Analisa Pengunaan Otak Kiri & Otak Kanan Dalam Politik

1. Penggunaan otak kiri dan otak kanan kanan adalah sangat penting dalam politik. Ia bukan setakat mencorak seseorang dalam kehidupannya dari segi cara fikir bahkan pembawaannya; jika dia menyertai dalam politik. Lebih besar lagi ia juga mencorak haluan sesebuah parti dari segi cara bertindak jika majoritinya telah membuat keputusan untuk berfikir samada cara mengguna otak kiri atau otak kanan.

2. Seperti saya telah menulis sebelum ini bahawa otak kiri adalah abstrak dan mentafsirkan sesuatu secara tersembunyi. Manakala otak kanan adalah logik dan mentafsirkan sesuatu secara literalis. Otak kiri biasanya digunakan oleh agamawan. Manakala otak kanan biasanya digunakan oleh orang yang banyak mengejar keduniaan. Jika kita melihat dari segi politik orang PAS lebih mengguna otak kiri. Manakala UMNO pula adalah menggunakan banyak otak kanan. BERSATU, MCA, MIC, AMANAH dan DAP banyak menggunakan logik dari abstrak.

3. Biasanya orang yang banyak mengguna otak kiri adalah orang yang terjatuh dalam hidup atau dikenakan sesuatu musibah dalam hidup. Tak kira dia berasal dari parti mana. Bila mereka terjatuh dalam hidup maka mereka menjadi ‘sensitif’ kerana mentafsir sesuatu tentang apa yang tersembunyi di sebalik sesuatu. Dengan kata lain mereka banyak menggunakan otak kiri.

4. Jika orang yang banyak menggunakan otak kanan bertemu dengan orang yang banyak menggunakan otak kiri maka akan menyebabkan banyak pertentangan antara mereka berdua. Begitu juga jika secara kolektif kumpulan yang banyak mengguna otak kanan bertemu dengan kumpulan yang banyak mengguna otak kiri. Akan sentiasa ada pertentangan.

5. Jika kita lihat UMNO juga mengaku mereka juga Islam. PAS juga mengaku mereka juga Islam. Dengan kata lain secara kolektif kumpulan ini merujuk kepada al-Quran. Namun mengapa wujud pertentangan-pertentangan sebelum wujudnya Muafakat Nasional? Jawapannya; ialah kerana cara mereka berfikir. Satu kumpulan banyak mentafsir al-Quran banyak mengguna otak kiri yang abstrak dan satu kumpulan yang banyak mengguna otak kanan yang logik.

6. Ini satu syair saya dalam bahasa Inggeris berkenaan dialog antara otak kanan dan kiri:-

Dialogues: Logic And Abstract – Poem by Rohan Razi

Place: A Poet
Time: Infinity

Logic: Where is your home, Abstract?
Abstract: My home just next to you, on the left brain.
Logic: Well, seemingly you know me better than I know you.

Logic: I gave birth to the world many philosophers and scientists.
What are your contributions to the humans and civilisations?
Abstract: You forgot to mention that atheists are also your children. Me borned many believers and cultivators of human souls.

Abstract: Most, my followers from the East and yours from the West.
Logic: Did you say that I’m useless?
Abstract: We need to be friends forever, lest without you peoples of the East are in madness. Without me peoples in the West are arrogant and forget where they come from and where they will go.

Logic: You are full of absurdities and me blessed with many inventions and innovations in this World.
Abstract: You must know that as Popper once said you are only truth if passed the test of ‘falsifiability’. Should you fail this simple test peoples will curse you for your whole life even your dead body became ashes.

Should we open our head
there are two parts of brain in forehead
We must rely on these two breaks
to achieve balanced thoughts and reads

No we’re not unbalanced thinkers
as we will become leakers
in Truth we are seekers
neither East nor West are strangers

A perfect human uses his two minds
when he does all things, at all times;
Logic can’t live alone,
Abstract shall not be burnt!

7. Jadi, untuk menjadikan kita seorang yang mempunyai pemikiran seimbang kita harus menggunakan kedua-dua bahagian otak kita. InsyaAllah kita akan menjadi insan yang sempurna. Otak kita akan berfungsi dengan efektif dan kita ‘dilihat’ sebagai seorang yang ‘sihat’ jika kita menggunakan kedua-dua bahagian otak kita. Di dunia ini adalah refleksi dan perlu ditafsirkan secara otak kiri dan kanan. Banyak hal tidak dapat diselesaikan jika berfikir secara otak kiri. Ada hal yang tidak dapat diselesaikan jika kita berfikir secara penggunaan semaksima otak kanan. Kita perlu keseimbangan.

