MENYELUSURI ILMU SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT DALAM KELOMPOK SUFI MELAYU

1.  Saya dapati bahawa klasifikasi-klasifikasi syariat, tareqat, hakikat dan makrifat  ini hanya wujud di kalangan kelompok sufi Melayu. Saya tak dapati dari teks karangan bangsa-bangsa lain. Klasifikasi yang disebut itu hanya wujud itu secara serangkai syariat, tareqat, hakikat dan makrifat. Namun isi-isi perbincangan ini iaitu syariat, tareqat, hakikat dan makrifat memang wujud dalam teks bangsa lain tetapi tidak secara pengkelasannya secara serangkai.

2. Agak unik juga rupanya Bangsa Melayu ini. Saya menduga sebelum Rasulullah ‎ﷺ diutuskan wujud di kalangan Bangsa Melayu rasul yang mengajar tentang ilmu empat serangkai ini. Jika kita kaji al-Quran memang Allah menegaskan bahawa setiap umat itu diutuskan rasul dan nabi dengan bahasa kaum mereka.

SYARIAT

3. Bagi permulaan anak-anak Melayu diajar dengan syariat. Batu Bersurat Terengganu adalah bukti terawal penegakkan syariat. Ia adalah menepati standard al-Quran. Hukum-hakam Islam menjadi landasan kepada menyusun hal-ehwal dan urus tadbir Bangsa Melayu. Bangsa Melayu sangat menghargai dan menjunjung tinggi penegakkan syariat. Ini dapat dilihat kepada cubaan Kerajaan Bangsa Melayu di Kelantan dan Terengganu (suatu ketika dahulu) khususnya di bawah PAS. Walaupun hukum-hakam atau syariat ini belum ditaqninkan ia dilihat mendasari perjalanan hidup Bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa yang beradab setelah diajar hukum syariat. Orang Melayu agak sensitif tentang syariat. Mereka akan berdemo dan berarak jika berlaku perlanggaran syariat di Alam Melayu. Contohnya tentang pesta arak.

TAREQAT

4. Apabila telah kemas pegangan anak-anak Melayu tentang syariat maka anak-anak Melayu diajar supaya bertareqat. Walau istilah tareqat ini mempunyai pelbagai interpretasi seperti adakah ia kumpulan-kumpulan tareqat sufi atau boleh dibahaskan lebih luas lagi? Mengajar menyertai partai politik atau NGOs itu satu disiplin tareqat. Maka dalam kelompok ini samada tareqat sufi atau partai politik atau NGOs itu adalah satu tareqat. Di dalamnya anak-anak Melayu diajar dan dipandu kepada disiplin yang lebih jauh lagi. Tareqat ulung ialah “jalan” al-Quran dan Sunnah. Tekstual al-Quran dan hadis mengundang pentafsiran literal dan figuratif di kalangan Bangsa Melayu. Bagi yang berdisiplin Ahlu Sunnah Wal Jamaah mereka berpegang kepada sesuatu yang figuratif. Maka wujudlah Sifat 20 dalam mengenal Allah. Bab ini sesuai dalam MAKRIFAT. Bagi yang berdisiplin Salafi atau bahasa kasarnya Wahabi maka mereka berpegang secara literal. Maka disiplin mereka mengenal Allah atau MAKRIFAT itu ialah Tauhid al-Asma’ Wa al-Siffah, Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Dewasa kini ada segelintir anak-anak Melayu yang cenderung kepada disiplin Syiah. Saya tak mahu komen tentang disiplin ini kerana saya kekurangan teks original membahaskan tentang Syiah. Ia agak kontroversi.

