dilihat kepada cubaan Kerajaan Bangsa Melayu di Kelantan dan Terengganu (suatu ketika dahulu) khususnya di bawah PAS. Walaupun hukum-hakam atau syariat ini belum ditaqninkan ia dilihat mendasari perjalanan hidup Bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa yang beradab setelah diajar hukum syariat. Orang Melayu agak sensitif tentang syariat. Mereka akan berdemo dan berarak jika berlaku perlanggaran syariat di Alam Melayu. Contohnya tentang pesta arak.

TAREQAT

4. Apabila telah kemas pegangan anak-anak Melayu tentang syariat maka anak-anak Melayu diajar supaya bertareqat. Walau istilah tareqat ini mempunyai pelbagai interpretasi seperti adakah ia kumpulan-kumpulan tareqat sufi atau boleh dibahaskan lebih luas lagi? Mengajar menyertai partai politik atau NGOs itu satu disiplin tareqat. Maka dalam kelompok ini samada tareqat sufi atau partai politik atau NGOs itu adalah satu tareqat. Di dalamnya anak-anak Melayu diajar dan dipandu kepada disiplin yang lebih jauh lagi. Tareqat ulung ialah “jalan” al-Quran dan Sunnah. Tekstual al-Quran dan hadis mengundang pentafsiran literal dan figuratif di kalangan Bangsa Melayu. Bagi yang berdisiplin Ahlu Sunnah Wal Jamaah mereka berpegang kepada sesuatu yang figuratif. Maka wujudlah Sifat 20 dalam mengenal Allah. Bab ini sesuai dalam MAKRIFAT. Bagi yang berdisiplin Salafi atau bahasa kasarnya Wahabi maka mereka berpegang secara literal. Maka disiplin mereka mengenal Allah atau MAKRIFAT itu ialah Tauhid al-Asma’ Wa al-Siffah, Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Dewasa kini ada segelintir anak-anak Melayu yang cenderung kepada disiplin Syiah. Saya tak mahu komen tentang disiplin ini kerana saya kekurangan teks original membahaskan tentang Syiah. Ia agak kontroversi.

HAKIKAT

5. Selepas menjalani syariat dan tareqat anak-anak Melayu diajar tentang hakikat. Hakikat ialah bermaksud apa itu yang tersembunyi di sebalik yang diharamkan syariat. Hakikat itu mempunyai takwil. Ada keindahan di antara berpegang kepada syariat dan melanggarnya. Ada maksud tersembunyi di sebalik perlanggaran syariat. Ia ibarat kisah Musa dengan Khidhir (Jibril) yang mengajar Musa ilmu hakikat. Orang awam ditegah menjalani disiplin hakikat jika mereka belum menempuh dan menguasai disiplin syariat dan tareqat. Perlaksanaan syariat juga adalah mesti menepati ruh hakikat. Jika syariat tidak menepati ruh hakikat maka ia bukanlah syariat yang berdasar al-Quran dan hadis. Penguasa-penguasa dan pelaksana-pelaksana syariat harus menguasai syariat, tareqat dan hakikat sebelum melaksanakan hukuman dalam syariat. Jiwa akan tenteram bila menguasai ilmu hakikat dan memahami apa yang terselindung di sebalik syariat. Kita lebih bijaksana di dalam bertindak dan memutuskan sesuatu apabila memahami dan menguasai hakikat.