8. Saya sudah meramal sejak 2007-2008 perlunya kepada kerjasama antara UMNO dan PAS. Bahkan saya telah menulis di dalam blog saya bahawa perlu dan akan terjadi antara muafakat UMNO dan PAS. Saya menulis itu selepas dari keadaan saya banyak menggunakan otak kiri. Sebelum itu saya banyak menggunakan otak kanan walhal saya pada masa itu berada dalam PAS yang secara kolektifnya banyak menggunakan otak kiri. Dengan kata lain tak semesti dalam sesuatu kumpulan yang banyak menggunakan otak kiri itu ‘semua’ menggunakan otak kiri. Wujud minoriti yang menggunakan otak yang berbeza.

9. Saya membaca dengan Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO ini Bangsa Melayu akan menjadi seimbang dan banyak manfaat dari Muafakat Nasional. Ada pemikir penggunaan otak seperti Edward De Bono yang mengkaji penggunaan otak. Namun beliau lebih kepada ‘lateral thinking’. Banyak masalah dalam hidup dapat diselesaikan dengan menggunakan secara maksima penggunaan otak termasuk memahami penggunaan dan fungsi otak kiri dan otak kanan.

10. Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS akan menjuruskan suatu kekuatan baru kepada keseimbangan Bangsa Melayu di Malaysia di dalam berfikir dan menyelesaikan masalah. Keseimbangan cara berfikir adalah sangat penting apa jua dalam hidup. Apatah lagi dalam cara berfikir dalam politik kerana ia memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat dan individu secara khususnya.

 

APA PERLU UMNO BUAT JIKA MAHU TAWAN PUTRAJAYA?

1. Menawan Putrajaya merupakan impian setiap parti yang ada di Malaysia. Ia bukan sahaja impian parti-parti di Malaysia bahkan menjadi percaturan kuasa-kuasa besar dunia yang bersekongkol dengan mana-mana parti di Malaysia. Mimpi indah untuk menduduki kerusi empuk di Putrajaya menjadi igauan setiap politikus-politikus dari mana-mana parti. Apa tidaknya Malaysia yang merupakan Golden Chersonese yang merupakan sumber kekuatan dan jantung dunia.

2. UMNO setelah 60 tahun lebih menerajui Malaysia akhirnya kehilangan kerusi empuk Putrajaya. Silapnya hanya satu iaitu banyak bermimpi dari berada di realiti. UMNO telah ditalqinkan sebelum ia meninggal. Ini bermaksud ada orang hendak menguburkan UMNO. Atas dasar apa? Kalau orang yang mentalqinkan itu sendiri ditalqinkan sebelum dia meninggal bagaimana pula. Ada orang bercita-cita mahu menguburkan UMNO.

3. Kelangsungan UMNO ialah kuasa. Tanpa kuasa maka ahli dan pemimpin hilang semangat. Namun, di saat menerima kekalahan UMNO harus mempunyai jatidiri. Kekuatan dalaman yang amat sangat. Sekental dua bilah keris pada lambang UMNO. Tanpa jatidiri, ahli bahkan pemimpin akan hilang dibawa arus. Ini telah terpampang secara jelas kepada kita pasca PRU14. Ramai pemimpinnya melompat ke padang hijau lain selepas padang milik UMNO gersang dan tandus. Yang masih tinggal adalah ahli-ahli dan pemimpin yang mempunyai jatidiri walau tanpa kuasa.

4. Kita balik kepada tajuk kita; bagaimana caranya UMNO mahu tawan Putrajaya kembali? Soalan terlebih dahulu adalah adakah UMNO masih berpeluang menawan Putrajaya kerana ada orang telah mentalqinkan UMNO walau UMNO ketika itu sedang berkuasa? UMNO, ketika lemah, harus mempunyai sekutu-sekutu strategik. Iaitu dengan membina pakatan kerjasama dengan parti-parti politik lain, jika mahu menawan kembali Putrajaya. Sebenarnya dengan UMNO tumbang dalam PRU14 adalah ada hikmahnya iaitu ‘proses pembersihan dalaman’. Meningkatkan aura dalaman. Hanya yang kental bersama UMNO.