HAKIKAT

5. Selepas menjalani syariat dan tareqat anak-anak Melayu diajar tentang hakikat. Hakikat ialah bermaksud apa itu yang tersembunyi di sebalik yang diharamkan syariat. Hakikat itu mempunyai takwil. Ada keindahan di antara berpegang kepada syariat dan melanggarnya. Ada maksud tersembunyi di sebalik perlanggaran syariat. Ia ibarat kisah Musa dengan Khidhir (Jibril) yang mengajar Musa ilmu hakikat. Orang awam ditegah menjalani disiplin hakikat jika mereka belum menempuh dan menguasai disiplin syariat dan tareqat. Perlaksanaan syariat juga adalah mesti menepati ruh hakikat. Jika syariat tidak menepati ruh hakikat maka ia bukanlah syariat yang berdasar al-Quran dan hadis. Penguasa-penguasa dan pelaksana-pelaksana syariat harus menguasai syariat, tareqat dan hakikat sebelum melaksanakan hukuman dalam syariat. Jiwa akan tenteram bila menguasai ilmu hakikat dan memahami apa yang terselindung di sebalik syariat. Kita lebih bijaksana di dalam bertindak dan memutuskan sesuatu apabila memahami dan menguasai hakikat.

MAKRIFAT

6. Secara turun-temurun Bangsa Melayu di ajar dengan (أول الدين معرفة الله)(Awal-awal agama adalah mengenal Allah). Di dalam Batu Bersurat Terengganu tertulis “Dewata Mulia Raya”. Ia adalah bahasa Melayu kuno. Tulisannya walaupun Jawi (pengaruh Arab)  namun pengistilahan Allah dengan nama Dewata Mulia Raya mengambarkan Melayu belum diArabkan tentang makrifat. Jikalah Awal-awal agama adalah mengenal Allah mengapakah disiplin makrifat ini diklasifikasi dan disusun akhir sekali dari 4 serangkai ini? Ini menunjukkan bahawa yang sebenarnya syariat itu yang terutama dan diajar kepada anak-anak Melayu. Bagi saya (أول الدين معرفة نفسك)(Awal-awal agama adalah mengenal diri mu). Saya rasa ini yang paling tepat. Seakan-akan ada kebenaran kepada ‘hadis’ ini (من عرف نفسه فقد عرف ربه)(Barang siapa mengenali dirinya, maka dia mengenal Tuhannya). Lagipun kata-kata Awal-awal agama adalah mengenal Allah tidak dijumpai dalam hadis. Jika adapun ia adalah dalam hadis Jibril berjumpa Rasulullah ﷺ di mana baginda ditanya apa itu iman, Islam dan ihsan. Ihsan secara tekstual dalam hadis tersebut adalah berkenaan makrifat. Ia adalah ikatan antara syariat dan makrifat iaitu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah melihat-Nya, jika tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Allah melihat kita. Berbagai-bagai lagi ‘keanehan’ dalam kelompok sufi Melayu. Kita tidak pasti samada ia berasal dari rasul-rasul Melayu sebelum Muhammad ﷺ diutuskan atau rekaan-rekaan anak-anak Melayu. Oleh itu adalah terbaik bagi Bangsa Melayu menyelusuri disiplin tareqat al-Quran dan hadis dalam mengenal pasti samada ia benar atau tidak. Satu lagi makrifat Melayu ialah tentang hakikat Muhammad ﷺ. Saya dapati ia tidak wujud dalam kitab atau bangsa lain. Iaitu konsep Muhammad Awal dan Muhammad Akhir. Muhammad Zahir dan Muhammad Batin. Orang Melayu agak serius dalam cubaan memahami atau makrifat Allah dan Rasul-Nya.

KESIMPULAN

7. Bangsa Melayu adalah unik kerana mereka memperturun secara mulut-ke mulut sesuatu ilmu suatu ketika dahulu. Ini mengundang kesamaran kepada kita tentang autentik sesuatu ilmu yang wujud di rumpun Melayu khususnya kelompok sufi Melayu. Ledakan internet maka Melayu berbahas sesama mereka tentang peninggalan datuk-nenek mereka tentang syariat, tareqat, hakikat dan makrifat. Pengaruh luar terutama Arab juga melahirkan Melayu yang cenderung mendasari secara fikiran dan tindakan Arab. Seperti saya selalu tegaskan usah mengArabkan Melayu tetapi mengIslamkan Melayu. Ada ilmu-ilmu datuk-nenek mereka yang sesuai dengan Bangsa Melayu dengan syarat ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s