MAKRIFAT

6. Secara turun-temurun Bangsa Melayu di ajar dengan (أول الدين معرفة الله)(Awal-awal agama adalah mengenal Allah). Di dalam Batu Bersurat Terengganu tertulis “Dewata Mulia Raya”. Ia adalah bahasa Melayu kuno. Tulisannya walaupun Jawi (pengaruh Arab)  namun pengistilahan Allah dengan nama Dewata Mulia Raya mengambarkan Melayu belum diArabkan tentang makrifat. Jikalah Awal-awal agama adalah mengenal Allah mengapakah disiplin makrifat ini diklasifikasi dan disusun akhir sekali dari 4 serangkai ini? Ini menunjukkan bahawa yang sebenarnya syariat itu yang terutama dan diajar kepada anak-anak Melayu. Bagi saya (أول الدين معرفة نفسك)(Awal-awal agama adalah mengenal diri mu). Saya rasa ini yang paling tepat. Seakan-akan ada kebenaran kepada ‘hadis’ ini (من عرف نفسه فقد عرف ربه)(Barang siapa mengenali dirinya, maka dia mengenal Tuhannya). Lagipun kata-kata Awal-awal agama adalah mengenal Allah tidak dijumpai dalam hadis. Jika adapun ia adalah dalam hadis Jibril berjumpa Rasulullah ﷺ di mana baginda ditanya apa itu iman, Islam dan ihsan. Ihsan secara tekstual dalam hadis tersebut adalah berkenaan makrifat. Ia adalah ikatan antara syariat dan makrifat iaitu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah melihat-Nya, jika tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Allah melihat kita. Berbagai-bagai lagi ‘keanehan’ dalam kelompok sufi Melayu. Kita tidak pasti samada ia berasal dari rasul-rasul Melayu sebelum Muhammad ﷺ diutuskan atau rekaan-rekaan anak-anak Melayu. Oleh itu adalah terbaik bagi Bangsa Melayu menyelusuri disiplin tareqat al-Quran dan hadis dalam mengenal pasti samada ia benar atau tidak. Satu lagi makrifat Melayu ialah tentang hakikat Muhammad ﷺ. Saya dapati ia tidak wujud dalam kitab atau bangsa lain. Iaitu konsep Muhammad Awal dan Muhammad Akhir. Muhammad Zahir dan Muhammad Batin. Orang Melayu agak serius dalam cubaan memahami atau makrifat Allah dan Rasul-Nya.

KESIMPULAN

7. Bangsa Melayu adalah unik kerana mereka memperturun secara mulut-ke mulut sesuatu ilmu suatu ketika dahulu. Ini mengundang kesamaran kepada kita tentang autentik sesuatu ilmu yang wujud di rumpun Melayu khususnya kelompok sufi Melayu. Ledakan internet maka Melayu berbahas sesama mereka tentang peninggalan datuk-nenek mereka tentang syariat, tareqat, hakikat dan makrifat. Pengaruh luar terutama Arab juga melahirkan Melayu yang cenderung mendasari secara fikiran dan tindakan Arab. Seperti saya selalu tegaskan usah mengArabkan Melayu tetapi mengIslamkan Melayu. Ada ilmu-ilmu datuk-nenek mereka yang sesuai dengan Bangsa Melayu dengan syarat ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

KITAB YANG SEMPURNA PADA MEMBAHASKAN ILMU-ILMU JIN (الكتاب التام في علوم الجان)

BAB: SIAPAKAH IFRIT?

1. Ifrit (عِفْرِيتٌ) atau jamaknya afārit (عَفَارِيْت) bagi jin lelaki dan Ifrītah (عِفْرِيْتَة) atau jamaknya ifrītāt (عِفْرِيْتَاْت) bagi jin perempuan. Mereka adalah jin-jin yang kuat dan memiliki sifat amanah. Mereka juga memiliki ilmu yang tinggi khususnya dari sudut ghaib dan rohani. Sebagaimana firman Allah:

قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ

• Abdullah Muhammad Basmeih:

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. (An-Naml:39)

2. Ayat 39 di atas menunjukkan ifrit adalah spesis jin. Mereka kuat kerana memiliki ilmu yang tinggi serta saiz mereka sebenar di alam ghaib yang besar. Saiz mereka yang besar kerana ketinggian ilmu mereka. Mereka juga bersifat ‘gagah dan juga amanah’ (وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ). Dapat membawa singgahsana Ratu Saba’ dengan cepat walau dikawal dan jarak jauh (Yaman ke Jerusalem) iaitu lebih kurang 2265.24 kilometer memerlukan kekuatan dan ilmu yang tinggi.

3. Bagaimana untuk mengenali ifrit jika mereka berdepan dengan kita di alam zahir secara mereka menyamar rupa manusia? Jika mereka ingin memberitahu kita akan siapa mereka yakni mereka adalah ifrit maka mereka akan menunjukkan warna mata mereka adalah KUNING. Lagi pekat kuning warna mata mereka maka lagi besar saiz mereka dan tinggi ilmu mereka.

