1. Laduni ini adalah istilah yang telah dimelayukan dari (لَّدُنَّا) dipetik dari (وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمً)(Dan Kami ajarkannya dari sisi Kami sesuatu ilmu)[al-Kahfi:65]. Laduni bermaksud dari ‘sisi’. Ia adalah ilmu khas yang tidak wujud dan ketahui oleh khalayak ramai. Hatta Musa pun perlu ‘berguru’ (تُعَلِّمَنِ)[al-Kahfi:66] dengan Khidhir untuk memahami ilmu laduni. Ini bermakna ilmu laduni boleh dipelajari dari seseorang yang dianugerahkan kepadanya.
2. Perkataan ‘Kami’ itu menunjukkan kata jamak iaitu bukan Allah sahaja yang mengajar seseorang tetapi juga boleh jadi para malaikat-Nya.
3. Perkataan (هُ)(hu)(Dia) dalam (وَعَلَّمْنَاهُ) [al-Kahfi:65] ini merujuk kepada Khidhir a.s. yang disifatkan oleh al-Quran (فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا)(Maka mereka berdua -Musa dan pemuda yang menemaninya-mendapati seorang hamba dari hamba-hamba Kami)[al-Kahfi:65]. Ayat ini juga menunjukkan bahawa bukan setakat Khidhir sahaja yang diberi ilmu laduni tetapi ramai lagi.
4. Setiap perbuatan yang bersifat laduni itu mempunyai takwil (بِتَأْوِيلِ)[al-Kahfi:78].
5. Perbuatan-perbuatan Khidhir yang menyimpang dari syariat (1) menebuk kapal yang membahayakan nyawa penumpang-penumpang [al-Kahfi: 71 ] (2) membunuh budak yang tidak berdosa [al-Kahfi:74] (3) sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya sedangkan ahli kampung itu tidak mahu menjamu mereka [al-Kahfi:77].
6. Perbuatan-perbuatan Khidhir ini adalah pada zahirnya menyimpang dari syariat, namun takwil-takwilnya adalah masih dalam ruang lingkup syariat. Hakikat perbuatan Khidhir itu dengan secara takwil masih dalam ruang-lingkup syariat. Hanya Musa tak memahaminya pada zahir yang dilihatnya menyalahi syariat.
7. Takwil kepada (1) menebuk kapal yang membahayakan nyawa penumpang-penumpang [al-Kahfi: 71 ]. Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, Khidhir bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat [al-Kahfi:79] .(2) membunuh budak yang tidak berdosa [al-Kahfi:74]. Adapun budak itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.[al-Kahfi:80-81].(3) sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya sedangkan ahli kampung itu tidak mahu menjamu mereka [al-Kahfi:77]. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka) [al-Kahfi:82].
8. Perlu diingatkan untuk berguru tentang ilmu laduni dan hakikat ini perlu banyak bersabar [al-Kahfi:67-69; 72; 75; 78; 82].
9. Apabila seorang guru yang memiliki ilmu laduni mendapati anak muridnya sudah tidak sabar dengan perbuatan-perbuatan hakikatnya maka harus ada perpisahan antara anak murid dan gurunya [al-Kahfi:76; 78].