5. Tampaknya di akhir rejim Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden ke-7 UMNO ini mahu bersekutu dengan PAS. Pasca PRU14, selepas Najib didesak meletak jawatan Presiden UMNO dan PAU UMNO Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden ke-8 UMNO, juga meneruskan legasi Najib iaitu bekerjasama dengan PAS. Adakah dengan bersekutu dengan PAS suatu yang berhikmah? Secara dasarnya jika ada musuh politik mahu bersekutu maka kita tak boleh menolak. Kita serahkan kepada Allah apa yang ada dalam hati mereka. Tawakkal. Jika mereka ingin khianat maka kita serahkan kepada Allah untuk menghukumnya.

6. Saya telah lama mencanang agar wujudnya penyatuan atau kerjasama PAS dan UMNO. Namun PAS lebih obses dengan ‘Kingmaker’. Ia tidak kesampaian dalam PRU 14. Lihat hasil-hasil kerja saya dalam Warkah Serating:

ANALISA TENTANG PENYATUAN ATAU KERJASAMA DUA PARTI GERGASI MELAYU/ ISLAM : PAS DAN UMNO

1. Kesatuan Melayu :

“Sukarnya Melayu untuk bersatu kerana mereka ini dipengaruhi oleh puak-puak dan kabilah-kabilah mereka yang berlainan spesis bagi jin dan qarin-qarin bagi spesis bunian dan manusia. Jika kita tidak membedah secara mata batin maka amatlah sukar untuk menyelesaikan permasalahan yang rumit ini iaitu: Kesatuan Melayu kerana kita hanya melihat kepada mata zahir sahaja! Kita melihat kepada perbatasan politik dan kenegrian sahaja.”

2. Dinamika Kerjasama PAS Dan UMNO:

“1. Tok-tok guru dan alim-ulamak selalu membaca Surah Aal-e-Imran, Ayat 103. Permusuhan Aus dan Khazraj bagaikan orang yang tersepit dan hampir terjerumus dalam lubang neraka. Melainkan dengan mereka berpegang kepada ‘tali Allah’ yang menyelamat kedua-dua klan ini dari lubang neraka. Allahlah jua yang melunakkan hati-hati mereka dalam bersatu.

“2. Malangnya kita hanya memahami ayat ini hanya untuk Aus dan Khazraj sahaja. Mengapakah ayat ini tidak dijadikan model kepada kesatuan Melayu antara klan Umno dan Pas? Masihkah kita ingat lubang-lubang neraka yang digali hasil permusuhan antara Umno dan Pas seperti peristiwa Lubuk Merbau dan Memali Kedah?”

“3. Saya menganalisa pada 27/3/2009 seperti berikut dalam WARKAH SERATING: Raison D’etat Perlunya Kerajaan Perpaduan  “Apa yang dilihat oleh Ku Li dalam blognya razaleigh.com Malaysia akan menuju kepada situasi “breakdown”. “This breakdown is a serious matter.”, katanya. Bahasa ringkasnya Malaysia dijangka oleh beliau, saya faham, menjadi “a failed state”(negara yang lumpuh).”

3. Apa Perlu PAS Belajar Dari UMNO?:

“Samada PAS mahu menerima atau tidak salam silaturahim dengan Umno itu bukan perkara pokok di sini tetapi apa yang PAS boleh belajar dari Umno itu yang penting sehingga parti itu dapat menjadi parti teras memerintah Malaysia sehingga kini. Ini yang lebih penting.”

4. PRU 14: Mana Lebih Bijaksana Bagi PAS; Bersendiri Atau Bekerjasama? :

“Di dalam Kritik Terhadap Tahaluf Siyasi PAS Dalam Pakatan Rakyat saya menulis “Tetapi jika kritikan ini tidak mempunyai hasil maka Pas boleh menceraikan ‘isteri-isterinya’ dalam Pakatan Rakyat. Harus ada cooling-off period selepas perceraian ini. Agar tiada pihak yang sangsi dengan perceraian ini. Namu begitu jika ini berlaku ketika hampirnya pilihanraya umum maka rakyat akan melihat Pas lemah jika berseorangan. Memang pun apabila Pas disingkir dari BN pada 13/11/1977. Bertahan selama 5 tahun sahaja semenjak Januari, 1973. Hanya 2 kerusi sahaja Pas menang di Kelantan dalam pilihanraya 11/3/1978 iaitu di Manek Urai dan Sering. Itupun dengan majoriti yang kecil.”