4. Kita harus ingat bahawa jin ini berpuak-puak dan berkabilah-kabilah (هُوَ وَقَبِيلُهُ)[al-A’raf: 27]. Secara dasarnya ada jin yang menghuni udara. Ada jin yang menghuni daratan. Ada jin yang menghuni lautan. Bukan setakat itu sahaja, yang menghuni udara pula ada sub-spesis. Begitulah pada yang menghuni lautan dan daratan. Sebagaimana firman Allah ( كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا)(Kami ini pelbagai)[al-Jin:11]. Di alam jin ada yang bertubuh naga, garuda, singa, harimau, gajah, naga bersayap, gorila, duyung dan lain-lain.

5. Kajian saya dalam Sunan Sittah mendapati hanya Sahih Bukhari dan Muslim sahaja meriwayatkan tentang ifrit. Dalam Sahih Bukhari adalah hadis no.: 461, 3423 & 4808. Manakala dalam Sahih Muslim adalah hadis no. 1237. Makna hadis-hadis ini hampir sama melainkan berbeza sanad dan matan.

6. Di dalam Sahih Bukhari hadis no.: 3423, diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زِيَادٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ تَفَلَّتَ الْبَارِحَةَ لِيَقْطَعَ عَلَيَّ صَلاَتِي، فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ، فَأَخَذْتُهُ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبُطَهُ عَلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ دَعْوَةَ أَخِي سُلَيْمَانَ رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لاَ يَنْبَغِي لأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي. فَرَدَدْتُهُ خَاسِئًا)). عِفْرِيتٌ مُتَمَرِّدٌ مِنْ إِنْسٍ أَوْ جَانٍّ، مِثْلُ زِبْنِيَةٍ جَمَاعَتُهَا الزَّبَانِيَةُ. Sahih Bukhari. Hadis No: 3423

((Sesungguhnya ada seorang ifrit dari jin dilepaskan semalam untuk menganggu solatku, maka Allah telah memenangi ku ke atasnya, maka aku mengambilnya, maka aku sesungguhnya ingin mengikatnya di tiang salah satu tiang-tiang masjid sehingga kamu semua dapat melihatnya. Namun aku teringat doa saudara ku Sulaiman ‘Ya Allah kurniakan lah daku kekuasaan yang tidak diperolehi oleh sesiapa pun selepasku.’ Maka aku lepaskannya dalam ketakutan. Berkata Bukhari: ifrit adalah yang degil di kalangan orang atau jin. Contoh زِبْنِيَةٍ maka jamaknya الزَّبَانِيَةُ. ))

7. Begitu juga dalam Muwatta’ Malik.

موطأ مالك  كِتَابٌ : الْجَامِعُ  مَا يُؤْمَرُ بِهِ مِنَ التَّعَوُّذِ

2738 (المجلد : 2 الصفحة : 540)
وَحَدَّثَنِي عَنْ مَالِكٍ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ أَنَّهُ قَالَ : أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَرَأَى عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ يَطْلُبُهُ بِشُعْلَةٍ مِنْ نَارٍ كُلَّمَا الْتَفَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ، فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ : أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ تَقُولُهُنَّ، إِذَا قُلْتَهُنَّ طَفِئَتْ شُعْلَتُهُ وَخَرَّ لِفِيهِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” بَلَى “. فَقَالَ جِبْرِيلُ : فَقُلْ : أَعُوذُ بِوَجْهِ اللَّهِ الْكَرِيمِ، وَبِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ، الَّتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ، مِنْ شَرِّ مَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ، وَشَرِّ مَا يَعْرُجُ فِيهَا، وَمِنْ شَرِّ مَا ذَرَأَ فِي الْأَرْضِ، وَشَرِّ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَمِنْ طَوَارِقِ اللَّيْلِ، إِلَّا طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَنُ.

8. Hadis Sahih no.: 3423 dan Muwatta’ Mālik no: 2738 ini menunjukkan bahawa ada di kalangan ifrit yang melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah berjaya melawan ifrit bahkan menangkapnya walau ia sedang ghaib.

