1. Nama “Sulaiman” (سليمان) disebut sebanyak 17 kali di dalam al-Qur’an [al-Baqarah: 102][an-Nisa’:163][al-An’am:84][al-Anbiya’:78; 79 & 81][an-Naml:15; 16; 17; 18; 30; 36 & 44][Saba’:12][Sad:30 & 34]. Di sebalik hidup Sulaiman selama 53 tahun [al-Kāmil Fi at-Tārikh, Ibnu Athir, 176-186, al-Maktabah at-Taufiqiyyah, Cairo, Egypt, Jilid Pertama) hanya 17 kali namanya disebut dalam al-Qur’an. Mengapa? Adakah al-Qur’an membuat seleksi tentang peristiwa-peristiwa penting sahaja dalam hidup Sulaiman bagi dihidangkan kepada umat selepasnya sebagai panduan dan petunjuk kepada umat Islam? Adakah seleksi-seleksi ini berlaku ketika mana kerohanian berkaitan Sulaiman adalah berlaku pada peringkat tertinggi?
2. Sedangkan berkaitan Sulaiman ini adalah satu petunjuk yang penting berkenaan ‘kekuasaan’ atau dalam bahasa modennya ‘politik’ serta secara spiritualnya. Sedangkan kekuasaan Sulaiman itu tiada siapa yang dapat menyainginya [Sad:35] Adakah seleksi peristiwa-peristiwa yang direkodkan oleh al-Qur’an hanya seputar spiritual yang tinggi? Peristiwa menundukkan Kerajaan Saba’ [an-Naml: 15 – 44], peristiwa penghakiman tentang tanaman [al-Anbiya’: 78], angin yang menerbangkannya [al-Anbiya’: 81][Saba: 12] dan peristiwa hilang kekuasaan kerana diserupai oleh jin di atas takhtanya [Sad: 34][Tafsir al-Qur’an al-Adzim, Ibnu Kathir]. Hanya peristiwa-peristiwa ini yang dipetik oleh al-Qur’an dari sepanjang usia Sulaiman selama 53 tahun itu. Walaupun saya berhujah bahawa doa Sulaiman tentang kekuasaanya tiada siapa yang dapat menyainginya [Sad:35] tapi tiada jawapan dari Allah sebagai mengiyakan atau menolak tentang doa Sulaiman ini. Cuba bandingkan nazar dan doa isteri Imrān melindungi anaknya bernama Maryam dan keturunannya dari syaitan yang direjam [Aal-e-Imran:35-37] di mana Allah secara jelas menyatakan memakbulkannya (فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ)(Maka diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik)[Aal-e-Imran:37]. Jika kita lihat dasawarsa ini kekuasaan Amerika Syarikat adalah begitu hebat samada di laut atau udara atau darat. Dengan wujud teknologi-teknologi yang canggih dalam segenap bidang sehingga menjangkau planet-planet yang jauh.
3. Kekuasaan Sulaiman adalah satu model tentang kekuasaan yang tinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani. Dari teknologi binaan, galian darat dan laut, pergerakan melalui udara, pengintipan tentera jadian, komunikasi dengan haiwan, penyamaran, penaklukan kerajaan besar lain dan teknik serta skil memindah satu benda fizikal dalam masa yang cepat. Ia ilmu-ilmu dalam mendasari ‘kekuasaan’ politik dan spiritual untuk mentadbir dunia. Satu model yang menjadi impian setiap insan yang mengimpikan pencapaian tertinggi dalam hidupnya. Namun adakah ia hanya milik Sulaiman sahaja lantaran kekuasaan itu tiada siapa yang dapat menyainginya? Dari sudut mana dunia ‘umat yang satu’ ini mempunyai perbezaan kalau tidak persamaan dengan kekuasaan Sulaiman?
4. Atau kisah-kisah Sulaiman ini sebagai satu kata-kunci kepada pembukaan rahsia dalam mencapai kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani? Saya melihat begitu. Al-Qur’an itu bukan setakat membuat seleksi peristiwa-peristiwa untuk menjadi tatapan sahaja tetapi sebagai panduan kata-kunci kepada pembukaan rahsia dalam pencapaian kekuasaan tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani. Jika dilihat lebih dalam lagi seleksi dari peristiwa-peristiwa dalam kehidupan Sulaiman sepanjang 53 tahun itu penuh dengan panduan kepada umat yang satu bagi perjalanan mereka pada masa hadapan. Seleksi-seleksi peristiwa dalam hidup Sulaiman adalah sebahagian kepada kekuasaan yang tiada tolak banding. Peristiwa menundukkan Kerajaan Saba’ adalah berlaku dalam Alam Ghaib yang bukan zahir kerana di saat terbukanya hijab dan energi-energi ghaib berfungsi dengan efektif ketika mana di Alam Ghaib; samada malakut atau jabarut.