7. UMNO tidak hanya harus fokus kepada sekutunya dengan PAS. UMNO juga harus mencari sekutu dengan PH. Di dalam PH sendiri mempunyai klik-klik yang telah membara bak api dalam sekam. Klik yang saya maksudkan klik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Jika dilihat dalam PRK Port Dickson Anwar lagi kuat pengaruhnya dari PAS. Jika dilihat pasca PRU14 dan edisi lelompat UMNO Sabah Tun M lagi kuat pengaruhnya dari Anwar. Oleh itu pemutus dasar UMNO harus membuat keputusan terbaik bagi melakarkan kuasanya melalui strategi penyekutuan dengan parti-parti politik yang lain.

8. Saya percaya PH akan berpecah dua. Akan ada orang akan menangguk di air keruh. UMNO harus mencium bau harimau sebelum harimau datang menerkam. Agar harimau dapat dijerat. Belut dapat ditangkap. UMNO memang bijak pun sejak dahulu. Namun sekarang mereka hilang semangat bila hilang kuasa. Memulihkan semangat orang yang dihantui kekalahan ini bukan kerja senang. Motivasi harus diberi. Suntik semangat kelasi-kelasi. Baiki kapal yang telah dibedil dengan teruk.

9. UMNO harus bijak menjana duit. Dengan tidak menguasai Putrajaya dan GLC tidak bermakna hilang sumber kewangan. Kesusahan itu adalah kesenangan. Duit boleh digandakan dengan tiada ketirisan. Ahli-ahli harus menjadi lebih kreatif dalam menjana kewangan. Jika dahulu nasi dalam periuk yang besar maka banyak keraknya. Jika sekarang nasi dalam periuk yang kecil maka sedikit keraknya. Kesusahan itu menambahkan lagi jatidiri dan kekentalan. UMNO harus membuat pembersihan dalaman juga. Jika dahulu banyak berlaku ketirisan gara-gara orang membocorkan poket. Dengan UMNO hilang kuasa tiada lagi timbunan padi. Tikus tidak lagi mendekati. Tiada makna wang bertimbun jika habis dek kebocoran dan parti lemah. Disangka kuat tapi bila bergusti, kalah dalam satu pusingan.

10. Pembesaran UMNO harus secara organik. Dengan membesar secara tidak organik akan menyebabkan parti ini sembab bak ayam daging. Gemuk dan besar namun isinya bertoksik. Ikutilah resmi ayam kampung mencari rezeki sendiri bukan dimakan suap. Bila bertarung boleh menaji ayam daging yang lebih besar dan gemuk. Isinya yang organik lagi berkhasiat walau kurus berbanding ayam daging. Pembesaran secara tidak organik inilah yang menyebabkan segala masalah dalam UMNO. Tidak tahu mana ahli atau pemimpin yang betul-betul ikhlas dan berjatidiri. Ia hanya terserlah bila UMNO hilang kuasa.

11. UMNO harus bermula dari sekarang melakar strategi menawan Putrajaya. Sekarang. Hari ini. Bukan besok. Abaikan kelasi-kelasi yang telah bertukar kapal. Kapal yang dibedil dengan dahsyat harus dibaiki. Lubang-lubang harus ditutup. Layar harus dibentang. Bendera harus dikibar. Nun! Di sana khazanah-khazanah dunia menanti!

Menyanggah Fikrah Asing Dalam Membudaya Melayu

1. Melayu kini diibaratkan tidak mempunyai tujuan dan arah. Jika ada panggilan dari Timur maka mereka menuju ke Timur mencari punca suara itu. Jika ada panggilan dari Barat maka mereka menuju ke Barat mencari punca suara itu. Jika ada panggilan dari Utara maka mereka menuju ke Utara mencari punca suara itu. Jika ada panggilan dari Selatan maka mereka menuju ke Selatan mencari punca suara itu. Ketika mereka mengejar punca suara-suara itu mereka tercicir pesan nenek-moyang mereka. Mereka telah hilang jatidiri. Sedikit demi sedikit jatidiri yang mereka warisi dari datuk-nenek moyang mereka terhakis.

2. Mengapa ini harus berlaku kepada Bangsa Melayu? Mengapakah bangsa yang belum pernah diamanahkan memimpin dunia harus jadi begini? Adakah mereka dipesongkan oleh anasir-anasir asing? Jika begitu, apa nawaitu anasir-anasir asing mencampuri urusan Melayu? Adakah kerana anasir-anasir asing telah melihat Melayu mampu dan bakal memimpin dunia maka mereka harus dilemahkan? Dengan kata lain, kelemahan Melayu sengaja diprogramkan?