9. Ifrit sebenarnya mahu berkhidmat kepada manusia. Dalam an-naml:39 menunjukkan ada ifrit dalam majlis Sulaiman. Tetapi dinasihatkan jika ingin mengguna khidmat ifrit seseorang harus lebih tinggi ilmunya dari ifrit yang hendak dipergunakannya.

10. Tampaknya dalam an-namlu:39, tiada sebarang permintaan ganjaran dari ifrit untuk melakukan khidmat itu. Namun difahami bahawa berada dalam majlis Sulaiman di saat getir (perang) itu menunjukkan bahawa ifrit ini agak spesial. Mungkin menteri atau askar kanan Sulaiman.

ADAB BERGURU

1. Seorang penuntut perlu memahami adab berguru kerana bagi menuntut ilmu samada ilmu dunia atau ilmu akhirat memerlukan guru. Kita tidak dapat ilmu melalui seorang diri. Walau di sana ada pengecualian kepada hamba-hamba Allah yang diberi ilmu laduni (فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا) (Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.)[al-Kahfi:65] sebagaimana saya telah bahaskan sebelum ini di dalam ‘PERBAHASAN TENTANG ILMU LADUNI’. Perlu kita memahami dalam kisah Khidhir ini ada ahli tafsir yang berpendapat ia adalah bukan manusia tetapi malaikat. Jika dia adalah malaikat maka dia adalah Jibril. Selayaknya bagi Musa a.s. seorang nabi yang boleh berbicara secara langsung dengan Allah (وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا)(Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)[an-Nisa’:164). Iblis juga sebelum dia dilaknat oleh Allah, dia boleh berbicara dengan Allah secara langsung [Lihat: al-Baqarah:34; al-Araf:11; al-Hijr: 31 & 32; al-Isra: 61; al-Kahf: 50; Taha: 116; Sad: 74 & 75] itupun ketika al-Quran masih di Luh Mahfuz [al-Buruj:22].

2. Adab berguru ini adalah seperti kisah Musa a.s. berguru dengan Khidhir. Tentang hakikat Khidhir ini ramai yang sangsi dan keliru. Siapakah Khidhir? Saya telah katakan di awal tulisan ini bahawa ia berkemungkinan besar adalah malaikat. Kisah Musa a.s. berguru ini menjadi panduan kepada kita tentang adab berguru. Kisahnya bermula apabila Musa a.s. berkhutbah pada Bani Israel maka baginda telah ditanya; Siapakah yang paling berilmu? Maka dia (Musa a.s.) menjawab: Aku! Maka Allah murka kepadanya kerana tidak diberi ilmu kepadanya. Maka Allah berkata kepada Musa a.s. bahkan bagi-Ku seorang hamba di pertemuan dua laut. Dia lebih berilmu dari kamu.

صحيح البخاري  كِتَابٌ : أَحَادِيثُ الْأَنْبِيَاءِ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ.  بَابُ حَدِيثِ الْخَضِرِ مَعَ مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَامُ.

3401 (المجلد : 4 الصفحة : 154)

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ ، قَالَ : أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ ، قَالَ : قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ : إِنَّ نَوْفًا الْبِكَالِيَّ يَزْعُمُ أَنَّ مُوسَى صَاحِبَ الْخَضِرِ لَيْسَ هُوَ مُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ، إِنَّمَا هُوَ مُوسَى آخَرُ. فَقَالَ : كَذَبَ عَدُوُّ اللَّهِ، حَدَّثَنَا أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّ مُوسَى قَامَ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَسُئِلَ : أَيُّ النَّاسِ أَعْلَمُ ؟ فَقَالَ : أَنَا. فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ إِذْ لَمْ يَرُدَّ الْعِلْمَ إِلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ : بَلَى، لِي عَبْدٌ بِمَجْمَعِ الْبَحْرَيْنِ هُوَ أَعْلَمُ مِنْكَ