5. Kerohanian tinggi berlaku ketika makhluk berada di Alam Ghaib; samada malakut, jabarut atau yaqozoh. Allah mendedahkan perkataan unik iaitu “ifrit” (عفريت) [an-Naml:39] hanya di satu tempat ini di dalam al-Qur’an. Perkataan ini adalah pelik dan hanya diperkenalkan oleh al-Qur’an. Ifrit ini adalah termasuk dalam golongan al-mala’u (الملؤا)(pembesar-pembesar) [an-Naml:38]. Mengapakah dalam situasai lain al-Qur’an tidak mendedahkan identiti seseorang melainkan tentang Iblis [al-Kahfi: 50] dan ifrit bahawa kedua-dua ini adalah dari spesis jin? Misi yang dipikul oleh ifrit yang bersembunyi dalam al-mala’u Sulaiman adalah misi negara. Dengan mendedahkan bahawa dia mampu membawa singgahsana Balqis dalam kecepatan sebelum Sulaiman bangun dari tempat duduknya dengan kekuatan dan amanahnya [an-Naml:39] boleh mendedahkan siapa dirinya di hadapan al-mala’u yang lain. Melainkan pembesar-pembesar atau orang-orang dalam majlis Sulaiman pada ketika saat getir itu memahami tentang hakikat diri. Namun empunya diri yang menawarkan untuk mengangkat singgahsana Balqis sebelum dari Sulaiman berkerdip matanya itu [an-Naml: 40] mengalahkan impian dan kekuatan ifrit. Satu diskusi khusus harus dibuat tentang maksud intipati al-Quran tentang perkataan ifrit. Ia bagaikan spesis sulit dalam urusan negara. Dengan kata lain jika ingin mencapai kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani harus ada pasukan ifrit!
6. Komunikasi dengan semut dan burung. Semut yang kita tahu tidak dapat berbicara dengan mengeluarkan kata-kata. Namun dapat difahami oleh Sulaiman. Begitu juga ‘percakapan burung’ (منطق الطير)[an-Naml:16] juga boleh diketahui apa yang dicakapinya dan boleh berbicara dengannya sehingga burung memahami. Kaedah bagaimanakah ini? Ada kah secara telepati? Atau berbicara dengan kalam sebagaimana manusia berbicara? Tentu ada jawapan kepada permasalahan ini. Mengapakah burung dan semut dalam mendasari kekuatan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani? Burung sebagai pengintip yang sukar diketahui mana pengintip dan mana burung yang biasa. Semut pula satu koloni yang memahami tentang pergolakan manusia boleh diambil manfaat bagi tujuan menguasai alam haiwan dan boleh dibangkitkan bagi tujuan-tujuan yang lain. Adalah tidak mustahil seorang insan boleh berkomunikasi dengan haiwan-haiwan yang lain. Jika tidak bagaimana Muhammad itu ‘rahmat seluruh alam'[al-Anbiya: 107]? Bagaimanakah Muhammad melaksanakan misinya sebagai rahmat seluruh alam jika baginda tidak dapat memahami dan berkomunikasi dengan haiwan, sebagai satu contoh.
7. Graf kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani tidak selama-lamanya berada di puncak. Ada ketika ia menjunam. Peristiwa hanya menggambarkan bagaimana ia menjunam. Allah sahaja mengetahui kenapa. Peristiwa jin menyamari Sulaiman lalu menduduki atas kursinya [Sad:34][Tafsir al-Qur’an al-Azim, Ibnu Kathir] sungguh menyedihkan. Ia merupakan satu fitnah dan ujian kepada umat Sulaiman dan kepada Sulaiman sendiri. Menguasai jin dan bunian yang berupaya menyamar spesis manusia harus sedar mereka harus juga menguasai ilmu penyamaran. Jin hanya tidak dapat menyamari Muhammad! Jika tidak kecelaruan kepada prinsip hadith. Begitulah peristiwa jin menyamari Sulaiman ini telah mencemari graf kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani Sulaiman dalam hidupnya. Ia suatu pengajaran kepada kita semua. Mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya ini boleh jadi makhluk jin dan bunian yang menyamar ‘ayah-ayah mereka atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau keluarga-keluarga mereka'[al-Mujadalah:22]. Ini lah hakikat perjuangan sebenar. Mengenali hakikat diri bukan diri yang zahir. Mengenali musuh sebenar dan kawan sebenar.
8. Bagi mencapai kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani seseorang itu harus mendasari al-Qur’an dan ilmu dari kitab ini. Ia bukan setakat dilagukan dengan bacaan dan zikir tetapi juga secara logik sains. Adalah satu yang diperlukan dalam memahami peristiwa-peristiwa dalam hidup mana yang merupakan intipati dan mana yang patut dilupakan. Sebagai panduan seleksi al-Qur’an berkaitan peristiwa-peristiwa dalam hidup Sulaiman selama 53 tahun itu kita harus menyedari kita berada di saat mana. Saat getir ketika keputusan penting perlu dibuat ketika wujud konflik atau saat menjunam graf kita sebagai satu fitnah dan ujian bagi kita.
9. Sebagai penutup, tidak mustahil kekuasaan yang tertinggi dari segi pencapaian fizikal dan rohani seperti yang pernah dicapai pada zaman Sulaiman dapat diajari kepada pembangun-pembangun moden dan akan datang dengan kajian-kajian teks al-Qur’an secara rohani dan fizikal.