3. Bertitik-tolak dari persoalan-persoalan ini Umat Melayu harus mencari jawapan-jawapannya, jika ia berteka-teki dalam minda Melayu. Kesilapan meluangkan masa untuk berfikir mencari jawapan atau sedetik untuk berfikir merupakan satu kesilapan besar bagi Umat Melayu.

4. Melayu adalah satu bangsa yang dicerna oleh masa dan zaman panjang. Diacu oleh Perlembagaan. Siapa Melayu sudah selesai dikupas. Tidak perlu diperbahaskan lagi. Melainkan bagi generasi baru yang masih mencari identiti diri. Hanya menunggu untuk diadun dan dimasak bagi menjadi resepi yang mengenakkan. Kita jumpa dengan segelintir Melayu yang sudah membenci Kemelayuan mereka. Puncanya apa? Puncanya mereka diserang dengan fikrah asing. Fikrah asing seperti kleptokrasi, nepotisma, kronisma, sekularisma dll adalah makanan beracun yang dihidangkan dalam resepi Melayu. Jika ditelannya tamadun Melayu akan runtuh dan menyembah bumi.

5. Jika kita perhatikan di Barat; kleptokrasi, nepotisma, kronisma tetap diamalkan oleh mereka bukannya ditepis. Kita mempunyai banyak bukti bagi menguatkannya. Sekularisma yang sudah menjadi piawai antarabangsa, ia satu penghalang kepada dakwah dan penyebaran Islam. Islam merupakan jatidiri Melayu yang tak dapat dipisahkan. Hakikat ini diakui oleh budayawan-budayawanis. Jika budaya Melayu diadun dengan semangat Melayu tanpa diaduk dengan Islam maka Melayu akan menjadi Melayu yang rasis. Islam lah satu piawai untuk Melayu bercampur-gaul dengan kelompok bangsa lain. Ia merupakan satu piawai yang sesuai dengan fitrah manusia. Bagi penganutnya, ia datang dari pihak yang menciptakan manusia sendiri. Jika Melayu mengambil Melayu semata-mata maka Melayu akan gagal dipersada antarabangsa. Bahkan persada nasional. Jika Melayu mengambil sekularisma Melayu akan hilang Melayu dan Islam. Tidak pergi ke mana pun dengan membawa sekularisma. Bukannya Melayu boleh memimpin dunia dengan sekularisma. Sedangkan termaktub dalam al-Quran :

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا

Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, – [an-Nasr:2]

6. Pendefinisian ‘Deenillah’ (دِينِ اللَّهِ) itu hanyalah Islam [al-e-‘Imran:19]. Saya dalam pertemuan-pertemuan lepas tidak menafikan bahawa ada di dalam sebahagian fikrah-fikrah yang berlegar di kalangan kita (bukan Melayu sahaja) adalah saki-baki pengajaran nabi-nabi terdahulu sebelum penutup nabi dibangkitkan. Oleh itu kita tidak menolak secara mendadak mana-mana fikrah yang ingin menusuk minda Melayu. Kita mahu menapis dan menyanggah fikrah-fikrah yang sengaja direkacipta untuk menghancurkan Melayu.

7. Melayu sendiri harus merujuk kepada naskhah-naskhah tua milik mereka yang masih berbaki bagi mencari nilai yang diasaskan oleh leluhur mereka. Seperti yang saya selalu tegaskan tak mustahil ada di kalangan Melayu itu nabi yang diutuskan kepada umat Melayu sebelum Muhammad dibangkitkan. Saya telah beri pendalilan dan hujah-hujahan di arena lain sebelum ini.

8. Secara jujurnya saya melihat Melayu terlalu banyak ketagih dengan fikrah-fikrah import termasuk cendekiawan dan pemimpin atasan mereka. Hal ini telah meracuni Umat Melayu ke akar umbi. Hingga menyebabkan Umat Melayu yang baharu saja ingin bangkit maka mereka terjatuh lagi. Jikalah begini keadaannya maka Melayu tak akan dan selama-lamanya tak boleh menjadi pemimpin dunia. Bahkah mereka senang diperkotak-katikkan. Akhir kalam, Melayu harus mempunyai minda eksport dan menyanggah fikrah-fikrah beracun dalam membudaya Melayu.