3. Adab pertama, adalah seorang murid harus mencari guru. Bukan guru mencari murid. Kisah Musa a.s. itu adalah dia sanggup berjalan jauh mencari Khidhir walau tersesat sehingga berjumpa dengannya di dua pertemuan laut. Adalah tidak wajar guru mencari murid. Atau perigi mencari timba, kata pepatah Melayu. Ini menunjukkan kesungguhan murid dalam menuntut ilmu. Maka murid akan menjadi lebih menghargai ilmu yang diperolehi. Di sini juga ada keperluan, dimana jika murid yang ‘tersesat jalan’ maka wajarlah orang yang berilmu atau guru mencari dan membantu murid yang tersesat itu. Kebuntuan murid dalam mendapat petunjuk adalah wajar bagi seorang guru membantunya. Ini adalah kes kecemasan sahaja. Namun prinsip asasnya murid harus mencari guru. Tetapi guru yang macamana harus dicari oleh murid? Ia bergantung kepada keadaan. Apa ilmu yang dikehendaki oleh murid? Jika murid sudah ada ilmu tentang sesuatu maka murid harus mencari guru bagi mengajarnya tentang ilmu yang belum dimilikinya lagi. Dalam kisah Musa a.s. baginda tandus ‘ilmu hakikat’. Maka sebab itu Allah mengarahkan Musa mencari Khidhir bagi memahami ilmu hakikat.

4. Adab kedua, seorang murid harus meminta izin dari guru untuk berguru. (قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا)(Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”)[al-Kahfi:66]. Keizinan ini adalah kemestian kerana seorang guru boleh memahami seseorang murid tentang apa yang murid itu perlukan. Seorang guru akan menolak jika dia dapati murid itu tidak layak untuk berguru dengannya.

5. Adab ketiga, seorang guru boleh meletakkan syarat kepada murid (قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا)(Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.)(al-Kahfi:70). Inilah disiplin dalam ilmu hakikat iaitu memerlukan kesabaran dalam menuntutnya. Seperti yang telah awal-awal diberitahu oleh Khidhir (قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا)(Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.)[al-Kahfi: 67].

5. Adab keempat, murid bukan setakat meminta izin untuk berguru dengan seorang guru namun dia harus menunjukkan kesungguhan untuk berguru walau ditolak oleh guru untuk berguru dengannya. [al-Kahfi:67 & 68].

6. Adab kelima, harus ada perpisahan antara guru dan murid apabila murid telah melanggar syarat berguru.(قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ)(Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.) [al-Kahfi:78]

7. Adab keenam, jika murid telah khatam sesuatu ilmu dari guru maka dia harus tidak mendakwa dirinya lah paling berilmu. Jika tidak dia akan dihukum seperti mana Musa dihukum iaitu terpaksa menuntut ilmu dari hamba Allah yang mengajar erti ilmu yang belum dikuasainya. Kerana ilmu Allah ini adalah sangat luas. Apa yang ‘seluruh kita’ ada ini hanya sedikit sahaja. Seorang yang telah berilmu itu harus mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Jangan angkuh dan sombong dengan ilmu kita kerana Allah tidak suka kepada orang yang angkuh dan sombong.

DIMENSI GHAIB

1. Perjalanan hidup kita bukan setakat menempuh Alam Syahadah tetapi juga Alam Ghaib [al-Anaam:73][al-Tawba:94 & 105][al-Rad:9][al-Mumenoon:92][as-Sajda:6][az-Zumar:46][al-Hasr:22][al-Jumua:8][at-Taghabun:18].

2. Di sana ada pemisah antara Alam Syahadah dengan Alam Ghaib. Pemisah itu adalah ‘barzakh‘ (بَرْزَخٌ)[al-Mumenoon:100][al-Furqan:25][ar-Rahman:20].

 البَرْزَخ : الحاجز بين شيئيْن (Sumber : المعاني عربي – عربي)

3. Walaupun wujud halangan atau barzakh antara Alam Syahadah dan Alam Ghaib kita sebenarnya boleh menempuh juga Alam Ghaib. Mimpi sebagai satu contoh; kita sebenarnya menyaksikan simbolik-simbolik tentang huraian apa yang telah, sedang dan akan berlaku. Kita menggunakan perantaraan roh kita atau lebih tepat qarin jin kita untuk berhubung dengan Alam Mimpi atau dimensi ghaib ini.

5. Badan kita sendiri boleh menempuh Demensi Ghaib bukan setakat akan datang seperti Alam Kubur, Alam Kiamat, Alam Syurga dan Alam Neraka. Bahkan kita sebenarnya dari Alam Arwah. Ketika Allah berfirman (أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا)(Bukankah Aku Rab kamu? Mereka berkata: Bahkan kami menyaksikan)[al-A’raf:172].

6. Di atas dunia ini semasa kita hidup, jiwa yang suci juga boleh memasuki Alam Malakut dan Alam Jabarut. Alam Malakut ini disebut dalam al-Quran [al-Anaam:75][al-Araf:185][al-Mumenoon:88][Ya Seen:83]. Alam Jabarut pula disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi di dalam الشمائل dan an-Nasaei; bahawa Huzaifah r.a. melihat Rasulullah s.a.w sembahyang pada waktu malam dan baginda membaca (الله أكبر – ثلاثا – ذى الملكوت والجبروت والكبرياء والعظمة). Ini adalah dalil atau hujah mengukuhkan bahawa Alam Malakut dan Alam Jabarut itu wujud.

7. Tujuan kita untuk memasuki Dimensi Ghaib ini adalah untuk menjadi orang yang lebih yakin  kepada kekuasaan Allah:

Surah al-Anaam:75:

وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim (Alam Malakut langit dan bumi) kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

8. Peristiwa Ibrahim a.s. memasuki Alam Malakut ini adalah semasa hayat baginda. Ini bermaksud walau kita masih hidup maka kita juga layak untuk memasuki Alam Malakut. Begitu juga Alam Jabarut ia berlaku ketika hayat kita.

9. Di sana ada juga Alam Qarin, Alam Khadam, Alam Ifrit, Alam Bank, Alam Kad, Alam Kenderaan, Alam Senjata, Alam Cincin, Alam Tumbuhan, Alam Haiwan, Alam Buku, Alam Pakaian dll kerana Dia lah Tuhan sekian alam [al-Fatihah:1].

10. Apa tujuan wujudnya Dimensi Ghaib? Seperti pendalilan yang dibawa melalui ayat [Surah al-Anaam:75] agar kita menjadi orang yang lebih yakin. Sebenarnya kita tak usah tergoda dengan Dimensi Ghaib jika kita memasukinya semasa hayat kita, walau sebenarnya jika kita memasuki Dimensi Ghaib kita boleh mengambil manfaat apabila memasuki Dimensi Ghaib seperti melakukan transaksi perniagaan, mengambil barang-barang sakti, mencari jodoh dll. Ia juga boleh menyelesaikan kerumitan di Alam Syahadah melalui kebijaksanaan kita menyelesaikannya di Dimensi Ghaib.

11. Banyak peristiwa-peristiwa bermakna berlaku di Dimensi Ghaib. Seseorang ‘bertarung’ dengan seterunya di Dimensi Ghaib tersebut. Kita memerlukan ilmu dan barang-barang sakti untuk menyelesaikan problematika di Alam Syahadah bila ia ‘menyerang’ kita di Dimensi Ghaib.

12. Di Dimensi Ghaib mempunyai banyak godaan. Jika kita tidak berhati-hati maka kita tertarik dengan godaan yang wujud di Dimensi Ghaib. Pegang petua ini: ‘Bila kita masuk ke Dimensi Ghaib kita perlu menarik bukan ditarik.’

KITAB YANG SEMPURNA PADA MEMBAHASKAN ILMU-ILMU JIN (الكتاب التام في علوم الجان)

BAB: PADA MENGHADIRKAN TENTERA ELIT SULAIMAN A.S.

1. Ketahuilah tentera elit jin Sulaiman a.s. belum dibubarkan lagi walaupun baginda telah wafat. Ini difahami dari kitab-kitab hikmat antaranya Manba’u Usūlu al-Hikmah karangan al-Imam al-Hakim Abi al-‘Abbas Ahmad Bin ‘Ali al-Būni dan Pati Rahsia karangan Haji Nik Mahmud Bin Ismail.

 2. Al-Būni menulis dalam kitabnya bahawa Isim Barhatih iaitu barhatih, karirun dll diamalkan oleh Sulaiman a.s., Āsif Bin Barkhaya dan Qalaftiriyus dll hinggalah sampai ke zaman kita. Seterusnya beliau berkata ‘tidak dapat menahan darinya seorang raja dan tidak mengengkarinya akan jin dan tidak juga ifrit dan tidak juga mārid dan tidak juga syaitan.’

3. Haji Nik Mahmud menyebut di dalam kitabnya bahawa Doa Barhatih ini ‘suatu perjanjian yang nabi Allah Sulaiman a.s. berikat dengan jin’.

4. Barhatih, karir dll sebenarnya nama-nama Allah dalam bahasa Ibrāni.

5. Oleh itu ia merupakan zikir-zikir pada menghadirkan jin-jin peninggalan Sulaiman a.s. Dengan kata lain tentera elit Sulaiman a.s. masih wujud dan belum dibubarkan lagi! Mungkin kita menyoal di manakah mereka sekarang.

6. Kita perlu ingat bahawa bangsa Bani Israel ini suka bertebaran di muka bumi. Ataupun di sebut ‘diaspora’. Namun begitu sejak 1948 mereka telah menubuhkan Israel. Bangsa mereka yang merantau jauh di zaman diaspora telah kembali berhimpun di negara Israel moden.

7. Hulubalang mereka, antaranya, di dalam Mossad. Saya diberitahu oleh jin tua Alam Melayu bahawa spesis jin yang menjaga keturunan Bani Israel adalah naga purba bersayap.

8. Mungkin kita menyoal; mengapa perlu al-Būni dan Nik Mahmud mengajar kita zikir barhatih? Perlu diingat bahawa jin berupaya menyamar dengan rupa pelbagai dengan izin Allah.

9. Saya sendiri jika ingin menyeru mereka saya meratib ayat di dalam Surah an-Namlu: 17 [وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ ]. Alhamdulillah, mujarab. Tetapi bergantung kepada pengamal samada kuat diri dan rohani atau tidak kerana mereka jin kuat.

10. Perlu diingat Nabi Isa a.s. adalah berbangsa Bani Israel jika berpegang pada dalil: as-Sof:6 [وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم ]. Tetapi baginda tidak berayah sebab itu namanya [عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ]. Mengikut ayat at-Tahrīm:12 [وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ] ini adalah identiti ‘bangsa’ Isa. Bangsanya bergantung kepada ibunya. Jika ibunya berbangsa jin maka jin bangsa apa? Jika ibunya berbangsa bunian maka nasabnya bersambung dengan Adam a.s. serta kita boleh menentukan bangsa Isa a.s. Namun jika ibunya manusia maka jelaslah Isa berbangsa mengikut ibunya. Melihat pada as-Sof:6 memberi petunjuk bahawa Isa adalah rasul kepada Bani Israel. Tetapi tidak sōrih tentang ke’bangsa’an Isa a.s.

11. Pada pendapat saya nasab Isa adalah tidak bersambung dengan Adam. Dia adalah seperti penciptaan Adam cuma Adam tidak beribu dan ayah manakala Isa tidak berayah tetapi beribu. Dalil hujahan ini dalam āl-Emran: 59 [إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِن تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُن فَيَكُونُ].

12. Tentera elit Sulaiman a.s. yang masih wujud lagi akan diwarisi Isa yang muncul di bumi. Tentera-tentera elit ini pernah mengerunkan dunia! Ia bakal mewujudkan order baru dunia apabila Isa bersatu dengan tentera elit ini.

13. Apa hubungan Muhammad s.a.w. dengan Isa? Cuba fikir mengapakah Muhammad disifatkan di dalam al-Ahzāb: 40 sebagai ‘penutup para nabi’ [خَاتَمَ النَّبِيِّينَ] tetapi berdasarkan hadis-hadis Isa a.s. bakal turun dari langit di akhir zaman? Lihat Sohih Bukhari, Muslim dan Sunan at-Tirmizi. Juga lihat Syarah Aqidah at-Thohawiyyah: al-Maktab al-Islāmiyy, Cetakan Ke-9, 1988, mukasurat 500-501.